Thursday, December 22, 2011

WANITA ......KINI DAN SELAMANYA

Tempatnya bukan diceruk dapur tetapi di merata tempat yang memerlukan khidmatnya.Ini disebabkan dia juga menerima ilmu dan didikan yang setara dengan kaum Adam.Dia tidak minta jadi begitu tetapi arus perubahan menjadikan dia perlu menjadi begitu.

Kewujudannya bukan untuk menghias ruang lantaran kecantikannya yang memukau tetapi untuk berbakti di bumi Allah ini. Dia layak mendapat ganjaran daripadaNya selagi apa yang dicurah tidak menyalahi hukumNya.Dia perlu meneruskan kehidupan dengan caranya sendiri.

Ketulusan hatinya bukanlah untuk dipermainkan oleh insan bernama lelaki tetapi untuk difahami bahawa dia sedia berkongsi suka-duka dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba.Dia juga ada hati dan perasaan untuk membina kerjaya cemerlang dan kebahagiaan masa depan.

Keluhuran budinya bukanlah untuk dipersiakan oleh kaum Adam tetapi untuk dijadikan teman hidup dalam meniti hari-hari mendatang.Dia akan setia hingga ke akhir hayatnya selagi hatinya tidak dicalar luka.Dia sedia mengerti segala taqdir Illahi dengan kesabaran dan keredhaan di hati.

Kesabarannya yang tidak bersyarat bukan untuk diambil kesempatan oleh makhluk di muka bumi ini kerana dia sentiasa memberi waktu dan kesempatan kepada yang berhati ikhlas membetul kesilapan.Pegangan hidupnya ialah semua penghuni alam ini berhak menikmati kebahagiaan dan kejayaan. 

Namun dia adalah manusia biasa yang tidak sunyi dari kekecewaan bila hatinya dilukakan.Dia akan ingat segala kepahitan yang berlaku hingga ke akhir hayatnya walaupun dia sedia memaafkan segala kesalahan dengan senyum.Walau tertutup rapat di sudut hati paling dalam, dia sukar memberi ruang untuk kali kedua.

1 comment:

fati said...

tepat sekali Mah....