Thursday, March 4, 2010

SEMUT DAN GULA

Pepatah Melayu ada mengatakan "di mana ada semut, di situ ada gula". Ini menunjukkan orang kita pandai dan teliti tentang  habitat organisma. Ia  bermakna mereka tahu tentang ekosistem kehidupan. Secara langsung mereka memberitahu kita gula adalah makanan utama semut bagi mendapat tenaga.

Pepatah Melayu juga ada mengatakan "mati semut kerana gula". Pepatah ini memang hebat. Mereka begitu memerhati tentang punca semut mati. Dalam pelajaran sainsnya kematian semut itu disebabkan osmosis di mana ia terlebih gula lalu air tubahnya mengalir keluar menjadikan ia kekeringan.

Semut dan gula memang tidak dapat dipisahkan. Saya  merasa amat  tidak selesa bila melihat koloni semut merayap di  rumah mencari gula untuk dibawa ke sarangnya. Ibu saya pernah beritahu, kewujudan semut di rumah menunjukkan rumah itu sejuk dan selesa untuk didiami .Saya tidak pasti.

Dalam hal semut dan gula, saya terpaksa ketepikan maklumat ibu sebab kehadirannya adalah menyemakkan. Ia boleh  memanjat ke tubuh dan  memasuki telinga menyebabkan telinga sakit walaupun saiznya kecil. Saya pernah mengalaminya pada waktu malam dan bergegas ke klinik mendapatkan rawatan.

Saya tidak akan berkompromi terhadap kehadiran semut di rumah. Racun serangga diguna untuk menyemburnya. Saya sangat serik apabila sering menerima gigitan semut gatal. Bintat akibat gigitannya sukar hilang dan boleh menyebabkan kudis. Itulah hakikat haiwan kecil bernama sang semut.

Semut juga makhluk Tuhan yang perlu hidup dan bebas bergerak. Gunakanlah kebebasan itu  dalam alammu  sendiri tanpa perlu mengganggu makhluk lain. Pergilah ke tempat lain yang lebih selesa tanpa meninggalkan bekas kepada sesiapa.

No comments: