Hari ini kami tersangkut di Plaza Tol Kamunting dan Plaza Tol Changkat Jering. Kereta terlalu banyak keluar dan masuk sebab warga kerja pulang ke destinasi selepas bercuti Krismas. Kalau tidak kerana urusan anak, saya pasti tidak akan berada di lebuhraya pada hari sibuk ini.
Dalam umur yang agak lewat ini saya kurang selesa berada dalam keadaan sesak samaada di komplek membeli-belah atau di atas jalanraya dan di lebuhraya. Banyak masa yang terbuang hanya untuk melepasi kaunter pembayaran atau plaza tol.
Saya selalu merancang membeli-belah menentang arus. Pada hari cuti selalunya komplek membeli-belah sesak pada waktu petang. Saya akan cuba ke sana pada awal pagi. Ia juga sesak pada awal bulan kerana pekerja mendapat gaji, maka saya cuba membeli-belah pada pertengahan bulan.
Namun perancangan tidak dapat dilaksanakan bila berurusan dengan anak. Bermacam ragam mereka yang sukar saya atur walaupun telah meningkat dewasa. Bila diminta bersiap awal, selalunya mereka lambat. Sebab itu boleh tersangkut sana, tersangkut sini akibat kesesakan.
Bila berada di Padang Mahsyar nanti, keadaan juga sesak, malah lebih sesak dari kesesakan di dunia. Ia tidak dapat dielakkan oleh sesiapa. Hanya amalan di dunia dapat membantu kita mengharungi kesesakan ini. Saya berdoa semoga dipermudahkan olehNya bila berada di sana nanti. Itulah harapan kita semua.
No comments:
Post a Comment