Monday, March 29, 2010

PANCAINDERA

Semua insan diamanahkan menjaga Bumi ini. Tanggungjawab  dipikul  adalah sebagai khalifah. Tahap tanggungjawab ini pula  berbeza antara satu sama lain. Ada yang lebih berat kerana menerima kuasa eksekutif organisasi. Ada pula lebih ringan kerana tidak memegang kuasa itu.

Pancaindera yang dianugerahkan olehNya adalah untuk membantu melaksanakan tanggungjawab tersebut. Mata melihat kejadian. Telinga mendengar penjelasan. Lidah  menuturkan kebenaran. Kulit mengesan keadaan. Hidung menjelaskan  persekitaran. Kesemua berfungsi dengan sistem saraf.

Zaman ini adalah era di mana insan lebih menitikberatkan kuasa eksekutif organisasi berbanding dengan tanggungjawab asas khalifah. Ini disebabkan ia tertakluk di bawah perundangan yang dibuat oleh insan sendiri. Kegagalan perlaksanaannya membawa risiko yang sedia diketahui.

Pancaindera yang dimiliki tidak boleh diguna secara langsung sebab kita akan ditempelak balik "Siapa awak nak menasihatkan saya?". Itulah dominannya kuasa eksekutif yang dimiliki. Maka ada mata lihatlah sahaja semua perkara. Ada telinga dengarkanlah sahaja apa yang dicerita. Ada lidah  perlulah dikunci sahaja.

Namun begitu hati dan akal perlulah diguna bersepadu menentang segala ketidakjujuran atau kemaksiatan dunia. Oleh kerana lidah perlu dikunci bagi mengelak segala kemungkinan, maka tingkah laku perlulah menggambarkan pencegahannya. Kreativiti diperlukan bagi  mencari  cara dan gayanya.

Alangkah ruginya diri kita andainya terlabel bersubahat jika tidak berbuat apa-apa. Paling lemah adalah menentang di dalam hati - cara dari selemah-lemahnya iman - Memang sukar memperjuangkan kebenaran kalau sudut pandangan dan mentaliti manusia berbeza. Namun kita perlu berusaha.....

Sunday, March 28, 2010

PAKEJ-PAKEJ KEHIDUPAN

Terlalu mudah  menemui istilah ini dalam  kehidupan hari ini. Hendak jadi penyanyi komponen di dalamnya ialah paras rupa, bakat dan kesungguhan. Ingin menjadi usahawan pula perlu ada modal permulaan, kemahiran perniagaan dan berani mencuba.

Kalau hendak cemerlang, perlu ada ilmu yang relevan, tindakan yang tepat memenuhi keperluan kehidupan serta hati yang tabah melalui cabaran. Di samping itu individu tidak mudah berputus asa serta sentiasa belajar dari kesilapan supaya ia tidak berulang lagi.

Bagi ibubapa, mereka perlu ada pakej keibubapaan. Anak adalah modal insan bagi keluarga dan negara. Mereka pelapis pemimpin masa kini dan pejuang masa depan. Kehadiran mereka perlu disambut dengan rasa penuh  tanggungjawab.

Pakej keibubapaan perlu mengandungi ciri-ciri iman,  ilmu dan amal. Iman perlu bagi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Ilmu penting sebagai penyuluh kehidupan yang kabur. Amal berguna bagi  cemerlangkan diri serta berbakti kepada pertiwi.

Padat atau kurangnya pakej ini bukan masalah utama. Semua ibubapa perlu mempunyainya serta ditambahnilaikan. Mereka juga perlu peka dengan perkembangan  semasa demi keperluan anak yang disayangi. Sebaiknya sediakan  payung sebelum hujan turun.

Saturday, March 27, 2010

KARNIVAL IPT NASIONAL 2010 "JOM MASUK U"

Hari ini saya ke karnival itu bersama pelajar tingkatan 6 bertempat di pekarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak. Ini merupakan siri akhir iaitu kesembilan selepas selesai di negeri-negeri lain. Ia telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Besar Perak.
Kaunter pertama, UNIMAP
Pamplet diisi ke dalam beg yang disediakan
Tetamu VVIP memasuki kereta selepas selesai perasmian
Setelah tapak karnival sesak, sayapun  keluar dan berada di depan dewan kerana di situ redup dinaungi pokok besar. Pelajar saya pun tiba seorang demi seorang dengan pamplet masing-masing. Saya menasihati mereka supaya membacanya dengan teliti.

Tiba-tiba datang seseorang menuju ke kereta hitam Proton Perdana berdekatan kami  lalu berkata "Jauh sikit dari kereta ini, nanti kotor".  Dia membelek bahagian belakang kereta kilat  yang teraaamatlah bersihnya itu sambil mengelap dengan tangannya. 

Kami tersentak dengan ungkapannya. Dia memandunya ke tepi dewan, berhenti di situ dan naiklah seseorang ke dalam Proton  Perdana  yang kilat bersilau-silauan itu. Rupanya dia seorang pemandu kereta kepada seorang pembesar yang kami tidak kenal.

Saya lalu menasihatkan pelajar "Esok, kalau awak ada kereta Mercedes termahal di dunia sekalipun, tak perlu  guna ungkapan itu; apatah lagi setakat Proton Perdana biasa ". Mereka pun menjawab "Baiklah, cikgu ." Mereka faham maksud saya.

Setelah cukup korumnya, kamipun pulang. Masih terngiang-ngiang di telinga saya "Cikgu, jemputlah kami datang ke sekolah cikgu untuk memberi penerangan."  Itulah pesan pegawai di kaunter Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). "Insyaallah", jawab saya.

Itu adalah universiti berasrama penuh berakademi tentera, menyediakan kursus ijazah bidang profesional (kejuruteraan, perubatan, pergigian). Pelajar menerima "gaji" bulanan RM1200, berpangkat kapten sebaik tamat pelajaran dan berstatus tentera. 

Berapa keratkah  pelajar aliran sains yang mahu status yang amat berdisiplin itu? Dalam keadaan sukar mencari kerja, mungkin mereka perlu mempertimbangkannya. Yang penting, mereka  diberitahu rasionalnya serta dimotivasikan.

Friday, March 26, 2010

APABILA KERA DI HUTAN DISUSUKAN ......

Anak-anak di rumah merasa kecewa........Mereka mengharap ibu akan memberikannya kepada mereka tetapi entah kenapa ibu beralih arah. Mungkin dia bosan mengadap muka anak-anak di rumah lalu menukar angin kepada kera di hutan pula.

Anak-anak  tiada pilihan lain. Demi kesinambungan hidup, mereka perlu mencarinya sendiri. Dalam pencarian yang payah, mereka terbayang wajah kera-kera yang menjengkelkan itu, yang telah meragut sebahagian daripada hak asasi fitrah mereka.

Dalam pencarian yang sukar, mereka akan temui seribu satu  ragam manusia. Ada yang menjijikkan hati nurani biarpun sedap dipandang mata. Ada juga yang memikat di hati walaupun pedih mata untuk melihatnya. Mereka perlu menerima semua.

Bumi Allah luas. Kuasa Allah tiada tandingan. Meskipun susu dicari tidak dikemui, mereka ditemukan  madu. Biarpun tidak sama seperti yang telah diperolehi oleh kera-kera di hutan itu, namun ia cukup bererti demi sebuah kehidupan yang tercabar.

Biarlah mereka di situ untuk belajar menjadi makhluk Tuhan yang mengenal hati budi; merasa segala macam kepedihan dari onak dan duri kehidupan. Mereka membesar dalam kecukupan biarpun tanpa pertalian yang hakiki demi untuk hidup berbakti.

Masa terus berlalu dan langit tidak selamanya mendung. Kehidupan menjadi lebih mudah. Maka tertanamlah azam untuk tidak terjadi lagi "kera-kera di hutan disusui" kerana sesungguhnya ia adalah sesuatu yang tersangatlah menyakitkan hati......

