Tuesday, October 27, 2009

MENYEBERANG LAGI

Hari ini saya menyeberang jambatan Pulau Pinang lagi . Selepas tamat waktu persekolahan saya dan suami bergegas ke sana untuk menghantar barang keperluan anak yang tertinggal di rumah ketika dia bercuti Deepavali lalu.

Laluan ketika itu tidak terlalu sesak dan perjalanan kami lancar .

 
Trafik di atas Jambatan Pulau Pinang agak lengang ketika itu .

 
Kami masuk ke IPGM ini untuk menemui anak di asramanya.

 
 Pemandangan sebahagian asrama di IPGM itu .

 
 Kami solat asar di surau IPGM ini .

 
Kami meninggalkan Pulau Pinang pada jam 6.30 petang .

Beginilah kehidupan kami seterusnya untuk lima tahun ini . Soal penat-lelah terpaksa diketepikan demi anak-anak . Sanggupkah mereka menepikan penat lelah bila   kami telah tua nanti ? Saya pasrah kepadaNya dan hanya mampu buat yang terbaik untuk mereka pada ketika ini . 

Monday, October 26, 2009

PEPERIKSAAN

SUASANA PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN
Semasa mengawasi pelajar kelas 6 Rendah menghadapi  peperiksaan akhir tahun , saya sempat merakam situasi mereka . Berbagai aksi tersendiri ditunjukkan semasa menjawab soalan .

 Pelajar lelaki duduk di bahagian belakang

 
 Ada pelajar yang memandang ke luar untuk mengingat fakta

 
Ini macam  tiang seri blok lama sekolah premier ini 
 
 
 Bila kerimasan , sayapun mencari sesuatu yang segar . Pohon bunga tanjung di luar kelas ini menyegarkan mata memandang serta  mengurangkan kerimasan yang dirasa

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN

Hari ini bermula peperiksaan akhir tahun tingkatan 6 Rendah . Tahun ini saya tidak mengajar kelas 6 Rendah . Saya hanya terlibat dengan kelas 6 Atas dan tingkatan 5 .

Awal pagi lagi saya sudah mendapat relief  kelas 6R3 dari pukul 7.40 hingga 9.00 pagi . Peperiksaan bermula pada jam 8.00  . Saya pun ke kelas tersebut dengan membawa soalan Pengajian Am 1 serta jadual peperiksaan pindaan . 

Sebelum bermula saya meminta pelajar memusingkan meja dan meletakkan semua beg dan buku rujukan di depan dan belakang kelas . Tepat pukul 8.00 pagi peperiksaan pun dimulakan . Belum pun setengah jam saya rasa rimas lalu pergi ke pintu . Kipas angin hanya sebuah sahaja yang ada . 

Pada ketika itulah saya berfikir "bagaimanalah kawan-kawan saya mengajar dalam keadaan seperti itu pada setiap hari ... kepanasan ...? Saya merasa amat bersyukur kerana berpeluang menggunakan makmal setiap waktu pengajaran . Kipas angin mencukupi dan tiada masalah kerimasan begini . 

Lalu saya melafazkan kesyukuran yang tidak terhingga terhadap Yang Maha Esa ke atas  apa yang saya terima . Beginilah resam manusia , bersyukur hanya setelah merasai ketidakselesaan  orang lain . Saya hanya manusia biasa yang tidak sunyi dari kelemahan ......

Semoga keadaan ini akan berubah untuk mereka merasa lebih selesa . Kalaulah saya boleh ...........

Sunday, October 25, 2009

PERJALANAN HARI INI

Hari ini saya dan suami menghantar anak pulang ke kampusnya setelah urusan dokumen perjanjian biasiswanya diselesaikan di rumah . Saya rasa ingin berkongsi perjalanan hari ini di dalam entri  ini .
 Kampus USM ini bersempadan dengan Perak , Kedah dan Pulau Pinang

 
Bangunan Perpustakaan
Kampus ini dihiasi dengan tumbuhan menghijau berkonsepkan kampus dalam taman

 
Selepas itu kami ke restoran nasi kandar , Riyas di luar kampus . Hujan turun dengan lebatnya .

 
Dalam hujan lebat kami pulang dan singgah di Tol Bandar Baru untuk solat Asar .

 
Saya suka hiasan taman di tol ini . Sebab itulah saya rakam gambar tumbuhannya .

BESAR DAN KECIL

ORANG BESAR , ORANG KECIL , INCOME BESAR , INCOME KECIL
Anak-anak di bangku sekolah secara tidak langsung telah mempelajari siapa dia orang-orang besar dan siapa pula orang-orang kecil dalam sesebuah organisasi. 

Situasi di sekolah adalah satu contoh organisasi. Secara umum, lebih besar sesebuah organisasi itu, lebih tinggilah kedudukan orang-orang besarnya .

Anak-anak patut  didedahkan tentang income supaya mereka ada hala tuju. Mereka boleh pilih samada hendak menjadi orang besar dengan income besar atau menjadi orang kecil dengan income besar. 

Semangat, usaha dan kebijaksanaan adalah penentu pencapaiannya. Tetapi saya selalu nasihatkan anak-anak  supaya menjadi orang kecil dengan income yang besar supaya mempunyai privasi diri........

Saturday, October 24, 2009

BUFFET OH BUFFET

Bila ada jamuan di sana sini , hidangan disiapkan secara buffet . Tetamu  akan mengambil sendiri menu tersedia yang disukai pada kuantiti yang dirasa . Ini boleh diperhatikan samada bersarapan pagi di hotel , jamuan hari terbuka , kenduri-kendara dan sebagainya .

Mengadakan jamuan secara buffet ini ada kelebihannya . Ia memudahkan pengusaha mengendalikan majlis makan itu . Tetamu pula mempunyai lebih kebebasan dari segi masa makan dan pilihan menu yang disediakan , Tetamu juga selesa bertukar tempat duduk makannya jika perlu .

Namun satu perkara yang tidak manis dipandang , lebih-lebih lagi bagi orang yang beragama Islam ialah pembaziran dari cara ini . Pengambilan makanan secara berlebihan tetapi tidak dihabiskan tidak patut berlaku . Ambillah makanan itu pada kuantiti yang berpatutan , Selepas itu jika rasa terkurang , tambahlah lagi nanti .  
  
Tetamu tidak harus rasa malu untuk menambah makanannya kemudian tetapi patut rasa bersalah jika makanan tidak dihabiskan kerana terlalu banyak . Inilah pembaziran . Membazir adalah teman syaitan . Sebaik mungkin elakkanlah .

Friday, October 23, 2009

GARAM DAN LANGAU

Pesan orang tua " Jadilah garam yang boleh mengawit ikan supaya ikan tidak busuk . Ikan yang sudah diawit boleh disimpan lama dan boleh dimakan kemudiannya ".

Pesan orang tua lagi " Kalau tidak berupaya jadi garam , jangan pula jadi langau . Apabila langau menghurung ikan , ikan akan busuk dengan cepat dan tidak boleh disimpan lama ".

Kita akan menghadapi masalah kalau langau lebih banyak daripada garam . Setelah ikan menjadi busuk dan tidak boleh dimakan , langau mencari ikan lain pula untuk mengulangi habit kehidupannya . 

Sebagai manusia yang berakal , kita patut hapuskan langau itu . Sembur sajalah langau itu dengan racun serangga . Kalau tidak dapat sembur dengan racun serangga , ikan itu patut disimpan di dalam peti sejuk . Langau sepatutnya tidak diberi peluang menghurung ikan supaya ikan tidak cepat busuk .

Tuesday, October 20, 2009

DARI KERANA WANG......

Kerana  banyak wang nama seseorang itu sering menjadi sebutan . Apa tidaknya , berbagai harapan diletakkan pada dirinya ; belanja makan , tengok wayang , beli hadiah , melancong dan sebagainya .

Kerana wang juga , seorang anak teruna  menjadi pujaan ramai . Dia menjadi buruan wanita supaya dijadikan teman hidup . Berbagai cara dilakukan untuk memikatnya . 

Dari kerana wang juga seorang yang tidak ada rupa boleh disukai ramai . Ketika itu musuh pun boleh menjadikannya kawan . Katanya "aku suka poketnya , soal rupa tolak tepi " 

Terjadi juga si gadis menolaknya cinta sang teruna yang mempunyai banyak wang . Alasannya , hatinya tidak tenteram kerana teruna itu menjadi rebutan ramai gadis lain . Baginya " Wang bukan segala-galanya  " kerana dia pun ada wang juga walaupun tidak banyak  . Gadis itu ada mata hati yang terang .

Saturday, October 17, 2009

HIDUP KITA …….

JANGAN SEPERTI…..Lilin
Ia menerangi kelam hanya sementara waktu .. Akhirnya ia cair dan tiada lagi cahaya seterusnya untuk kita . Maka bergelap-gelitalah kita tanpanya .

JANGAN SEPERTI…..Lalang nan sehelai
Bila ditiup angin , ia condong . Kalau angin dari barat , ke timurlah condongnya . Kalau angin dari utara , ke selatanlah condongnya . Bagaimana kita mahu berpaut padanya kerana kecondongan ini boleh membawa rebah .

JANGAN SEPERTI…..Ayam betina
Bila bertelur sebiji riuh sekampung bunyi ketukan . Bingit telinga dibuatnya . Kita tidak boleh harapkan telur nan sebiji ini untuk dimakan kalau ahli kita ramai .

Hidup kita ini jadilah apa sahaja yang baik-baik ; menggunakan ilmu dan akal dalam tindakan ; bukan emosi menjadi sandaran ; tetapi iman menjadi pegangan .

Tuesday, October 6, 2009

WAKTU

KALAU KITA BOLEH MEMUTAR WAKTU KE BELAKANG …..
Kalau kita boleh memutar waktu ke belakang …….
Tentu kita akan lebih tekun lagi mencapai impian bagi kehidupan yang serba indah di dunia ini …mempunyai jawatan yang tinggi , bergaji lumayan , selalu mengelilingi dunia , mempunyai pembantu yang sedia melaksanakan segalanya untuk kita . Namun dengan wang ringgit dan harta-benda yang menimbun bukan satu ketentuan kebahagiaan diri sebab ia belum dapat menjamin memiliki cinta yang sejati …..

Kalau kita boleh memutar waktu ke belakang …….
Tentu kita akan lebih komited mengisi diri dan rohani dengan segala suruhan Allah tanpa lalai dan leka agar mendapat pahala yang bertimbun untuk masuk ke syurga . Namun segala amalan diri bukan jaminan ke syurga jika diabaikan segala tanggungjawab sesama manusia dan dengan alam semestanya …..

Sebenarnya kita tidak boleh memutar waktu ke belakang kerana kita adalah hamba kerdil yang diberi akal untuk berfikir dan sentiasa diduga oleh Yang Maha Esa .

Thursday, September 24, 2009

AIDILFITRI 2009

Kepada pembaca yang masih meraikan Aidilfitri, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hariraya, maaf zahir batin. Saya doakan semoga semuanya diberkati Allah, berada dalam keadaan sejahtera.

