Friday, March 19, 2010

DAHULU DAN SEKARANG

Ketika menyusuri Pantai Lido di Teluk Danga mengambil angin petang semasa usia remaja dahulu, saya sering memerhatikan banglo-banglo mewah di lereng bukitnya. Saya membayangkan  betapa nyamannya mendiami banglo itu kerana menikmati pemandangan laut indah mengadap ke Kota Singa. Setiap hari dapat merasakan hembusan bayu laut yang bertiup lembut.

Semasa berihat di pinggir bukit Air Terjun Kota Tinggi pada usia yang sama pula, saya berangan-angan untuk membina sebuah banglo di lereng bukitnya pada suatu masa nanti. Pemandangannya yang serba hijau dihiasi air terjun itu amat mendamaikan jiwa untuk dinikmati. Saya membayangkan betapa merdunya gemersik bunyi terjunan air tersebut setiap masa.

Sekarang, keadaan dan perasaan saya terlalu jauh berbeza mengenainya. Kalau diberikan sebuah banglo percuma untuk didiami di kedua-dua tempat peranginan itu, saya tidak akan menerima dengan mudahnya. Berdasarkan kajian tanah dan peralihan masa, strukturnya  tidak  sekukuh dahulu. Kerja-kerja pembangunan di sekeliling menggugat keasliannya.

Bayu yang bertiup di pinggir bandaraya sudah tidah senyaman dahulu apabila bertambahnya komposisi kimia di dalam udaranya. Air jernih yang mengalir di saliran pula sudah kurang jernihnya kerana wujudnya aktiviti menggugat tanah yang mencemarkan  air di  hulu dan di hilir. Persepsi terhadap kesegaran alamnya berubah sama sekali kerana tempat kunjungan ramai selalu menjadi mangsa.

Ketenangan dan kedamaian masih boleh diperolehi dari cara yang  lain. Bumi Tuhan  luas dan akal yang dianugerahkanNya boleh dimanafaat dengan sebaik-baiknya. Wang ringgit dan kedudukan bukan penentu segalanya tetapi kebijaksanaan mengatur hidup akan memberikan kita pulangan yang bererti. Ini disebabkan ketenangan dan kedamaian bukan terletak di mata tetapi di hati.....

No comments: