Sudah lama saya tidak menikmati juadah ini . Memang sukar untuk mendapatkannya sekarang . Saya mengenali dan menikmatinya sewaktu kecil dahulu ketika menghadiri kenduri aruah atau potong jambul di kampung yang kebanyakan penduduknya merupakan kaum Jawa .
Ibu dan ibu-ibu saudara saya di Johor ada membuat nasi ambeng ini waktu dulu .Masakan yang biasa mereka buat ialah pergedil , sambal goreng , pajeri nenas atau pajeri terung , ayam masak kicap , ayam goreng , ikan goreng dan sebagainya . Kesemuanya kegemaran saya .
Nasi diisi di dalam dulang . Daun pisang diletakkan di tengahnya serta diisi dengan lauk-pauk tersebut , dimakan di antara empat hingga lima orang . Kebersihannya tidak perlu diragukan kerana orang yang makan akan memastikan diri mereka bersih . Cara ini dapat membina ukhwah ahli masyarakat .
Makan bersama-sama dalam satu dulang menyebabkan individu tidak akan makan dengan gelojoh . Bila anak yang sedang membesar ada bersama , mereka juga akan dinasihatkan supaya tidak gelojoh sebab ia tidak baik dari segi kesihatan . Lagipun kuantitinya adalah mencukupi .
Saya pernah menemui sebuah restoran yang menyediakan menu nasi ambeng ini di Sabak Bernam , Selangor . Kami sekeluarga akan menikmatinya hanya apabila berkunjung ke sana melawat sanak- saudara . Inilah cara hidup rakyat Malaysia yang berbeza adat dan makanan . Itulah yang unik dan menarik .