Monday, June 22, 2009

SEMOGA DIA BERJAYA

2009 adalah tahun ketiga saya mengajarnya. Orangnya tinggi dan berkulit cerah. Saya terpaksa mendongak bila bercakap dengannya. Cakapnya tersangkut-sangkut, namun saya akan sabar menunggu sehingga dia habis bercakap. 

Saya tidak pernah menyergahnya ketika dia sedang bercakap walaupun dalam keadaan marah sebab tidak mahu pertuturannya bertambah buruk. Dialah paling rajin menggunakan Bahasa Inggeris di dalam kelas. Mungkin ini adalah disebabkan saya menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar. 

Semenjak di peringkat pra-U ini, saya tidak memarahinya seperti di peringkat SPM dulu. Dia lebih matang dan tidak buat bising lagi, mungkin disebabkab rasa malu kerana kawan-kawan yang lain perempuan belaka berbanding dahulu. Kalau ada masalah, saya hanya menegur secara personal. 

Suatu perkara yang saya selalu tegur ialah sifat malasnya untuk menyelesaikan kerja rumah. Dia hanya tekun belajar di dalam kelas sahaja. Di samping itu saya juga menegurnya ketika dia senyum simpul sendirian tanpa sebab. Saya ingin bertanya hal ini , namun belum berkesempatan. 

Biarlah... Saya harap penyakit ini tidak berjangkit kepada cucu cicit saya. Selama saya mendidiknya, dia sentiasa menunjukkan hormatnya kepada saya walaupun dia bukan berbangsa Melayu. Dia akur apa yang saya ajar serta rajin bertanya. 

Walaupun dia selalu malas membuat kerja rumah, saya sentiasa berharap dia akan berjaya dengan cemerlang dalam STPM (mata pelajaran Sains SPMnya juga bagus) dan seterus berjaya memasuki universiti.

No comments: