Semua insan diamanahkan menjaga Bumi ini. Tanggungjawab dipikul adalah sebagai khalifah. Tahap tanggungjawab ini pula berbeza antara satu sama lain. Ada yang lebih berat kerana menerima kuasa eksekutif organisasi. Ada pula lebih ringan kerana tidak memegang kuasa itu.
Pancaindera yang dianugerahkan olehNya adalah untuk membantu melaksanakan tanggungjawab tersebut. Mata melihat kejadian. Telinga mendengar penjelasan. Lidah menuturkan kebenaran. Kulit mengesan keadaan. Hidung menjelaskan persekitaran. Kesemua berfungsi dengan sistem saraf.
Zaman ini adalah era di mana insan lebih menitikberatkan kuasa eksekutif organisasi berbanding dengan tanggungjawab asas khalifah. Ini disebabkan ia tertakluk di bawah perundangan yang dibuat oleh insan sendiri. Kegagalan perlaksanaannya membawa risiko yang sedia diketahui.
Pancaindera yang dimiliki tidak boleh diguna secara langsung sebab kita akan ditempelak balik "Siapa awak nak menasihatkan saya?". Itulah dominannya kuasa eksekutif yang dimiliki. Maka ada mata lihatlah sahaja semua perkara. Ada telinga dengarkanlah sahaja apa yang dicerita. Ada lidah perlulah dikunci sahaja.
Namun begitu hati dan akal perlulah diguna bersepadu menentang segala ketidakjujuran atau kemaksiatan dunia. Oleh kerana lidah perlu dikunci bagi mengelak segala kemungkinan, maka tingkah laku perlulah menggambarkan pencegahannya. Kreativiti diperlukan bagi mencari cara dan gayanya.
Alangkah ruginya diri kita andainya terlabel bersubahat jika tidak berbuat apa-apa. Paling lemah adalah menentang di dalam hati - cara dari selemah-lemahnya iman - Memang sukar memperjuangkan kebenaran kalau sudut pandangan dan mentaliti manusia berbeza. Namun kita perlu berusaha.....
No comments:
Post a Comment