Friday, April 30, 2010

RINDU NASI AMBENG

Sudah lama saya tidak menikmati juadah ini . Memang sukar untuk mendapatkannya sekarang . Saya mengenali dan menikmatinya sewaktu kecil dahulu ketika menghadiri kenduri aruah atau potong jambul di kampung yang kebanyakan penduduknya merupakan kaum Jawa .

Ibu dan ibu-ibu saudara saya di Johor ada membuat nasi ambeng ini waktu dulu .Masakan yang biasa mereka buat ialah pergedil , sambal goreng , pajeri nenas atau pajeri terung , ayam masak kicap , ayam goreng , ikan goreng dan sebagainya . Kesemuanya kegemaran saya .

Nasi diisi di dalam dulang . Daun pisang diletakkan di tengahnya serta diisi dengan lauk-pauk tersebut , dimakan di antara empat hingga lima orang . Kebersihannya tidak perlu diragukan kerana orang yang makan akan memastikan diri mereka bersih . Cara ini dapat membina ukhwah ahli masyarakat .

Makan bersama-sama dalam satu dulang menyebabkan individu tidak akan makan dengan gelojoh . Bila anak yang sedang membesar ada bersama , mereka juga akan dinasihatkan supaya tidak gelojoh sebab ia tidak baik dari segi kesihatan . Lagipun kuantitinya adalah mencukupi . 

Saya pernah menemui sebuah restoran yang menyediakan menu nasi ambeng ini di Sabak Bernam , Selangor . Kami sekeluarga akan menikmatinya hanya apabila berkunjung ke sana melawat sanak- saudara . Inilah cara hidup rakyat Malaysia yang berbeza adat dan makanan . Itulah yang unik dan menarik .

2 comments:

fati said...

Fati dah lepas gian dah Mah, 2 minggu sudah balik JB ziarah sepupu kena kanser dah stage 4, terjumpa nasi ambeng kat hospital, terus beli, hehehe....

Citera Alam said...

Yer ke ? Ada jugak nasi ambeng kat hospital JB . Nanti balik Johor nak carilah . Thanks Fatie for the information .