Anak-anak di rumah merasa kecewa........Mereka mengharap ibu akan memberikannya kepada mereka tetapi entah kenapa ibu beralih arah. Mungkin dia bosan mengadap muka anak-anak di rumah lalu menukar angin kepada kera di hutan pula.
Anak-anak tiada pilihan lain. Demi kesinambungan hidup, mereka perlu mencarinya sendiri. Dalam pencarian yang payah, mereka terbayang wajah kera-kera yang menjengkelkan itu, yang telah meragut sebahagian daripada hak asasi fitrah mereka.
Dalam pencarian yang sukar, mereka akan temui seribu satu ragam manusia. Ada yang menjijikkan hati nurani biarpun sedap dipandang mata. Ada juga yang memikat di hati walaupun pedih mata untuk melihatnya. Mereka perlu menerima semua.
Bumi Allah luas. Kuasa Allah tiada tandingan. Meskipun susu dicari tidak dikemui, mereka ditemukan madu. Biarpun tidak sama seperti yang telah diperolehi oleh kera-kera di hutan itu, namun ia cukup bererti demi sebuah kehidupan yang tercabar.
Biarlah mereka di situ untuk belajar menjadi makhluk Tuhan yang mengenal hati budi; merasa segala macam kepedihan dari onak dan duri kehidupan. Mereka membesar dalam kecukupan biarpun tanpa pertalian yang hakiki demi untuk hidup berbakti.
Masa terus berlalu dan langit tidak selamanya mendung. Kehidupan menjadi lebih mudah. Maka tertanamlah azam untuk tidak terjadi lagi "kera-kera di hutan disusui" kerana sesungguhnya ia adalah sesuatu yang tersangatlah menyakitkan hati......
No comments:
Post a Comment