Wednesday, March 24, 2010

PEMBELAJARAN

Islam meletakkan ilmu di kedudukan yang tinggi. Kita  dianjurkan supaya sentiasa belajar. Pembelajaran  berlaku sebaik sahaja kita dilahirkan sehingga menemui ajal. Ada berbagai jenis ilmu yang boleh dipelajari dan ada berbagai cara pembelajaran berlaku.

Ilmu apa yang patut dipelajari? Ilmu tersebut adalah ilmu yang diredhai Allah yang memberi kebahagiaan  hidup di dunia dan di akhirat. Apakah petunjuknya? Jika ilmu tersebut mendekatkan kita kepadaNya maka itulah ilmu yang diredhai dan sebaliknya.

Pembelajaran berlaku apabila tingkah-laku berubah kepada lebih baik. Ada berbagai kaedah pembelajaran ketika ini. Yang utama ialah pembelajaran secara formal yang dianjurkan oleh sesuatu pihak yang mempunyai sukatan pelajaran dan tempohnya.

Pembelajaran tidak formal adalah pembelajaran yang mendominasi kehidupan kita. Inilah yang boleh menjelmakan pembelajaran sepanjang hayat. Kesan terbaik adalah yang ada perkaitan langsung antara individu dengan sesuatu unsur ilmu kehidupan.

Contoh pembelajaran terbaik adalah seperti  menerima tamparan dari sesuatu pihak yang berupa penghinaan, cacian, kritikan, perlekehan, persendaan, pertuduhan, dipermainkan dan sebagainya. Memang pedih menelan segalanya pada satu ketika.

Sebagai insan berakal, segalanya adalah konten muhasabah diri untuk bangkit dari lembah yang dilontar oleh pihak itu. Ia merupakan kekuatan mental  untuk berubah.Sering terjadi hasil pembelajaran menjadikan keadaan adalah terbalik daripada asal. 

Itu bukanlah satu masalah selagi diredhai Allah kerana Dia berkuasa ke atas segala kejadian. Satu hal berharga yang kita temui ialah kita dapat mengenali hati budi manusia secara terperinci di celah-celah kepahitan pembelajaran tersebut.

Monday, March 22, 2010

BILA OBJEK MERINTANGI JALAN PADA WAKTU PAGI .....

Semua kenderaan perlu berhenti. Sasaran masa kesemua isi kenderaan tidak tercapai. Pesakit dalam perjalanan mendapatkan rawatan akan bertarung nyawa melawan penyakitnya. Staf bawahan perlu menyediakan alasan kukuh untuk diberitahu kepada bosnya.

Anak-anak sekolah  sedang berkira-kira samada akan masuk ke sekolah atau tidak. Tiada siapa akan maafkan atas kelewatan itu. Guru-guru memikirkan sebab-sebab kukuh terlewat ke sekolah sebelum dilabel seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Pembantu rumah  memikirkan rayuan terbaik untuk dipersembahkan kepada tuannya apabila terlewat pulang dari pasar. Jika tidak, dia akan dibuang kerja. Tukang kebun juga perlu membuat alasan munasabah supaya gajinya tidak dipotong kerana lewat datang kerja.

Insan terbaik tidak memikirkan dirinya sendiri. Dia akan berusaha supaya objek itu dapat diketepikan. Jika gagal, dia akan menghubungi pihak-pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah itu tanpa memikirkan dia juga berisiko atas kelewatan akibat insiden itu.

Berapa keratkah yang akan bersikap gentleman sepertinya ? Statistik di dalam beberapa hal menunjukkan pengkritik telah mendominasi alam ini berbanding pelaksananya . Yang menariknya , pengkritik itu terlupa bahawa dia juga "terkritik" dirinya sendiri .

Apa-apapun , semoga kita bukanlah individu yang menjadi objek merintangi jalan itu ....

Sunday, March 21, 2010

RINDUKU PADAMU , TANJUNG PUTERI........

Rinduku padamu, Tanjung Puteri
Bukanlah rindu seorang Laila kepada Majnunnya
tak henti mematri cinta  terlarang
menghitung waktu untuk bertemu  
sudahnya tewas di hujung hayat
tanpa kata tanpa bicara.

Rinduku padamu, Tanjung Puteri 
bukanlah  rindu seorang Dara kepada  Udanya
cinta terhalang dek adat dunia
kasih terpisah dek resam manusia
impian tersulam tak kesampaian
ke lautan api  membawa diri.

Rinduku padamu, Tanjung Puteri
adalah rindu sang pungguk kepada bulannya
di malam kelam tanpa bintang
 gelora jiwa ingin bicara
ragam dunia dan kehidupannya
  rakus ganas tak terduga.

Rinduku padamu Tanjung Puteri
tak pernah pudar ditelan zaman
jasad terlantar di kejauhan
jiwa calar dek lakon manusia
namun setiaku padu direstu  waktu
biar digoyah badai menggila.

Di pinggiran terasing ini
irama rindu berlagu merdu
membisik harap menjulang di awan
mohon anugerah hidayahMu Tuhan
damaikanlah  hati redhakanlah  rasa
buatku tabah di hujung usia.

Meski rindu berbisik syahdu
menggamit mimpi  tak indah lagi
lafaz ku lesu  azamku padu
merungkap kata di bayu lalu
moga bahagia sejahtera sentosa
Untukmu "Selamat tinggal Tanjung Puteriku......"

OLEH: CITERA ALAM
KUALA KANGSAR, PERAK
JUMAAT, 12 MAC 2010 .

Friday, March 19, 2010

SEMPADAN TIGA NEGERI

Petang tadi kami berada di sempadan tiga negeri: Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Kami menjamu selera  di Nibong Tebal, Pulau Pinang
Melalui pinggiran Sungai Kerian, Parit Buntar, Perak
Kami terus pulang ke Kuala Kangsar melalui Bandar Baharu, Kedah
Persimpangan keluar ke Lebuhraya di Bandar Baharu, Kedah
Singgah di surau Tol Bandar Baharu untuk solat Asar
Tol Bandar Baharu
Sempadan Kedah-Perak
Itulah hal sepetang di sempadan tiga negeri.

DAHULU DAN SEKARANG

Ketika menyusuri Pantai Lido di Teluk Danga mengambil angin petang semasa usia remaja dahulu, saya sering memerhatikan banglo-banglo mewah di lereng bukitnya. Saya membayangkan  betapa nyamannya mendiami banglo itu kerana menikmati pemandangan laut indah mengadap ke Kota Singa. Setiap hari dapat merasakan hembusan bayu laut yang bertiup lembut.

Semasa berihat di pinggir bukit Air Terjun Kota Tinggi pada usia yang sama pula, saya berangan-angan untuk membina sebuah banglo di lereng bukitnya pada suatu masa nanti. Pemandangannya yang serba hijau dihiasi air terjun itu amat mendamaikan jiwa untuk dinikmati. Saya membayangkan betapa merdunya gemersik bunyi terjunan air tersebut setiap masa.

Sekarang, keadaan dan perasaan saya terlalu jauh berbeza mengenainya. Kalau diberikan sebuah banglo percuma untuk didiami di kedua-dua tempat peranginan itu, saya tidak akan menerima dengan mudahnya. Berdasarkan kajian tanah dan peralihan masa, strukturnya  tidak  sekukuh dahulu. Kerja-kerja pembangunan di sekeliling menggugat keasliannya.

Bayu yang bertiup di pinggir bandaraya sudah tidah senyaman dahulu apabila bertambahnya komposisi kimia di dalam udaranya. Air jernih yang mengalir di saliran pula sudah kurang jernihnya kerana wujudnya aktiviti menggugat tanah yang mencemarkan  air di  hulu dan di hilir. Persepsi terhadap kesegaran alamnya berubah sama sekali kerana tempat kunjungan ramai selalu menjadi mangsa.

