Semua orang mempunyai masa dua puluh empat jam sehari. Cara ia digunakan berbeza antara satu sama lain. Kalau diamati, tidak berlaku pembaziran masa dalam kehidupan. Namun ia dikatakan berlaku jika aktiviti yang dilakukan tidak dapat memberikan manafaat kepada sesuatu pihak atau individu.
Bagi seorang ahli perniagaan, aktivitinya membuang masa jika tidak mendatangkan keuntungan. Seorang surirumah pula akan merasa membazir masa jika aktivitinya menyebabkan kerja rumahnya tidak lancar atau menghadapi masalah.
Bagi seorang guru, tiada istilah membazir masa jika setiap detik yang berlalu diisi dengan pembelajaran. Bersembang juga satu pembelajaran jika ada memberi dan menerima di mana input yang terlibat dapat mengubah persepsi seseorang terhadap sesuatu.
Kita perlu mewujudkan masa yang berharga di mana pembelajaran boleh berlaku. Bagi kewujudan ini kita perlu sentiasa berfikiran positif tanpa terikat kepada sesuatu fahaman yang sempit demi menghayati ilmu di muka bumi Allah ini.
Sehubungan ini, ibubapa adalah insan terpenting di peringkat awal kanak-kanak bagi menjadikan kehidupan mereka adalah menyeronokkan, bukannya membosankan. Mengadakan keperluan mental dan fizikal untuk pembelajaran dalam perkembangan mereka dapat membentuk mereka menjadi insan penyayang.