Thursday, December 31, 2009

SEMENTARA

......Kita datang ini 
kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti 
bawa dosa bawa pahala.........

SELAMAT TAHUN BARU 2010
SEMOGA ALLAH MEMBERI KITA PETUNJUK DAN HIDAYAH
MENJALANI KEHIDUPAN  YANG SEMENTARA INI 
SEGALA YANG BAIK DIJADIKAN TAULADAN
SEGALA YANG BURUK DIJADIKAN SEMPADAN
SEMOGA KITA MENJADI HAMBANYA YANG DIREDHAI
BERIMAN DAN BERTAQWA
AMIN.........................

Sunday, December 27, 2009

SANGKUT SANA , SANGKUT SINI

Hari ini kami tersangkut di Plaza Tol Kamunting dan  Plaza Tol Changkat Jering. Kereta terlalu banyak keluar dan masuk sebab warga kerja pulang ke destinasi selepas bercuti  Krismas. Kalau tidak kerana urusan anak, saya pasti tidak akan berada di lebuhraya pada hari sibuk ini.

Dalam umur yang agak lewat ini saya kurang selesa berada dalam keadaan sesak samaada di komplek membeli-belah atau di atas jalanraya dan di lebuhraya. Banyak masa yang terbuang hanya untuk melepasi kaunter pembayaran atau plaza tol.

Saya selalu merancang membeli-belah menentang arus. Pada hari cuti selalunya komplek membeli-belah sesak pada waktu petang. Saya akan cuba ke sana pada awal pagi. Ia juga sesak pada awal bulan kerana pekerja  mendapat gaji, maka saya cuba membeli-belah pada pertengahan bulan.

Namun  perancangan  tidak dapat dilaksanakan bila berurusan dengan anak. Bermacam ragam mereka yang sukar saya atur walaupun telah  meningkat dewasa. Bila diminta bersiap awal, selalunya mereka lambat. Sebab itu boleh tersangkut sana, tersangkut sini akibat kesesakan. 

Bila berada di Padang Mahsyar nanti, keadaan juga sesak, malah lebih sesak dari kesesakan di dunia. Ia tidak dapat dielakkan oleh sesiapa. Hanya  amalan di dunia dapat membantu kita mengharungi kesesakan ini. Saya  berdoa semoga dipermudahkan olehNya bila berada di sana nanti. Itulah harapan kita semua.

Saturday, December 26, 2009

MEMANG SERONOK KETIKA ..........

MEMANG SERONOK KETIKA..........Musim  cuti sekolah. Berbagai aktiviti  dapat dijalankan. Tetapi cuti menjadi kurang seronok apabila program terlalu padat seperti kenduri-kendara yang berturutan.

MEMANG SERONOK KETIKA...........Pergi bercuti. Dapatlah melihat pemandangan indah dan menarik di tempat orang. Tetapi kurang seronok bila balik bercuti badan rasa terlalu letih seperti  tidak bermaya.

MEMANG SERONOK KETIKA...........Melayari website dan blog  waktu cuti. Tetapi kurang seronok bila terbaca blog yang penuh  kata cacian dan  hinaan  dari  kalangan yang mengaku diri Islam. Mana kemurnian Islamnya?

MEMANG SERONOK KETIKA...........Mengkritik orang lain. Tetapi  lebih baik kalau diri sendiri pun sedia dikritik supaya ada keseimbangan alam. Tanpa keseimbangan kepunahan jiwa pasti berlaku.  

Kita hanya manusia biasa yang tidak sunyi dari kesilapan. Mengakui kesilapan diri bermakna mengakui kebesaran Allah. Mengakui  kelemahan  diri bermakna mengagungkan kekuasaanNya.

INGAT-INGAT SELALU

Gambar Hiasan: Masjid di Bandar Baru, Kedah
Pembinaan masjid  di sesuatu kariah  adalah perlu  oleh  kerajaan  bagi menunaikan kewajipannya terhadap agama dan memenuhi keperluan  rakyat.

Kewujudan masjid boleh  mengingatkan kita  tentang tanggungjawab dalam kehidupan di dunia untuk kesejahteraan  di akhirat. Aktiviti  yang dijalankan   boleh meningkatkan kesedaran kita terhadap kewajipan diri.

