Thursday, April 1, 2010

AKHIRNYA DIA MENGERTI......

Saya tatapi baris demi baris tulisannya yang bersahaja "Aku kesal dengan dia ni. Kalau nak minta tolong, amboi! Bukan main baik dan manis kata-kata; lembut lidah dari gigi. Tapi bila dah dapat apa yang dia hendak, langsung tak mengenang budi. Apa punya kawan macam ni...." 

Saya tersenyum sendirian ketika membacanya. Akhirnya dia mengerti tentang hakikat kehidupan hari ini yang terbentang di depan mata. Walaupun ragam itu hanyalah  dari kumpulan minoriti, tetapi bisanya memang terasa hingga ke hulu hati. Ia boleh menjadikan kita  makan hati.

Kenyataannya memberi petunjuk bahawa dia semakin dewasa membanding-beza antara kaca dan permata. Kesedaran ini boleh menjadikan dirinya berhati-hati sebab bukan semua yang bersinar itu adalah permata  tulin. Kaca juga boleh bersinar kalau ditujukan cahaya.

Kesedaran ini menjadikan saya merasa lapang dada sebab ia boleh merefleks dirinya sendiri. Begitulah perasaan orang lain kalau kita buat begitu kepada mereka. Sebaik-baiknya, biarlah kita berbudi kepada semua orang. Janganlah hendaknya  habis  madu sepah dibuang.

Akhirnya dia mengerti dan memahami tentang nilai hati budi.......

No comments: