Marah adalah salah satu perasaan insan. Kewujudannya menunjukkan seseorang itu adalah normal. Tanpa perasaan ini dia boleh dianggap seperti tunggul mati yang sukar diterka hatinya. Perasaan penting kerana ia boleh membantu dalam tindakan.
Mengapa seseorang marah? Sebab bagi persoalan ini adalah berbeza antara satu sama lain. Tahapnya pula bergantung kepada sensitiviti seseorang terhadap sesuatu hal. Jika sensitiviti rendah, kuranglah tahap kemarahannya dan sebaliknya.
Umumnya kemarahan wujud apabila seseorang itu dihina dalam pelbagai bentuk samada dalam bentuk mental mahupun fizikal. Ia juga wujud apabila diri dimanipulasi oleh pihak lain atas tujuan tertentu. Ketidakadilan dalam sesuatu hal juga boleh menjadi puncanya.
Menguruskan kemarahan penting supaya ia tidak menimbulkan risiko kepada alam dan manusia. Pengurusan yang terbaik adalah berdasarkan ajaran Islam yang memuliakan sifat sabar dalam tindakan. Selain itu ia juga perlu bersandarkan ilmu yang dipelajari.
Perhatikan individu yang sedang marah, dia kelihatan terlalu buruk dari segi kelakuan dan perkataannya yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Ini berlaku tanpa disedarinya. Sering memuhasabah diri dapat membantu mengawalnya.
Saya berpendapat tidak salah menzahirkan kemarahan tetapi lakukanlah secara intelektual menggunakan fikiran waras bertujuan memperbetulkan punca yang menyebabkan rasa marah itu. Ini memang sukar tetapi pengurusan kemarahan tersebut menentukan imej kita dalam organisasi.
No comments:
Post a Comment