Dalam merayakan hari yang berbahagia ini, sebaiknya hubungan yang renggang dapat dirapatkan, kekeruhan yang wujud dapat dijernihkan dan perasaan yang saling curiga-mencurigai dapat diikhlaskan demi sebuah kelangsungan kehidupan yang harmoni. Keharmonian dalam kehidupan seharusnya diwariskan kepada anak-anak supaya mereka akan menjadi insan yang sejahtera untuk berbakti, mengenang budi dan menghargai diri dan orang lain.

Melalui entri ini saya ingin menzahirkan trend semasa yang tidak sedap dipandang mata. Kalau diperhatikan tentang pakaian menyambut lebaran kali ini nampaknya fabrik yang digunakan semakin nipis dan jarang. Pengguna tidak bersalah dalam pasaran pakaian yang meluas ini tetapi sebenarnya mereka masih ada pilihan untuk memilih fabrik yang lebih tebal dan selesa. Sebagai penganut Islam hal ini perlulah diteliti supaya kita tidak meneruskan kecuaian ini dalam etika berpakaian.

Pemilihan pakaian amat bergantung kepada  individu untuk kelihatan lebih anggun. Satu perkara yang membuat seseorang lupa ialah keinginan untuk kelihatan anggun  boleh melekakan mereka dari landasan yang sebenar. Dan sebenarnya seseorang itu tetap anggun  kalau sentiasa mengenakan pakaian sopan yang sedap di pandang mata.

Monday, September 7, 2009

SALAH MENYALAH

Dalam pengamatan saya, individu yang berjaya tidak mudah menyalahkan orang lain atas sesuatu kekurangan atau kesilapan yang berlaku ke atas diri sendiri. Dia akan mengkaji punca masalah dan mengatasinya hingga berjaya. Individu yang  kurang berjaya pula sering mencari alasan ke atas kekurangan diri dengan menyalahkan orang lain di atas apa yang telah berlaku.


Menyalahkan orang lain sebenarnya hanya membazir waktu dan menutup ruang penyelesaian ke arah  kejayaan. Satu perkara yang sering terjadi ialah dalam mengungkap kesalahan orang lain itu, ia dizahirkan dengan penuh emosi dan kata-kata yang tajam serta kurang menyenangkan. Agaknya ini sahaja cara untuk memuaskan hati individu terbabit.

Kita perlu berhati-hati apabila menyalahkan orang lain. Apa yang kita tidak mahu ialah jika terbukti memang diri sendiri yang bersalah atau bermasalah, ini akan memalukan diri sendiri untuk jangka masa yang panjang. Mana hendak diletak muka dan maruah? Ada baiknya jika bersabar, berbincang, bermuhasabah diri mencari penyelesaian. Allah akan membantu hambaNya yang dalam kesusahan.


Dalam hal ini, ada baiknya jika ikut nasihat orang tua yang mengatakan ikut rasa binasa , ikut hati mati. Sabar  adalah sebahagian daripada iman. Olehitu elakkan diri daripada  betindak melulu. Nanti malu.

Monday, August 31, 2009

ERTI MERDEKA

Hari ni genap 52 tahun kita merdeka. Dalam usia ini telah banyak perubahan berlaku ke atas sistem di negara kita; dari yang kuno kepada yang moden, dari yang lambat kepada yang cepat, dari yang sukar kepada yang ringkas. Perubahan pasti akan terus berlaku. Saya berharap Malaysia akan terus maju mengikut acuan sendiri berdasarkan keperluan  rakyatnya. Yang penting negara  tidak terikat dengan sesuatu kuasa luar yang merugikan. Itulah erti kemerdekaan sebuah negara.

Erti merdeka buat diri saya pula ialah membebaskan diri dari gejala negatif yang boleh merosakkan  akidah dan sahsiah. Ini bermakna saya perlu berusaha menjadikan hal positif sebagai pegangan diri, baik dari segi agama, bangsa dan negara. Untuk mencapainya  hati mesti ikhlas dalam menerima segala kemungkinan.

Dalam banyak hal hubungan sesama manusia banyak mempengaruhi jiwa kita.  Ini memerlukan kita menghindari buruk sangka , hasad dengki; sebaliknya fikirkan yang positif. Tidak  menyalahkan sesiapa atas masalah yang timbul  adalah langkah terbaik mencapai matlamat.

Memang mudah untuk menyalahkan orang lain tetapi  ini bukan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah. Ia hanya ibarat anjing menyalak bukit. Dengan tenaga yang ada kita mesti berbuat sesuatu. Sesungguhnya  cakap memang tak serupa bikin. Fikir-fikirkanlah.

Monday, August 24, 2009

ANTARA DUA SITUASI

Dialog 1
" Minggu depan kami sekeluarga  nak bercuti seminggu ke Eropah . Sambil tu menjenguk anak yang sedang belajar di sana . Dia dapat biasiswa penuh . Kami  seronok bila dia ke sana sebab kami boleh makan angin sambil shopping sakan "

Dialog 2
"Nak bercuti dalam negeripun aku tak mampu . Apa tah lagi nak shopping-shopping ni  . Anak-anak aku kat IPT tu hanya dapat pinjaman separuh  PTPTN "

Itulah situasi kita kalau pemegang amanah terlepas pandang tentang keutamaan dalam kehidupan ini . Yang senang  terus jadi senang  dan menikmati keseronokan . Yang kurang  senang hanya mampu pandang sahaja sambil berjuang dengan tulang empat kerat .

Di mana silapnya ? Kekurangan integriti ...... Integriti adalah sesuatu untuk dihayati dan dipraktikkan tapi malangnya orang selalu tak kisah .... Agaknya "KEMUDIAN" nanti baru  rasa . Di Bulan Ramadhan ni sama-samalah kita fikirkan.

Sunday, August 23, 2009

TINGGINYA BUDI , INDAHNYA BAHASA .....

Secara semula jadi kita sukakan ketinggian budi dan keindahan bahasa . Ciri-cirinya ialah pengungkapannya tidak membingitkan telinga serta tidak mengguris hati . Kita boleh akur walaupun tugasnya berat . Kalau sebaliknya , kita boleh jadi menolak mentah-mentah walaupun tugasannya amat ringan akibat sakit telinga dan terguris hati .

Pendidikan budi dan bahasa perlu dilakukan semasa usia rebung . Kalau diperhatikan telatah anak-anak kecil di rumah atau di sekolah , akan didapati ia berpadanan dengan suasana pembesaran . Kalau dia selalu dibentak , ungkapannya akan selalu membentak . Kalau ia selalu dipujuk , bahasanya merupakan pujukan . Adalah penting bagi ibubapa memahami hal ini supaya anak-anak dididik mengikut acuan yang betul .

Bahasa berlapik adalah salah satu elemennya . Penggunaannya tidak menonjolkan kita dalam label materialistik , memandang pangkat dan darjat dan sebagainya . Contohnya "Siapa Kassim Selamat tu , lawyer , doktor ? " Ungkapan ini jelas menunjukkan penuturnya memandang darjat . Maknanya sama dengan ungkapan "Kassim Selamat bekerja di mana ? Siapa keluarganya ? " Ungkapan kedua lebih manis bahasanya walaupun makna kedua-duanya sama .

Dalam hubungan informal , telinga individu boleh panas kalau ditanya "Berapa gaji sebulan ? Apa pangkat awak ? Anak awak dapat berapa A ? " Ungkapan ini boleh dilapik dengan ungkapan lain yang tidak memanaskan telinga .

Kita kena belajar menggunakan bahasa berlapik kalau ketinggian budi dan keindahan bahasa hendak diterap dalam pendidikan . Malang sekali pada zaman ini ungkapan yang selalu diberi ialah "Apa ada pada budi ? Apa pentingnya bahasa ? Yang penting poket dan perut berisi ". Memang ia tidak penting kalau kita tidak kisah jika anak kita tiada budi bahasanya kepada kita ketika kita sedang uzur bongkok tiga nanti . Ketika itu sudah terlambat untuk menyesali apa yang telah kita lakukan ........

Monday, August 17, 2009

"SAYA TAK ADA PERASAAN , CIKGU ! ....."

Waktu itu saya ditugaskan menyerahkan slip keputusan peperiksaan SPM kepadanya. Seperti yang saya buat kepada pelajar lain, diapun saya tanya juga"Apa perasaan awak mendapat keputusan yang begini? "Dia pun memberikan jawapan tersebut. Saya renung ke matanya, dia seperti tidak respon apa-apa, memang seperti tidak ada perasaan. Saya biarkan dia berlalu pergi . 

Selepas itu saya berfikir sendirian "Ke mana pergi perasaannya? Adakah disebabkan penampilannya yang kurang, atau pencapaiannya yang rendah, atau sosio ekonomi keluarga di bawah paras kemiskinan atau lain-lainnya? "Saya tidak begitu mengenalinya sebab tidak mengajar kelas tersebut. Fikiran nakal saya mula merayau "Adakah ini bermakna dia juga nanti tidak akan ada perasaan terhadap wanita? "Kalau begitu tak apalah TAPI kalau saraf itu sahaja yang dominan manakala saraf-saraf lainnya pasif, habislah.... Akan malanglah wanita itu nanti. 

Sebagai guru saya mendoakan yang terbaik buatnya. Mudah-mudahan sarafnya pulih, ada perasaan dan menjadi manusia yang normal. Tanpa perasaan kita ini sebenarnya bukan sesiapa, ibarat kayu mati......

Sunday, August 16, 2009

ADILKAH KITA........

Bukan semua orang sentiasa bernasib baik. Itu urusan Tuhan yang Maha Berkuasa. Nasib seseorang ibarat air di pantai , ada pasang dan ada surutnya. Kalau nasib baik, bersyukurlah tapi kalau kurang baik, terima dan redhalah. Ada banyak hikmah di sebaliknya. 

Kalau sesuatu keputusan menyebelahi kita, tentulah kita seronok. Adilkah kita jika kita marah-marah, kutuk-mengutuk, kata-mengata, hamun-menghamun, salah-menyalah jika keputusan itu tidak menyebelahi kita? Mana keseimbangan diri? Terimalah..... Jangan beri pelbagai alasan kalau diri di pihak yang kurang bernasib baik. 

Ketidakterimaan ini sebenarnya boleh menjadi barah dalam agama dan masyarakat. Apa yang bahaya ialah kita boleh jadi lupa tentang qada' dan qadar, boleh sesat dalam kehendak diri dan boleh seleweng daripada ajaran agama. Apalah sangat kehidupan di dunia yang sementara ini, yang kekal itulah perlu diutamakan.

Sunday, August 9, 2009

BILA KASIH BERALIH ARAH.....

Terkedu saya bila terbaca sebuah kisah rumah tangga sepasang suami-isteri memasuki usia emas dalam suratkhabar hari ini. Suami mula berubah ; balik lewat malam, kurang bercakap dengan isteri , tidak hiraukan isteri. Isteri setia menanti setiap hari serta dilayannya suami dengan baik seperti biasa . Anak-anak yang telah dewasa menyedari hal ini lalu menyiasat. 

Hasil siasatan mendapati ayah mereka sudah ada wanita lain yang mereka lihat sendiri sedang membeli-belah dengan ayah mereka. Ketika itu isteri diberitahu bahawa dia "outstation". Mereka bersemuka. Si ayah mengamuk, tetapi mengakui hal tersebut lalu jarang balik ke rumah. Mereka akhirnya berkahwin. 

Isteri pertama kecewa tetapi demi sayangkan suami dia sabar malangnya dia diceraikan tanpa alasan yang diberi. Namun anak-anak hilang sabar bila mendapat tahu ibunya difitnah dengan pelbagai cerita negatif yang palsu. Anak-anak bersemuka lagi dengan ayah mereka untuk menyelamatkan rumahtangga tetapi si ayah berkeras dengan keputusan tersebut. Maka berakhirlah sebuah kesetiaan yang dibalas dengan racun yang perit. 

Soal suami kawin lagi bukan masalah bagi wanita itu tetapi memfitnah dirinya semata-mata untuk memikat wanita lain adalah perkara "terlampau" yang menghiris hatinya. Sayapun pelik bagaimana boleh timbul hal-hal negatif semata-mata untuk berkahwin lagi dalam usia hampir senja seorang suami? 

Bagi wanita teraniaya, bersabarlah dan redhalah apa yang terjadi. Carilah kebahagiaan hati sendiri bila kasih telah beralih arah. Usah dirayu pada yang tak sudi lagi. Ada banyak hikmah di sebalik apa yang terjadi. Anda beruntung sebab anak-anak telah dewasa untukberkongsi kasih dan menyayangi. Si suami, biarkanlah.  Mungkin dia terlupa bahawa dia boleh jadi terpaksa membancuh susu serta menghantar anak ke tadika dalam usia pencennya nanti.

Friday, August 7, 2009

ANUGERAH DARI KEGAGALAN

Semua orang akan sedih bila mengalami kegagalan. Bersedihlah, luahkanlah perasaan itu sehabis-habisnya supaya tidak berbuku di hati. Selepas itu perlulah ada muhasabah diri. Level inilah yang paling mustahak bagi meneruskan kesinambungan perjuangan diri . Anugerah dari kegagalan..... Itulah yang menjadikan seseorang lebih berjaya dari masa-masa lampau. 

Kegagalan mengajar kita untuk lebih tabah, memahami hati dan perasaan sendiri dan lebih fokus apa yang dibuat. Yang paling penting menjadikan kita tidak ego serta kita menjadi lebih menginsafi kejadian Tuhan. Tuhan mahukan kita redha serta bersyukur di atas segala yang terjadi. Moga dengan ini keimanan akan lebih kukuh .

Tuesday, August 4, 2009

POLIGAMI....TAK POLIGAMI....

Saya tergelak mendengar cerita teman di Bilik Guru siang tadi. Ceritanya begini. Ada seorang suami berkahwin seorang lagi tanpa pengetahuan isteri pertamanya. Bila mendapat tahu tentang hari perkahwinan tersebut, isteri pertamapun hadir memberi sokongan.

Selepas itu isteri pertama berjumpa tok imam minta bercerai daripada suaminya. Alasannya bukan kerana suaminya berkahwin seorang lagi tetapi di dalam borang bernikah, suaminya tulis statusnya sebagai duda kerana isteri pertama meninggal dunia. Dia tidak dapat menerima hakikat pembohongan suaminya yang mengatakan dirinya telah mati. 

Itulah kisah wanita yang boleh terima poligami tetapi tidak jadi berpoligami kerana pembohongan suaminya yang "terlampau. Isteri pertama yang masih hidup dikatakan sudah mati. Inilah akibat membuat sesuatu tindakan tidak berfikir panjang. Islam tidak suruh berbohong. Sesuatu yang dimulakan dengan pembohongan memang akan menghadapi masalah. 

Pengajaran cerita ini ialah buatlah sesuatu berlandaskan kebenaran dari sudut agama dan moral. Isteri menentang poligami kerana ia tidak dilaksanakan dengan jujur dan betul. Semoga seorang lelaki yang bernama suami kenalah hargai isteri pertama, jangan anggap ia telah mati. Itulah adanya.....

Wednesday, July 15, 2009

BUDIBAHASA BUDAYA KITA

Rakyat Malaysia terkenal dengan budibahasa yang tinggi dan luhur. Ini perlu diwariskan kepada generasi muda supaya mempunyai sahsiah yang mulia , menghargai dan menghormati orang lain. 

Namun begitu saya tidak berpuashati apabila ada individu yang memegang kuasa terlupa bahawa dia perlu berbudibahasa setiap masa supaya menjadi contoh kepada orang bawahannya. Ucapkanlah terima kasih sebagai penghargaan kepada anak buah sebaik mereka meletakkan jawatan, jangan dibuat mereka seperti kain buruk untuk mengelap segala tumpahan yang perlu dibersihkan dan kemudiannya dicampak begitu sahaja. 

Dalam situasi mencabar, gunakanlah bahasa tersusun yang menyejukkan jiwa yang panas, bukan memanaskan lagi jiwa yang sedang terbakar. Kenapa mesti marah-marah dan menggunakan bahasa yang tidak sedap didengar oleh halwa telinga? Kenapa merendah-rendahkan anak buah? Ini akan menjelaskan lagi kelemahan diri. 

Tidak usahlah merendah-rendahkan orang lain sebab mereka juga ada daya intelek yang perlu didengar. Usahlah dibangga kuasa yang ada tetapi manfaatkanlah ia dengan sebaiknya. Berat tanggungannya di kemudian hari nanti. Janganlah asyik nak melepaskan tanggungjawab kepada orang lain . Nenek si polan pun boleh buat begitu. 

 Satu hakikat yang perlu diterima ialah kita akan berpakaian sama bila roh bercerai dari badan...iaitu kain putih....Kita akan tinggal di apartmen yang sama iaitu....alam kubur.....Kita akan dinilai oleh pencipta yang sama iaitu....Allah....

Monday, June 22, 2009

HIPOKRIT

Bila si gadis bertanya tentang status hubungan mereka berdua, dengan romantisnya dia berkata "Hanya you sahaja kekasih I. Selama ini I tak pernah ada kekasih lain. Youlah penawar I seorang. Tanpa you I jadi merana ". 

Namun esoknya dia berpegang tangan dan menonton wayang dengan Katie. Lusanya dia beriring-iringan bersantai berkelah ke Port Dickson dengan Liliy. Tulatnya dia makan berduaan dengan Sally bercahayakan lilin di sebuah restoran terkenal. Dialah lelaki hipokrit yang tidak layak berkasih.
 
Dalam satu ceramah, pemimpin itu menasihatkan rakyat supaya menghargai keindahan alam di negara sendiri serta membeli barangan buatan Malaysia. Dia berkata "Tuan-tuan perlulah menaikkan industri perlancongan di negara sendiri serta membeli barangan Malaysia kerana cara ini dapat menaikkan ekonomi kita sendiri ".

Esoknya dia bercuti ke luar negara bersama keluarga serta membeli belah di sana. Dia juga sentiasa memandu kereta impot yang mahal. Dialah pemimpin hipokrit yang tidak layak bercakap tentang produk negara sendiri. Dia selayaknya dibisukan.  

Hari ini orang menilai kita dari apa yang kita buat. Orang tidak mahu mendengar apa yang kita cakap kerana kejujuran dan keikhlasan telah kian pudar dari manusia sedangkan ia amat diperlukan dalam menjalani kehidupan yang harmoni. 

Ketidakonsitenan diri kita akibat hipokrit ini akan menyebabkan kita diketepikan secara terhormat. Itulah faktanya......

SEMOGA DIA BERJAYA

2009 adalah tahun ketiga saya mengajarnya. Orangnya tinggi dan berkulit cerah. Saya terpaksa mendongak bila bercakap dengannya. Cakapnya tersangkut-sangkut, namun saya akan sabar menunggu sehingga dia habis bercakap. 

Saya tidak pernah menyergahnya ketika dia sedang bercakap walaupun dalam keadaan marah sebab tidak mahu pertuturannya bertambah buruk. Dialah paling rajin menggunakan Bahasa Inggeris di dalam kelas. Mungkin ini adalah disebabkan saya menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar. 

Semenjak di peringkat pra-U ini, saya tidak memarahinya seperti di peringkat SPM dulu. Dia lebih matang dan tidak buat bising lagi, mungkin disebabkab rasa malu kerana kawan-kawan yang lain perempuan belaka berbanding dahulu. Kalau ada masalah, saya hanya menegur secara personal. 

Suatu perkara yang saya selalu tegur ialah sifat malasnya untuk menyelesaikan kerja rumah. Dia hanya tekun belajar di dalam kelas sahaja. Di samping itu saya juga menegurnya ketika dia senyum simpul sendirian tanpa sebab. Saya ingin bertanya hal ini , namun belum berkesempatan. 

Biarlah... Saya harap penyakit ini tidak berjangkit kepada cucu cicit saya. Selama saya mendidiknya, dia sentiasa menunjukkan hormatnya kepada saya walaupun dia bukan berbangsa Melayu. Dia akur apa yang saya ajar serta rajin bertanya. 

Walaupun dia selalu malas membuat kerja rumah, saya sentiasa berharap dia akan berjaya dengan cemerlang dalam STPM (mata pelajaran Sains SPMnya juga bagus) dan seterus berjaya memasuki universiti.

Saturday, June 20, 2009

KAIN BURUK

Segala bentuk kain yang tidak digunakan lagi akan dinamakan kain buruk. Ia boleh terdiri daripada pakaian; peralatan diri seperti tuala dan peralatan rumah seperti langsir dan alas meja. Kain buruk ini pula boleh terdiri daripada berusia lama atau baru, berjenama atau sebaliknya dan sebagainya. 

Semakin tinggi gaya hidup dan selera seseorang semakin banyak kain buruk yang akan dimilikinya, apatah lagi jika daya membelinya adalah tinggi. Ini bermakna satu pengurusan kain buruk diperlukan jika mahu ia berharga. Ia boleh dijadikan bahan untuk menjana ekonomi dan sosial ahli masyarakat. 

Bagi pemilik yang memikirkan tentang pulangan wang, kain buruk boleh dijual dengan harga yang murah. Bagi yang memikirkan tentang amal jariah, ia boleh dijadikan bahan untuk disedekahkan kepada orang yang lebih susah. Bagi kedua-dua kategori itu, kain buruk itu mestilah dalam keadaan baik dan sedia untuk digunakan tanpa perlu diperbaiki. Amalan ini telahpun dilaksanakan di mana-mana. 

Sikap seseorang terhadap kain buruk boleh melambangkan hati budinya. Jika dia seorang yang berhati budi, kain buruk ini akan dimanafaatkan dengan sebaiknya. Dia tidak akan mengenepikannya begitu sahaja sehingga akhirnya berhabuk, usang dan dimakan anai-anai. Dengan ilmu dan iman, dia boleh memikirkan cara bagaimana kain buruk itu boleh dikitar semula supaya berguna kepada alam dan manusia. 

Kain buruk juga sering diibarat kepada seseorang yang khidmatnya tidak diperlukan lagi atas sesuatu sebab. Orang yang berhati budi pasti tidak akan mengenepikan atau mengecilkan hati mereka, sebaliknya masih menghargai dengan mengiktiraf dan menggunakan khidmat atau kepakaran mereka demi kemajuan sesuatu organisasi. 

Saya teringat senikata lagu asli kegemaran saya yang begitu menghargai kain buruk
Tudung periuk 
tudung periuk pandai menari 
menarilah lagu 
menarilah lagu putera mahkota 
Kainlah yang buruk 
kain yang buruk berikan kami 
buat menyapu 
buat menyapu si air mata

Ada makna halus yang tersirat dalam lagu itu. Sebagai manusia, sikap menghargainya adalah elemen yang boleh membezakan kita dari yang berkaki empat.......

Thursday, June 18, 2009

RAPTAI HARI ANUGERAH CEMERLANG

Pagi semalam dan hari ini telah diadakan raptai Hari Anugerah Cemerlang 2009 di dewan sekolah. Olehkerana tiada kelas pada waktu itu, sayapun hadir bersama mereka dan sempat merakam aktiviti raptai ini.
Pasukan band sekolah menyerikan majlis dalam perbarisan hormat ketibaan VVIP 
Mereka telah menjalani latihan pada setiap petang 
Ini pula ahli pasukan dikir barat yang akan membuat persembahan di pentas
Pasukan beruniform bersiap sedia menerima arahan 
Pemeriksaan barisan pasukan beruniform 
Pasukan Kadet Tentera mengetuai perbarisan
Pasukan kompang yang menyambut ketibaan VVIP
Tugas saya sebagai penyambut tetamu akan dibantu oleh pengawas sekolah serta pelajar tingkatan enam. Hari Anugerah Cemerlang kami ialah pada hari Sabtu, 20 Jun 2009, jam 9.00 pagi. Kami akan bercuti pada hari Isninnya. Syoknya cuti!.........

Wednesday, June 10, 2009

KOLEKSI SAYA

Semasa cuti ini , saya gunakan masa yang ada untuk merawat koleksi saya , pokok-pokok bunga di depan rumah . Orang macam saya , manalah mampu membuat koleksi lain yang cantik dan berharga . Yang saya mampu hanyalah koleksi alam ini . Dengan aset yang sedikit , saya terus rawat dan semai setelah membuang dan mencantas yang telah kering . Saya rasa terhibur bila dapat melakukannya . Inilah hiburan orang kurang berada . Saya paparkan di sini sebahagian koleksi yang saya jaga ini untuk tatapan pembaca yang sealiran .

Untuk melaksanakan sesuatu yang menghiburkan , kita tidak perlu mengikut kata orang lain . Buatlah apa sahaja yang kita suka asalkan kita bahagia dan tidak menyusahkan orang lain dan diri sendiri . Biarlah orang kata kita syok sendiri , yang penting kita praktikal , bukan hanya berteori sahaja .

Thursday, June 4, 2009

MENCARI TRANSKRIAN

Bagi saya nama itu semacam ada unsur Inggerisnya tetapi itulah nama sebuah kawasan di Daerah Kerian , Perak . Saya mencarinya semalam . Berdasarkan maklumat kawan-kawan , saya ke sana dengan melalui susur keluar Nibong Tebal , Pulau Pinang . Selepas melepasi tol , kami menemui simpang tiga yang tertulis dengan jelas kawasan yang dicari . Kami terus mencari berdasarkan papan tanda . Jalannya lurus dan petunjuknya jelas . Barulah kami maklum kawasan itu bersempadan dengan Pulau Pinang dan berdekatan dengan Kedah . Akhirnya kami menemui apa yang dicari . Sambil berpusing keliling , saya merakam keindahan alam ciptaan Tuhan di situ .
Persekitarannya dipenuhi pokok-pokok hijau yang segar
Terdapat banyak pokok besar yang rimbun
Terdapat tasik yang jernih airnya dan sejuk mata memandang
Di persekitaran tasik dihiasi pokok subur dan padang menghijau
Padang hijaunya kelihatan terjaga dengan rapi
Di kiri kanan jalan sentiasa kelihatan pohon menghijau
Lanskapnya dibentuk supaya bangunannya seolah berada dalam taman
Tempat ini sesuai dijadikan kawasan berekreasi berasaskan kesegaran alamnya
Selepas merakam suasana di situ , kami pun pulang . Kami akan datang ke sini lagi pada suatu masa nanti untuk membuat urusan yang telah ditetapkan .

