Tuesday, April 6, 2010

UNGKAPAN BERBISA

Dibukanya halaman itu. Dibacanya satu-persatu tulisan di depan mata. Ada berbagai makna yang tersurat dan tersirat di sebaliknya. Tiba-tiba dia menemui satu ungkapan berbisa yang tertuju kepada dirinya. Aduh!.... Pedihnya. Gelap seketika dunia ini ketika menatapnya.

Dia berlalu dari situ dengan lemahnya lalu duduk di satu sudut yang agak selesa. Termenung..... aktiviti rutinnya bila hati tersentuh. Dianalisis lagi ungkapan  yang baru sebentar dibaca. Sah..... memang meruntuhkan, tiada langsung asas membina. Kenapa? Hatinya ingin tahu.

Banyak sekali ungkapan  indah dalam adat kita. Kenapa yang berbisa itu juga yang digunakannya. Berdozen-dozen lagi frasa menarik dalam bangsa kita. Kenapa yang berbisa itu juga yang dituliskannya? Adakah dia terlupa tentang budi bahasa atau hati budi? Entahlah.....

Biarlah..... bisiknya dalam hati. Dia tiada hak untuk memperkatakan apa-apa selain menerima segalanya dalam keterlukaan yang panjang. Namun, dia ada pilihan untuk melakukan apa sahaja bagi mengubati hati. Langkah pertama dan terbaik ialah berfikiran positif dengan melupakannya.

Asasnya ialah  lupakan segala-galanya melibatkan individu dan lingkungannya. Ini tidak salah kerana kewujudannya pun bukan secara konkrit. Langkah seterusnya ialah berhati-hati dalam segala komunikasi. Bersendiri mungkin lebih baik.

Itulah kepelbagaian kejadian Tuhan, menjadikan insan dengan mentaliti berlainan, cita-rasa berbeza, ragam tidak serupa, sensitiviti tidak sama. Walau bagaimana pun, keangkuhan dan keegoan terlampau adalah pemusnah kehidupan yang harmoni ..........

No comments: