Terlalu mudah menemui istilah ini dalam kehidupan hari ini. Hendak jadi penyanyi komponen di dalamnya ialah paras rupa, bakat dan kesungguhan. Ingin menjadi usahawan pula perlu ada modal permulaan, kemahiran perniagaan dan berani mencuba.
Kalau hendak cemerlang, perlu ada ilmu yang relevan, tindakan yang tepat memenuhi keperluan kehidupan serta hati yang tabah melalui cabaran. Di samping itu individu tidak mudah berputus asa serta sentiasa belajar dari kesilapan supaya ia tidak berulang lagi.
Bagi ibubapa, mereka perlu ada pakej keibubapaan. Anak adalah modal insan bagi keluarga dan negara. Mereka pelapis pemimpin masa kini dan pejuang masa depan. Kehadiran mereka perlu disambut dengan rasa penuh tanggungjawab.
Pakej keibubapaan perlu mengandungi ciri-ciri iman, ilmu dan amal. Iman perlu bagi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Ilmu penting sebagai penyuluh kehidupan yang kabur. Amal berguna bagi cemerlangkan diri serta berbakti kepada pertiwi.
Padat atau kurangnya pakej ini bukan masalah utama. Semua ibubapa perlu mempunyainya serta ditambahnilaikan. Mereka juga perlu peka dengan perkembangan semasa demi keperluan anak yang disayangi. Sebaiknya sediakan payung sebelum hujan turun.
No comments:
Post a Comment