Wednesday, June 3, 2009

RESTORAN DALAM TAMAN

Semasa menjenguk anak di kolej pada hari Ahad lepas , saya membawanya makan di restoran yang biasa kami kunjungi . Olehkerana sudah lama tidak ke sana , saya dapati banyak perubahan yang telah dilakukan di restoran tersebut . Bangunannya telah dinaiktaraf menjadi lebih bersih dan menarik . Susun atur pokok bunganya telah diubah menjadi lebih kemas . Tuan punya restoran mengekalkan tema restorannya sebagai restoran dalam taman .
Di samping pokok bunga dalam pasu , restoran ini diteduhi oleh pohon rendang di sekelilingnya menjadikan ia redup dan selesa .
Saya hanya merakam sudut yang tidak diduduki dan dalam pandangan mata sahaja . Sudut lainnya banyak lagi yang lebih menarik . Saya tidak merakamnya demi menjaga privasi individu di sudut itu . Saya menghargai keprihatinan tuan punya restoran tentang keindahan dan keselesaan restorannya . Bukan semua peniaga mengambil berat hal ini . Kalau dibandingkan harga makanannya dengan di tempat lain , memang sama mahalnya , maklum saje , zaman serba mahal , kita tidak dapat mengelaknya . Namun saya lebih mementingkan keselesaan sebab di situ saya mahu bersembang sekeluarga dalam keadaan tenang dan damai . Saya sentiasa berharap agar peniaga makanan akan membuka minda mereka supaya dapat menjadikan premis mereka tempat yang sentiasa ingin dikunjungi untuk berkumpul sambil menjamu selera . Janganlah hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata tetapi buatlah sedikit bakti kepada masyarakat supaya mendapat berkat . Satu lagi cara menarik perhatian pengunjung ialah bersedekah seperti mengadakan makanan percuma mengikut bajet harian yang ia boleh capai seperti makanan pencuci mulut (buah-buahan , bubur manis ) . Hidup kita bukan hendak menongkat dunia , amal jariah perlu difikirkan juga sambil berniaga .

Sunday, May 24, 2009

KE KELANG

Hujung minggu ini agak sibok bagi saya sekeluarga . Kami terpaksa bergegas ke Kelang untuk menziarahi bapa saudara suami saya yang terlantar koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Kelang . Terdapat darah beku di kepalanya akibat jatuh motosikal di kampungnya di Sabak Bernam . Kami adik beradik berkumpul di hospital itu semalam . Hanya dua orang dibenarkan masuk dalam satu masa . Kami berglilir-gilir memasuki wad itu bermula jam 4.30 petang .
Ini adalah bangunan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Kelang . Susun atur bloknya adalah seperti di Hospital Tuanku Bainun Ipoh tetapi kelebihannya tempat meletak kenderaannya lebih banyak dan luas berbanding di Ipoh .
Bangunan ini adalah Pusat Rawatan Harian HTAR Kelang
Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di hospital ini dan kali kedua berada di Bandar Diraja Selangor ini . Kali pertama adalah dua puluh empat tahun yang lalu . Bandar Diraja ini terlalu sesak dengan kenderaan sebab jalan utamanya berada di tengah bandar di mana terletaknya kompleks membeli belah yang kebanyakannya dimiliki oleh peniaga India .
Kami berada di HTAR itu hingga lewat petang . Olehkerana letih , suami saya mengajak kami bermalam di Sungai Buluh . Matahari hampir terbenam ketika kami menuju ke sana .
Kami bermalam di Apartment Putra , Sungai Buluh dan berkumpul adik-beradik di sini .
Dalam perjalanan pulang kami singgah di R&R Tapah untuk membeli buah-buahan . Saya tertarik dengan landskap di dalam bilik air ini lalu merakamnya untuk kenangan .

Tuesday, May 19, 2009

HARI GURU

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH
Semalam kami menyambut Hari Guru Peringkat Sekolah . Peperiksaan Pertengahan Tahun yang sedang berlangsung ditangguhkan sehari . Sambutan dimulakan dengan perhimpunan rasmi di dewan sekolah . Aturcaranya ialah nyanyian lagu Negaraku , lagu Perak , ucapan Ketua Pelajar , Ucapan Pengetua dan bacaan perutusan dari Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia serta Menteri Pelajaran . Slot ini diakhiri dengan Ikrar Hari Guru dan nyanyian Lagu Guru Malaysia . Ini diikuti oleh penyampaian hadiah kepada guru oleh semua pengawas .
Back drop di dewan sekolah
Ketua Pelajar sedang berucap
Lepas perhimpunan , guru-guru menjamu selera di dewan makan asrama sekolah
Selepas itu diadakan sukaneka di dalam dewan di mana guru-guru adalah peserta dan pelajar tingkatan 6 mengendalikannya . Pelajar-pelajar lain berhimpun di dalam dewan itu menyaksikan gelagat guru-guru yang mengambil bahagian . Saya tidak merakam gambar tersebut kerana saya juga telah mengambil bahagian . Kumpulan saya telah memenanginya .
Selepas sukaneka , diadakan konsert pula . Ini adalah pelajar-pelajar kami sedang menyaksikan konsert tersebut yang dipersembahkan oleh pelajar , bekas pelajar dan guru .
Kumpulan Dikir Barat dari Asrama Putera . Mereka adalah johan Dikir Barat Sekolah-sekolah Daerah kami . Mereka mempersembahkan dikir yang dimenanginya .
Hiburan dari seorang guru : Bermain gitar sambil menyanyi
Persembahan yang mengasyikkan dari penghibur yang merupakan bekas pelajar sekolah
Kumpulan Sayembara Puisi yang menjadi johan daerah turut membuat persembahan
Ini adalah guru band sekolah kami sedang meniup alat muziknya dengan lagu "Getaran Jiwa"
Hadiah Hari Guru yang saya terima
Guru tidak pernah mengharapkan hadiah berharga daripada pelajar , cukuplah sekadar ucapan selamat dan hormat . Namun begitu , saya sangat mengharap dan mendoakan agar pelajar berjaya mencapai kecemerlangan dalam kehidupan masing-masing . Itulah hadiah paling berharga buat seorang guru .