Sempena cuti sekolah yang bermula dari 26 Mei 2012 lalu, saya sekeluarga sempat menjengah ibu dan adik-beradik di kampung. Perjalanan Kuala Kangsar - Johor Baharu yang bukan pendek masanya amatlah meletihkan, namun kerinduan untuk menjejak bumi kelahiran, Johor Darul Takzim, telah menguatkan semangat untuk bertemu mereka.
Kami meraikan perkahwinan anak saudara yang pertama. Saya telah dapat bertemu ibu dan adik-beradik. Alhamdulillah, kesemuanya sihat dan ceria. Dapatlah saya menikmati telur pindang yang berwarna coklat dan lemak rasanya. Ia memang sukar didapati di negeri lain.
Anak-anak saya dapat bertemu semula dengan sepupu-sepupunya. Bila mereka berkumpul, barulah saya sedar bahawa mereka semua sudah meningkat remaja dan ada yang telah tamat pelajaran serta bekerja. Sungguh cepat masa berlalu, bermakna usia saya semakin banyak bilangannya. Alhamdulillah, dalam usia emas ini, saya dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus berbakti kepada keluarga dan negara.
Hari berikutnya kami melawat ibu-ibu saudara saya yang uzur di Tebrau dan Batu Pahat. Peluang ini saya gunakan untuk mengenalkan anak-anak kepada nenek-nenek saudara mereka lebih rapat lagi kerana jarang bertemu. Saya mahu mereka melakukan perkara yang sama apabila mereka seusia saya nanti.
Sepanjang lima hari di rumah ibu, saya memasakkan makanan untuknya atas permintaannya. Alhamdulillah, kesihatan ibu adalah memuaskan, cuma pendengaran agak kabur kerana dimamah usia. Dia menghabiskan banyak waktunya dengan solat wajib dan sunat serta puasa sunat.
Semasa pulang, ibu membekalkan saya kerepek ubi yang digorengnya dan nenas madu. Saya rasa sedih untuk meninggalkannya. Air mata saya tertumpah lagi di bumi itu tapi saya pasrah terhadap takdir ini. Selepas mencium dan memeluk cucu-cucunya, saya meninggalkan ibu untuk berangkat pulang ke Perak.
Kami singgah di Pagoh, Muar untuk menjengah kawasan itu. Saya masuk ke Gerai Monggo & Mampir untuk membeli pisang salai. Dalam perjalanan pulang, kami terdengar lagu Jawa Puteri Ledang melalui siaran radio kawasan selatan. Bait-bait senikata yang saya ingat lagi
" ....rupa-rupane kang mas, rupa-rupane....rupa-rupane mbak yu, rupa-rupane anak mbok rondo......" Saya faham maksudnya dan rasa terhibur mendengarnya.
Sebaik memasuki Melaka, kami fokuskan perjalanan yang jauh. Negeri Johor semakin jauh ditinggalkan. Selamat tinggal negeriku .....Panjang umur kita jumpa lagi.
1 comment:
semoga kau sehat
Post a Comment