Ketenangan dan kedamaian masih boleh diperolehi dari cara yang  lain. Bumi Tuhan  luas dan akal yang dianugerahkanNya boleh dimanafaat dengan sebaik-baiknya. Wang ringgit dan kedudukan bukan penentu segalanya tetapi kebijaksanaan mengatur hidup akan memberikan kita pulangan yang bererti. Ini disebabkan ketenangan dan kedamaian bukan terletak di mata tetapi di hati.....

Thursday, March 18, 2010

REALITI KEHIDUPAN

Yang satu ini, bukan main kemas kerja-kerjanya. Failnya bertimbun-timbun dan terlalu lengkap. Sebut apa sahaja maklumat yang hendak diakses, sekelip mata boleh diperolehinya. Bila ditanya "di mata realitinya?". Jawapan jujurnya "sedang dirancang . Dokumentasinya ada di sini ".

Yang lagi satu pula langsung tiada fail-fail untuk dirujuk. Namun begitu dia boleh menunjukkan segala yang telah dan akan dilaksanakannya, dahulu, kini dan akan datang. Anggotanya  lincah menggayakan segala tindakan yang telah dan perlu diambil. 

Antara kedua-duanya, yang mana satu pilihan hati? Kalau saya diberi peluang untuk memilih menantu, saya akan pilih individu yang kedua kerana dia lebih praktikal. Kehidupan yang dibinanya adalah realiti , bukan dalam alam fantasi. 

Realitinya, kalau selalu  berteori  tetapi tiada amali, sesuatu perancangan sukar menjadi kenyataan. Sebaliknya, apabila sentiasa  berusaha supaya  impian menjadi kenyaan selalunya kesuntukan masa untuk berteori dan berdokumentasi. 

Kalau hendak memetik bintang di langit sebagai hadiah kepada seorang puteri, perlu dipastikan bintang sedang berada di hujung jari, menunggu masa sahaja untuk digapai...

Tuesday, March 16, 2010

MAHU ATAU TIDAK

Dalam rutin harian, ada banyak perkara yang perlu difikirkan. Ada banyak tindakan perlu diambil. Semua perlaksanaan adalah terletak pada diri sendiri samada mahu atau tidak. Ia juga terletak pada keutamaan mengikut masa dan keadaan.

Dalam semua hal tersebut, satu perkara yang perlu diteliti supaya tidak dijadikan bahan kritikan anak-anak ialah perkataan "saya sibok". Ada macam-macam perbandingan yang boleh digunakan oleh mereka sebagai tempelak kepada kita. 

Ada berbagai frasa yang boleh diguna untuk menggantikan perkataan tersebut. Maknanya masih sama dan masih relevan untuk diguna pakai. Contohnya, senaraikan apa yang akan dilakukan untuk tenggelamkan hal yang tidak akan dilaksanakan.

Ada masanya anak-anak suka mengkritik tetapi kita tidak harus melenting menerimanya. Itu baik untuk mereka menandakan fikiran yang sihat. Kita perlu rasional dan menerangkan hal yang sebenar supaya berada di landasan yang betul.

Memperkatakan yang tidak benar adalah tidak baik dalam pendidikan, apatah lagi memburuk-burukkan sesuatu, terutama untuk mempertahankan diri sendiri. Biarlah mereka membesar dalam kebenaran supaya mereka hormati kita.

Sebagai insan biasa, mereka perlu faham bahawa setiap orang ada kelemahan masing-masing dan saling menerima seadanya adalah langkah terbaik dalam menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Itulah langkah terbaik untuk hidup harmoni.

Sunday, March 14, 2010

HARI SABTU..

.
Selalunya ada satu bungkusan sahaja
Tetapi pada hari ini berbungkus-bungkus pula...
Inilah butir-butirnya.
Tersenyum posmen tu .......

Saturday, March 13, 2010

SEBENTAR DI QUEENSBAY MALL , PENANG

Seronok melihat buku-buku yang banyak
Ruang kedai bukunya luas, ada kemudahan cafe
Ada sale di tingkat bawah
Iklan buku-buku dan even terkini
Pemandangan di sekitarnya

Wednesday, March 10, 2010

ALAM KEUSAHAWANAN

Bulan lalu anak saya berniaga. Di antara barangan yang dijualnya ialah minyak wangi dan kerim kecantikan. Pelanggan pertamanya ialah pelajar-pelajar  di sebuah institut perguruan. Mereka adalah teman-teman kuliah adiknya. Saya mengambilnya dari kampus ke institut perguruan itu untuk melawat adiknya.

Melihatkan gelagatnya yang sibuk menjual barangannya itu saya menjadi marah. Tanpa usul periksa saya memberitahu bahawa saya tidak suka dia berniaga sebab masih belajar lagi. Wang biasiswa kerajaan yang diterima tidak sepatutnya digunakan dengan cara itu. Dia seakan melenting lalu menerangkannya.

Rupanya itu adalah amali subjek Asas Keusahawanan yang wajib diambil oleh semua pelajar tahun 1 kejuruteraan. Mereka didedahkan kepada bidang itu sebagai persediaan menghadapi alam selepas tamat pelajarannya nanti. Dia bertekat untuk membuat yang terbaik.

Saya tidak jadi marah, sebaliknya menyokong bisnes  itu. Oleh kerana minyak wanginya berkualiti dan harganya berpatutan, saya pun membelinya. Pada hujung minggu itu dia pulang ke rumah untuk berniaga kepada ibu saudara dan sepupunya. Dia tidak dapat menjual di kampus sebab persaingan sangat sengit.

Menurutnya, kumpulannya adalah yang pertama diwajibkan mengambil subjek itu. Saya bersetuju dengan langkah yang telah diambil oleh universitinya. Dalam situasi ketika ini dan akan datang, rakyat digesa mewujudkan peluang pekerjaan sendiri. Bisnes adalah peluang cerah meraih laba. 

Lulusan kejuruteraan boleh belajar menghasilkan sesuatu produk untuk  dipasarkan. Kemahirannya boleh dipelajari dari sesuatu agensi. Menghasil dan memasarkan sendiri produk boleh mendatangkan laba lebih tinggi. Dengan ilmu, individu adalah fleksibel berhadapan dengan cabaran dan tuntutan semasa.

Saturday, March 6, 2010

SEMBANG TENTANG MENANTU

Hari ini saya sempat bersembang dengan kawan lama yang hadir sempena  temasya sukan  di padang. Umurnya sebaya dengan saya. Dia menjemput saya ke majlis kenduri sambut menantu anak sulungnya. Insyaallah, saya akan hadir kerana diadakan di daerah yang sama.

Dia sempat menzahirkan rasa lega kerana anaknya telah memilih seorang wanita berkerjaya. Dia menyatakan bahawa dia memerlukan seorang menantu yang berpelajaran yang dapat mengurus keluarga dengan lebih teratur. Semoga harapannya bakal menjadi kenyataan.

Saya lalu terfikir bahawa harapannya itu ialah ingin melihat anak-cucu hidup bahagia dan berjaya baik untuk kehidupan di dunia, mahupun diakhirat. Seorang yang berpelajaran bermakna seorang yang berilmu. Lazimnya orang yang berilmu adalah fleksibel menghadapi cabaran.

Saya bersetuju dengan pendapatnya. Orang yang berpelajaran dan berkerjaya akan  berpandangan jauh ke hadapan dalam mencorak keluarga yang dibina. Mereka akan membuat perancangan yang rapi agar tidak mudah tersepit dengan masalah yang timbul akibat sikap negatif sendiri.

Ramai teman-teman sebaya yang sudah bermenantu. Entah bila giliran saya pula. Apa yang pasti anak sulung saya (lelaki) belum tamat menyelesaikan ijazah pertamanya dan memberitahu mahu menyambung pelajaran lagi selepas itu. Ini bermakna saya tidak boleh berangan mengenainya....

Thursday, March 4, 2010

SEMUT DAN GULA

Pepatah Melayu ada mengatakan "di mana ada semut, di situ ada gula". Ini menunjukkan orang kita pandai dan teliti tentang  habitat organisma. Ia  bermakna mereka tahu tentang ekosistem kehidupan. Secara langsung mereka memberitahu kita gula adalah makanan utama semut bagi mendapat tenaga.

Pepatah Melayu juga ada mengatakan "mati semut kerana gula". Pepatah ini memang hebat. Mereka begitu memerhati tentang punca semut mati. Dalam pelajaran sainsnya kematian semut itu disebabkan osmosis di mana ia terlebih gula lalu air tubahnya mengalir keluar menjadikan ia kekeringan.

Semut dan gula memang tidak dapat dipisahkan. Saya  merasa amat  tidak selesa bila melihat koloni semut merayap di  rumah mencari gula untuk dibawa ke sarangnya. Ibu saya pernah beritahu, kewujudan semut di rumah menunjukkan rumah itu sejuk dan selesa untuk didiami .Saya tidak pasti.

Dalam hal semut dan gula, saya terpaksa ketepikan maklumat ibu sebab kehadirannya adalah menyemakkan. Ia boleh  memanjat ke tubuh dan  memasuki telinga menyebabkan telinga sakit walaupun saiznya kecil. Saya pernah mengalaminya pada waktu malam dan bergegas ke klinik mendapatkan rawatan.

Saya tidak akan berkompromi terhadap kehadiran semut di rumah. Racun serangga diguna untuk menyemburnya. Saya sangat serik apabila sering menerima gigitan semut gatal. Bintat akibat gigitannya sukar hilang dan boleh menyebabkan kudis. Itulah hakikat haiwan kecil bernama sang semut.

Semut juga makhluk Tuhan yang perlu hidup dan bebas bergerak. Gunakanlah kebebasan itu  dalam alammu  sendiri tanpa perlu mengganggu makhluk lain. Pergilah ke tempat lain yang lebih selesa tanpa meninggalkan bekas kepada sesiapa.

Wednesday, March 3, 2010

MENGURUS KEMARAHAN

Marah adalah salah satu perasaan insan. Kewujudannya menunjukkan seseorang itu adalah normal. Tanpa perasaan ini dia boleh dianggap seperti tunggul mati  yang sukar diterka hatinya. Perasaan penting kerana ia boleh membantu dalam tindakan.

Mengapa seseorang marah? Sebab bagi persoalan ini adalah berbeza  antara satu sama lain. Tahapnya pula bergantung kepada sensitiviti seseorang terhadap sesuatu hal. Jika sensitiviti rendah, kuranglah tahap kemarahannya dan sebaliknya.

Umumnya kemarahan wujud apabila seseorang itu dihina dalam pelbagai bentuk samada dalam bentuk mental mahupun fizikal. Ia juga wujud apabila diri dimanipulasi oleh pihak lain atas tujuan tertentu. Ketidakadilan dalam sesuatu hal juga boleh menjadi puncanya.

Menguruskan kemarahan penting supaya ia tidak menimbulkan risiko kepada alam dan manusia. Pengurusan yang terbaik adalah berdasarkan ajaran Islam yang memuliakan sifat sabar dalam tindakan. Selain itu ia juga perlu bersandarkan ilmu yang dipelajari. 

Perhatikan individu yang sedang marah, dia kelihatan terlalu buruk dari segi kelakuan dan perkataannya  yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Ini berlaku tanpa disedarinya. Sering memuhasabah diri dapat membantu mengawalnya.

Saya berpendapat tidak salah menzahirkan kemarahan tetapi lakukanlah secara intelektual menggunakan fikiran waras bertujuan memperbetulkan punca yang menyebabkan rasa marah itu. Ini memang sukar tetapi pengurusan kemarahan tersebut menentukan imej kita dalam organisasi.