Saya termenung selepas mendengarnya. Bertahun mengikuti isu ini, kini rasa berdosa kerana tidak memberi perhatian khusus terhadapnya .Bukan tidak mahu melaksana tetapi terlalu menyerah kepada yang pakar sedangkan ini isu umat, isu semua.Sasaran berada di depan mata maka perlu gunakan peluang dan ruang secara berhemah.
Akidah...Apa dia akidah ? Mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua, akidah ialah sesuatu yang dipercayai atau diyakini (terutamanya tentang agama) atau kepercayaan atau keyakinan. Dalam kontek ini saya merujuk kepada anak-anak atau pelajar yang beragama Islam. Tanpa perhatian yang sepatutnya, mereka boleh terjebak ke dalam masalah pengguguran akidah islamnya.
Di antara ciri-ciri muslim yang didatangi oleh kumpulan itu ialah miskin dan melarat.Mereka ini diumpan dengan wang ringgit, kesenangan dan kekayaan.Ciri lain ialah keluarga yang berpecah-belah atau porak peranda. Mereka hadir dengan pelbagai hiburan, kemewahan dan motivasi dalaman dan luaran yang mengalpakan dengan segala bentuk bantuan segera.Mereka terjebak disebabkan ilmu agama yang dangkal dan rapuh.
Kumpulan lain yang ditembusi ialah golongan profesional dan berhutang dengan segala bentuk penjelasan dan bantuan yang dimanipulasi dan mengeliru, dijanjikan dengan imbuhan dan kemasyhuran dunia. Pegangan agama yang rapuh dan ukhwah Islam yang longgar memudahkan mereka menakluki kumpulan ini, ditambah lagi pelbagai iklan kemewahan di media cetak dan elektronik yang dikuasainya.
Jelas di sini pengguguran akidah berlaku kerana kegagalan kita menyedia wadah menarik untuk anak-anak dan ahli masyarakat agar mencintai Islam. Ia berlaku kerana kelemahan kita mendidikan mereka dengan ajaran Islam yang kukuh kerana tidak mempraktikkannya dengan cara yang sesuai dengan peredaran masa. Kalau hanya menekan soal remeh-temeh, caci-maki bila silap,fitnah-memfitnah , mereka bosan lalu mudah menerima alternatif lain.
Apa yang boleh kita lakukan ? Golongan dewasa perlu menjadi model muslim yang baik dari segi ilmu dunia dan akhirat serta sahsiah terpuji. Dekati dan didik anak-anak dengan berkhemah mengguna segala bentuk pendekatan dan didikan yang sesuai dengan usia dan peredaran masa . Laksanakan suruhan Allah bersama-sama dengan konsisten tanpa pengaruh dari mana-mana pihak yang mempunyai agenda tertentu.
Kukuhkan ekonomi dalam keluarga dan salurkan kemudahan dan keperluan untuk mereka belajar dengan sempurna baik ilmu dunia mahupun ilmu agama. Pastikan mereka belajar ilmu yang betul dan sentiasa mengambil berat masalah mereka walau sesibok mana urusan kita. Membiarkan mereka sendiri mengatasi masalah sebenarnya memberi ruang mereka dijebak kepada masalah lain.
Silaturrahim kekeluargaan dan kemasyarakatan yang kukuh boleh menghalang mereka terjebak ke kancah yang tidak diingini. Hubungan rapat ini dapat menarik mereka ke pangkal jalan jika mereka digoda hebat oleh pihak beragenda. Kalau dapat kita laksana "anak orang anak kita" , gejala ini mungkin boleh diurus dengan lebih berkesan.
Saya menulis artikel ini bertujuan untuk berkongsi buah fikiran bersama pembaca dan peringatan kepada diri sendiri supaya mempraktikkan yang terbaik dalam mendidik anak dan pelajar. Islam adalah agama universal. Memberi perhatian kepada permasalahan mereka boleh membantu mengukuhkan jati diri mereka agar tidak mudah tergugat dengan anasir yang tidak diingini.
No comments:
Post a Comment