Bulan lalu anak saya berniaga. Di antara barangan yang dijualnya ialah minyak wangi dan kerim kecantikan. Pelanggan pertamanya ialah pelajar-pelajar di sebuah institut perguruan. Mereka adalah teman-teman kuliah adiknya. Saya mengambilnya dari kampus ke institut perguruan itu untuk melawat adiknya.
Melihatkan gelagatnya yang sibuk menjual barangannya itu saya menjadi marah. Tanpa usul periksa saya memberitahu bahawa saya tidak suka dia berniaga sebab masih belajar lagi. Wang biasiswa kerajaan yang diterima tidak sepatutnya digunakan dengan cara itu. Dia seakan melenting lalu menerangkannya.
Rupanya itu adalah amali subjek Asas Keusahawanan yang wajib diambil oleh semua pelajar tahun 1 kejuruteraan. Mereka didedahkan kepada bidang itu sebagai persediaan menghadapi alam selepas tamat pelajarannya nanti. Dia bertekat untuk membuat yang terbaik.
Saya tidak jadi marah, sebaliknya menyokong bisnes itu. Oleh kerana minyak wanginya berkualiti dan harganya berpatutan, saya pun membelinya. Pada hujung minggu itu dia pulang ke rumah untuk berniaga kepada ibu saudara dan sepupunya. Dia tidak dapat menjual di kampus sebab persaingan sangat sengit.
Menurutnya, kumpulannya adalah yang pertama diwajibkan mengambil subjek itu. Saya bersetuju dengan langkah yang telah diambil oleh universitinya. Dalam situasi ketika ini dan akan datang, rakyat digesa mewujudkan peluang pekerjaan sendiri. Bisnes adalah peluang cerah meraih laba.
Lulusan kejuruteraan boleh belajar menghasilkan sesuatu produk untuk dipasarkan. Kemahirannya boleh dipelajari dari sesuatu agensi. Menghasil dan memasarkan sendiri produk boleh mendatangkan laba lebih tinggi. Dengan ilmu, individu adalah fleksibel berhadapan dengan cabaran dan tuntutan semasa.
No comments:
Post a Comment