Saturday, January 30, 2010

MENGEJAR IMPIAN

Semua orang ada impian. Tentunya impian indah-indah belaka namun tinggi rendahnya pasti berbeza kerana cita rasa manusia tidak sama . Impian dalam diri menjadikan hidup kita lebih bermakna kerana ada hala tuju .

Setiap tahun ketika memasuki kelas kali pertama , saya sering mengingatkan pelajar supaya mencipta impian masing-masing . Mereka masih muda ,  masa depan masih jauh dan bertenaga . Gandingan ini jangan disiakan .

Mencipta dan mengejar  impian dalam perjalanan hidup yang panjang memerlukan minda yang rasional dan terbuka. Boleh menerima segala teguran dan sering  memuhasabah diri boleh membantu  menjayakannya.

Semasa  mengejar  impian, melaksanakannya dengan usaha dan tenaga sendiri pasti membuahkan hasil yang sangat manis dan bernilai kerana kita juga memperolehi kemahiran menjalani kehidupan yang berjaya.

Jika memaksa orang lain melaksanakan semua proses agar tercapai impian diri, lebih baiklah tidak usah mencipta impian. Kejadian ini hanya layak dinamakan memeras ugut untuk mencapai hajat hati. Berdosa.....

Sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai impian diri. Dalam usia hampir emas, saya tidak layak untuk menyebut soal harta-benda, pangkat-darjat sebab ia bukan jaminan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Saya ingin membina rangkaian kerjasama dalam organisasi. Ini membolehkan  masalah berat dapat diselesai bersama. Ia merupakan suatu proses. Kalau sistem pemprosesan  mantap, pasti  outputnya  berkualiti.

Thursday, January 28, 2010

DI SINI..... AKU MENGABDI PADAMU ....

Sebaik kumpulan terakhir pelajar melepasi check point Kejohanan Merentas Desa bagi tahun 2010, kami ke Masjid Ubudiah Bukit Chandan untuk menunaikan solat Asar. Itulah masjid terdekat dengan check point kami. Tambahan pula waktu itu jam menunjukkan hampir pukul  5.40 petang. 

Saya sempat merakam suasananya selepas solat tersebut. Betapa damainya jiwa buat seketika berada  di sini. Ada kuliah agama ketika itu.


 

 

 

 

 

 

 
Bila keadaan mengizinkan, saya akan ke sini  lagi untuk menenangkan jiwa yang kadang-kala rasa kecewa dek resam kehidupan. Benar kata orang "anak bilis, bilis juga; manakan sama si anak jerung". Itulah keluhan si anak bilis......terus menanti agar si jerung tidak berselera memakannya.....

Monday, January 25, 2010

RUNSING.......

.......bila ada komunikasi yang tidak selesa- sindiran, ancaman, perlekehan.... Rasa-rasanya lebih baik berdiam  diri daripada melalui komunikasi begini. Teringat tulisan Prof Dr Azali dari UPM (seniour saya di SMSJ ) "Lidah haiwan panjang tidak pula  berkata-kata, lidah manusia pendek tetapi terlebih kata ".

......bila ada nada suara berirama dan beremosi yang pelbagai, tidak ubah seperti pembelajaran dalam sebuah akademi drama. Apa yang ingin didengar adalah nada piawai yang tepat dan cepat tanpa lerekan bunga-bunga, daun-daun  dan dahan-dahan bahasa. Itulah perlunya profesional.

.....bila ada kerlingan, jelingan dan pandangan tajam yang menunggu waktu untuk membariskan komentar demi komentar umpama peluru berpandu yang digeruni tersalah sasar. Manusia biasa tidak sunyi dari kesilapan tetapi dikhuatiri kesilapan tidak boleh diterima. 

Kerunsingan adalah permainan hidup, namun ia bukanlah permainan yang terbaik. Ada banyak akibat daripadanya untuk jangka masa panjang mahupun pendek. Terdapat  banyak permainan yang lebih baik dan yang terbaik adalah menjurus kepada  taqwa.

Saturday, January 23, 2010

...... RAMAI YANG BEGITU ..........

Apabila bercerita, dialognya asyik begini "Kawan aku  wakil rakyat, Yang Berhormat. Kereta mewahnya  menjalar, dipandu oleh drebar. Rumahnya banglo dua tingkat". Adakah dialog ini menaikkan status diri? Jawapannya  tidak pasti.....TAPI RAMAI  YANG  BEGITU.........

Apabila memberi  maklumat, katanya  begini "Anak saudara aku pegawai tinggi di jabatan itu. Gajinya besar. Dalam kampung ini, pangkat dialah yang paling tinggi". Adakah dialog ini membantu orang lain mendapat kerja di jabatan itu? Jawapannya  tidak pasti......TAPI RAMAI  YANG  BEGITU..........

Bagaimanakah  menaikkan status diri? Bagaimanakah  membantu orang lain? Memberikan ruang dan peluang kepada seseorang memperolehi sesuatu boleh menaikkan imej kita.

Kita perlu ada maklumat terperinci seperti alamat, nombor telefon, nombor rujukan seseorang kepada orang yang memerlukan bantuan. Biarlah mereka berusaha mendapatkannya setelah ada maklumat yang betul. 

Berusaha melalui maklumat lisan atas air liur  tiada faedahnya. Sebab itu kalau setinggi langitpun orang yang dikenali itu di mata kita, perlulah ada bukti kukuh bahawa mereka adalah kerabat kita.

SAYA MENULIS KERANA .......

.....ada gambaran yang hendak dilsampaikan. Ia diperolehi daripada pemerhatian sekeliling yang mencuit hati untuk membariskan  ayat demi ayat mewakili fenomena alam dan manusianya.