Seharusnya tidak wujud soal "siapa lebih Islam" sebab Allah penentu segalanya. Apa yang penting ialah  kita berusaha mempraktikkan yang terbaik untuk  umat Islam serta mengajak ke arah kebenaran.

Kita tidak mahu di rumah Allah  ada berlaku pecah-belah penganutnya. Mendabik dada dan mengatakan diri  terbaik adalah "riak" yang dilarang. Dakwah seharusnya dilakukan secara terbaik  dan terhemah. 

Dakwah terbaik adalah model diri  terbaik seperti yang dipraktikkan oleh Junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah menyakiti hati sesiapa dan sentiasa berdakwah penuh hemah, dalam ertikata lain Baginda sentiasa "Cakap Serupa Bikin". Tirulah sepertinya......

Friday, December 25, 2009

MOH KITA KE KUALA KANGSAR BANDAR DIRAJA



 

 

 
Apa yang ada di Bandar Diraja ini pasti tidak mengecewakan . Cuti-cuti Malaysia......

Thursday, December 24, 2009

Tuesday, December 22, 2009

HIJAU ALAM , HIJAU LAGI HATI INI .....

Bila keluar rumah, saya suka menikmati keindahan alam lalu mengabadikannya dalam kamera handset. Saya entrikan kehijauan yang dilalui siang tadi  dalam perjalanan Kuala Kangsar - Nibong Tebal Pulau Pinang.


Satu sudut di Hentian Sebelah Taiping
 
 

 Hijau ....Berada di taman ini memang mendamaikan

 

Hijau ......Bumbung di R&R Gunung Semanggol  yang hijau

 

Damai .......Plaza Tol Bandar Baharu , Kedah

 
  
Landskap yang kreatif

 

Hijau di kiri, hijau di kanan

 

 Hijau di atas , hijau di bawah

 
......indahnya negeriku  yang hijau......
Kalau abadikan gambar alam , pasti kurang kritiknya. Tetapi abadikan gambar insan, kadang-kala tidak disukai. Sensitiviti insan perlu dijaga. Walau apa-apapun, menikmati keindahan alam akan dapat mendekatkan diri kepadaNya.

Telor

TELUR OH TELUR....

.....yang kerap ditemui......
Semasa belajar di sekolah menengah berasrama penuh selama tujuh tahun dahulu , setiap minggu kami  bersarapan  telur dengan roti . Kami  makan  telur separuh masak atau  telur rebus biasa .

Semasa saya diterima masuk maktab perguruan dan tinggal  selama tiga minggu di asramanya ,  menu sarapan paginya adalah telur dengan roti  juga . Saya tidak pernah gagal memakannya . Rezeki tidak boleh dibazirkan .

Setelah  tiga minggu berada di maktab perguruan saya akhirnya   diterima masuk ke universiti  serta  tinggal di kolej kediamannya . Menu sarapan paginya juga telur dengan roti . Saya tetap  makan sarapan tersebut .

Semasa menghadiri kenduri di mana-mana dari kecil sehingga dewasa , saya selalu dapat bunga telur sebagai cenderahati tradisi . Telur tersebut tidak pernah dibuang . Saya setia memakannya .

Suatu hari saya diberitahu telur tidak baik untuk kesihatan . Saya tidak ambil kisah alasannya sebab dalam kotak fikiran ini terbayang tentang ribuan telur yang telah dimakan . Adakah ini bermakna kesihatan saya tidak baik ? Hanya Allah  Maha Mengetahui ......

Monday, December 21, 2009

HOSPITAL SUNGAI BULOH

KE HOSPITAL SUNGAI BULOH
Pada hari Sabtu yang lalu saya sekeluarga telah ke Hospital Sungai Buloh untuk melawat anak saudara yang menimang  anak pertama . Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ . Hospital baru ini dikatakan yang paling besar dan termoden . Namun begitu banyak lagi ruangnya masih belum beroperasi atas masalah binaan .

 Kami bertolak pada pukul 9.00 pagi dari Kuala Kangsar
 
 Cuaca mendung dan persekitaran lebuhraya berkabus
 
 Laluan ke selatan amat lengang tetapi ke utara lebih sibuk
 
 Suasana ke wad hospital sebelum waktu melawat
 
....Hospital terbesar  ketika ini .....
 Landskap di sekeliling hospital
 
 Ruang-ruang wad
 
 Landskap ke arah kantin
 
Zon kegemaran kami walau di mana-mana .... kantin ...
Semasa berada di sini saya menyimpan harapan agar akan ada anak atau anak murid saya kelak yang menjadi ahli profesional perubatan di sini . Saya berharap mereka mengisi profesion keperluan semasa , tidaklah hanya omong kosong sahaja .

QUEENSBAY MALL


KE QUEENSBAY MALL
Pada hari Jumaat lalu kami meronda ke Queensbay Mall , Pulau Pinang.

 Cuaca mendung ketika menyeberangi Jambatan Pulau Pinang
 
 Traffik ke sana sangat lengang
 
 Perjalanan mengambil masa yang tidak lama
 
 Bangunan ini dilihat  ketika membelok ke arah Queensbay Mall
 
 Bangunan-bangunan di sebelahnya
 
 Bangunan ini terletak di hadapannya
 
 Tempat meletak kereta di hadapannya
 
Suasana di dalam JUSCO di situ 
Saya dapati pengunjungnya tidak ramai walaupun  hari cuti  umum . Namun begitu semakin lama semakin sesak kenderaan di tempat meletak kereta . Kami bergegas pulang secepat mungkin kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan .

Thursday, December 17, 2009

PERUBAHAN

PERUBAHAN MASA DAN KEADAAN
KALAU HENDAK PERCAYAKAN SESEORANG.........
JANGAN  100 % ..........dikhuatiri dia  berubah fikiran sekelip mata atas alasan situasi telah  berubah  . Tinggalkan sedikit keraguan terhadapnya agar kelak kita tidak berputih mata .

JANGAN SEPENUH HATI  ......dibimbangi dia bertukar prinsip hidup  sekelip mata atas alasan hal  lama tidak relevan lagi  . Buangkan sedikit kepercayaan terhadapnya agar kita tidak kecewa .
JANGAN BERKORBAN BERHABISAN .... ditakuti dia bertukar rupa  sekelip mata bertujuan  mengambil kesempatan yang tersedia . Fikirkan juga dia manusia biasa yang tidak sempurna  agar kita tidak merana .

Dalam zaman serba moden , latar belakang seseorang tidak boleh lagi disandarkan untuk dipercayai sepenuhnya . Kadang-kala dia lebih bahaya daripada yang lainnya di sebalik perwatakan yang tidak disangka-sangka .

Menyempitkan fikiran atas sesuatu hal  boleh merugikan . Sebaiknya usah berpaut di dahan  rapuh dan tidak menyandar pada  sokong yang boleh  rebah . Berusaha dan bertawakkal kepadaNya , Tuhan seluruh alam .

Wednesday, December 16, 2009

KENAPA TETAP BERSAMA

Saling menghormati antara satu sama lain dalam saat suka dan duka merentasi kehidupan yang mencabar ...........Cabaran yang sukar bukan halangannya  untuk mnghormati orang lain .

Saling menghargai antara satu sama lain dalam mengharungi kehidupan yang penuh ranjau dan duri ........Idealogi yang berbeza bukan penyebab hilangnya perasaan menghargai sesama insan .

Saling menerima antara satu sama lain dalam setiap kejadian dan penentuan yang ditakdirkan oleh Tuhan ....... Nasib malang dan ketidaksempurnaan diri bukanlah pencetus rasa benci terhadap orang lain .

Bukan mudah untuk konsisten bersama seseorang , tidak kiralah samada pasangan hidup , sahabat , ahli organisasi dan sebagainya . Kematangan pemikiran adalah kunci menjadi menusia yang " humble ".

Dalam kehidupan yang serba materialistik , jati diri adalah perlu  untuk membezakan yang mana kaca dan yang mana permata supaya tidak diperdaya  . Hanya jauhari yang mengenal maknikam .....

Tuesday, December 15, 2009

KENAPA DUDUK ATAS PAGAR

Sebelah sana mulut harimau , sebelah sini mulut buaya .......Dua-dua belah tidak selamat . Duduklah dia di atas pagar  menanti waktu yang sesuai .Dia melompat  apabila  mulut-mulut itu  tertutup rapat.

Sebelah sana mengata-mencerca , sebelah sini membuat dosa .....Dua-dua belah tidak boleh diikut . Duduklah dia di atas pagar mencari kebenaran dan menjalani kehidupan yang lebih diyakininya  .

Sebelah sana cakap tak serupa bikin , sebelah sini bikin tak serupa cakap .......Dua-dua belah membuat maksiat . Duduklah dia di atas pagar melaksana tanggungjawabnya  untuk alam  dan manusia .

Tuhan memberi akal untuk berfikir dan memilih kehidupan yang benar . Kalau hendak berpaut janganlah di dahan yang reput  supaya tidak terjadi "harapkan sokong , sokong membawa rebah " .
Kehidupan  ini terdapat berbagai jenis spesis dan entiti . Seeloknya janganlah dipercayai sembarangan  terhadap semua itu selain Allah kerana Dia Maha Berkuasa . Yang benar tetap benar dan sebaliknya .

Monday, December 14, 2009

VIDEO DI LIMA 2009

Hari ini saya entrikan beberapa video pertunjukan udara pameran LIMA 2009 yang sempat kami saksikan . Ia dirakam oleh anak-anak perempuan saya .










Saturday, December 12, 2009

NAK JAGA STATUS

Membeli-belah di kompleks yang menjual barangan berjenama dari luar negara ,,,,,,. Katanya barangan di situ ada kelas , nak jaga status . Kalau gaji setakat empat angka , apa statusnya  yang dijaga ?

Membeli rumah mewah   eksklusif serta pemandangan yang cantik di atas bukit ......... Katanya  kediaman  di situ ada kelas , nak jaga status .Kalau gaji setahun tak cecah jutaan ringgit ,  apa statusnya yang dijaga ?

Makan-makan di restoran terkenal dengan menu yang berganda harganya ...........Katanya makanan di situ ada kelas , nak jaga status . Kalau hujung bulan poket kosong , apa statusnya yang dijaga ?

Asyik fikir  "nak jaga status " . Kalau tak fikir  ungkapan itu , adakah kita tak ada status ? Kehidupan yang terbaik ialah kehidupan yang berada dalam lingkungan status sendiri , bukan menyelit di dalam status lain .

Orang tua-tua sudah meninggalkan pesan " Ukur baju di badan sendiri " . Amat selesa memakai baju yang diukur di badan sendiri . Tidaklah timbul sendat sana , longgar sini . Yang penting ....selalu bersyukur.....

BERSENDIRIAN...........

Kalau mati  kita akan sendirian  .  Apa yang dibuat di dunia menjadi  bekalan selamanya . Peliknya semasa di dunia kita tidak akan bersendirian . Fikiran sentiasa ada memikirkan sesuatu atas seseorang / organisasai . Fizikal sentiasa melaksanakan  sesuatu bersama  seseorang / organisasi .

Kalau di renungkan , memang unik urusan yang Allah letakkan ke atas kita . Mati bersendirian tetapi semasa hidup  kita dilingkungi berbagai : alam dan manusia yang mewarnai kehidupan kita sejak lahir . Warna-warna inilah yang mencorakkan hidup kita untuk dijadikan bekalan bila mati nanti , samada dosa atau pahala .

Bila berada dalam tekanan , saya sering terfikir untuk bersendirian mencari kedamaian . Hakikatnya  kita tidak boleh bersendirian ; ada suami di sisi yang akan bertanya dan ambil tahu , ada anak-anak yang mengikuti perkembangan ibu , ada organisasi yang akan bertanya itu dan ini . 

Itulah kehidupan kita , tiada  istilah "bersendirian" yang hakiki . Inilah kesinambungan hidup kita kerana akal sentiasa berfungsi selagi nadi masih berdenyut . Hanya kematian yang akan menghentikan segala-galanya . Ketika itulah kita bersendirian dalam ertikata yang sebenar .

Wednesday, December 9, 2009

NIBONG TEBAL PULAU PINANG

PERJALANAN HARI INI   KE NIBONG TEBAL PULAU PINANG
Keluar dari Plaza Tol Kuala Kangsar jam 11.30 pagi  ke Pulau Pinang
 
 Langit cerah , lebuhraya ke utara lengang
 
 Keluar lebuhraya melalui Plaza Tol Bandar Baharu
 
 Merentasi Pekan Parit Buntar
 
 Memasuki Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal
 
 Kawasan rekreasi di dalam kampus
 
 Selesai urusan anak saya di pejabat HEP , kami pulang melalui laluan ini
 
 Kami mencuba laluan ini - merentasi Sungai Kerian
 
 Berdasarkan petunjuk jalan kami meneruskan perjalanan pulang
 
 Akhirnya kami temui laluan ini  - di depan Masjid Bandar Baharu
 
 Saya sempat klik gambar Kilang Simen ini  dari lebuhraya -  Padang Rengas
 
 Kami tiba di Kuala Kangsar pada jam 2.30 petang
Petang ini saya tidak ke mana-mana lagi  . Saya bercadang merawat pokok-pokok bunga yang sudah terbiar agak lama , terutama anak-anak pokok oked . Inilah dunia saya di rumah - flora ....tanpa fauna ..... Itulah hobi saya sejak kecil .

Tuesday, December 8, 2009

RODA KEHIDUPAN

Hidup kita sentiasa dilanda perubahan , baik dari segi fizikal diri mahupun persekitaran ; malah perubahan mental dan emosi juga boleh berlaku seiring dengannya . Kesemua ini tidak ubah seperti roda yang berputar .

Perubahan yang baik amatlah disarankan oleh semua pihak . Namun begitu terdapat juga perubahan yang berlaku di dalam bentuk sebaliknya . Memang malang jika kita mengalami perubahan begini .
  
Berdasarkan ini . eloklah insan berhati-hati dalam segala bentuk tindakan  . Contohnya , kalau hendak mengkritik atau mengata , sebaiknya  berhati-hati , bimbang  ia berubah menjadi sebaliknya lantas memakan diri .

Orang tua-tua  ada berpantun  "mengata dulang paku serpih , mengata orang aku yang lebih " . Dalam Islam  kita disarankan memuhasabah diri untuk mencari hala tuju yang diredhai di samping mendamaikan jiwa .

Saya teringat pesanan seseorang dalam ceramahnya " Kalau terlalu diikutkan  kehendak kehidupan di dunia ini kita akan hanyut dan akan berkawan dengan syaitan . Sebaiknya laksanakan juga keperluan  hari kemudian ".

Tidak sukar untuk mengesan samada kita berkawan dengan syaitan atau tidak . Segala pemikiran dan tindakan  negatif  yang bercanggah dengan Islam adalah hasutan syaitan . Semoga hidup kita  akan  sejahtera sentiasa .

LANGKAWI 2009 (11)

CATATAN (11) PERCUTIAN DI LANGKAWI 2009
BERIHAT DI TAMAN GEOPARK 
Sebelum berangkat pulang , kami ke Taman Geopark di kaki Gunung Mat Cincang . Oleh kerana masih awal lagi , pengunjungnya tidak ramai . Kami tidak bercadang untuk menaiki kereta kabel , hanya berpusing keliling di situ dan berihat di pondok yang disediakan .

 melintasi jambatandi pulau ini
 
 Bangunan yang dilalui dalam perjalanan
 
Berihat di tepi tasik di taman ini
 
 bangunan di tepi tasik
 
 Bangunan yang terdapat di taman ini
Terdapat premis perniagaan di sekitarnya yang menjual berbagai barangan cenderahati . Produk tempatan yang dijual di sini saya dapati harganya berpatutan . 

Selepas itu kami beredar ke  Jeti Kuah untuk memulangkan kereta Proton Iswara yang disewa serta membeli tiket feri ke Kuala Perlis . Alhamdulillah , perjalanan pulang adalah lancar sebab kami tidak perlu menunggu lama menaiki feri jam 12.30 tengahari .

Sebaik  tiba di Jeti Kuala Perlis , terus mengambil Nazaria kami di stornya dan berangkat pulang ke Kuala Kangsar . Anak-anak meminta kami bercuti ke sana lagi pada Disember 2010 nanti . Insyaallah .......