....ada keluhan  yang hendak dizahirkan. Ia dicetuskan oleh fenomena sekeliling yang  menyentuh hati dan perasaan sebagai insan berakal supaya dapat dikongsi bersama.

....ada kekecewaan untuk dinyatakan. Ia berlaku ke atas diri sendiri serta persekitaran yang perlu dihadapi bersama dengan harapan dapat difikir dengan matang.

....ada harapan untuk disandarkan dari kepincangan percaturan insan supaya apa yang diurus selaras dengan tanggungjawab sebagai khalifah di Bumi Allah.  

Dapatkah ia dianalisis oleh orang yang berkenaan?  Itu bukan persoalannya. Yang penting saya telah melaksana tanggungjawab walaupun cara  ini adalah  setipis-tipis  iman.

Friday, January 22, 2010

KESERONOKAN BEKERJA

Keseronok bekerja akan mewujudkan keikhlasan. Tuhan menjanjikan pahala untuk memotivasikan hambaNya. Bekerja , berusaha adalah tangga kejayaan baik untuk kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Keseronokan bekerja dimangkinkan dari  persekitarannya. Kerjasama sesama ahli dalam  organisasi  menjadikan  kerja berat menjadi ringan; kerja sukar menjadi mudah. Susah senang dihadapi bersama.

Keseronokan bekerja akan hilang jika wujud "anak emas" dalam organisasi. Sikapnya yang mengelak dari tanggungjawab lebih berat serta enggan bekerjasama membosankan orang lain. 

Keseronokan bekerja menjadi hambar jika lebih ramai penumpang daripada pembawa, ditambah sikap penumpang yang bermuka-muka dan pantang ditegur, sangat kuat melenting serta mengadu-ngadu.

Keseronokan bekerja perlu dibajai dengan iman dan taqwa yang ampuh supaya menjadi hamba Allah yang mementingkan kejayaan dalam kehidupan untuk  mencari keredhaanNya.

Tuesday, January 19, 2010

KITA INSAN BIASA

Tahun pertama mengajar, ada rasa malu-malu walaupun yakin. Bila murid buat hal, nasihatnya lembut. Bila murid buat hal lagi, jari mula mencubit  di lengan murid, berterusan hingga ke hujung tahun.

Tahun kedua mengajar, keyakinan bertambah namun segan masih ada. Bila murid buat hal, nasihatnya lembut tapi tegas. Bila murid nak tunjuk belang, jari  dah mula mencubit di lengan dengan cubitan sakit. 

Tahun kelima mengajar, suara dah mula tinggi. Murid belum buat hal, dah diberi amaran tindakan sambil  tunjukkan hukuman  pembaris setengah meter dan borang demerit disiplin. Dalam hati berdebar juga.

Tahun kesepuluh mengajar, volume suara dah maksima. Bila marah, boleh kedengaran satu blok. Sesiapa   yang lalu di depan kelas pun boleh rasa seperti pukul anak sindir menantu kalau ada yang tak kena.

Tahun ketiga puluh, suara pun menurun. Arahan  menggunakan isyarat tangan dan mimik muka. Sering minta murid  bawakan buku ke bilik guru. Bila naik tingkat empat, berhenti di tingkat tiga, ambil nafas  seminit dua.

Itulah kita, insan biasa yang pasti dimamah usia. Keredhaan menerima takdirNya akan membuat kita sentiasa ceria.

Monday, January 18, 2010

LAIN DULU, LAIN SEKARANG

Masa di sekolah dulu,  bertepuk tampar sesama kawan. Sama-sama belajar dalam kelas. Bila ada peluang berihat kita bersembang dan bersenda. Tetapi bila sudah berpisah membawa haluan hidup masing-masing dan berjumpa semula, perubahan berlaku 180 darjah. Terdetik juga hati ini....Lain dulu, lain sekarang.

Dulu, bebas berbicara  berbagai hal. Hati  seronok dan tidak merasa sunyi. Pembelajaran pun tidak membosankan. Tetapi bila bertemu kembali, kelihatannya wujud  batas  keras dan kukuh memisahkan. Terasa  terlalu janggal kerana dijanggalkan. Tersentuh juga jiwa ini.....Lain dulu lain sekarang.

Bagaimana wujud sempadan dan kejanggalan ini? Adakah waktu mengubah diri? Atau status kini pengukur segala? Atau kita tak setara darjatnya? Lain  rasanya sebab hati ini tidak pernah berubah, masih seperti dulu di mana jua, setiap ketika. Entahlah, mungkin tiada jawapannya.........Lain dulu lain sekarang.

Maka terpaksalah terima hakikatnya. Orang tua-tua dah kata, pada satu ketika, enggang tetap enggang. Pipit kenalah  terima. Manakan padan terbang bersama. Inilah keluhan sang pipit, namun tak pernah kesal menjadi spesisnya.

Friday, January 15, 2010

KOSMETIK

Bangunan yang dicat cantik dan dihias indah di setiap sudut boleh menarik pengunjung untuk datang.  Namun begitu bila ia runtuh sebaik sahaja digunakan, kecantikan dan perhiasannya   tidak bernilai lagi.

Majalah bulanan yang berwarna-warni dan bergambar cantik boleh menarik pelanggan untuk membelinya.  Namun begitu kalau kontennya tidak bernilai, ia boleh dicampak ke tepi dan tidak akan ditatap lagi.

Makanan yang dihidang di dalam set pinggan yang cantik serta dihias  boleh menambat hati kita untuk memakannya. Namun begitu kalau rasanya tidak sedap, kita tidak akan memakannya lagi.

Kosmetik bukan penentu segala kejayaan. Ia harus berada seiring dengan kualiti. Bajet berlebihan bagi kosmetik adalah langkah yang kurang bijak, malah ia satu pembaziran. Kualiti struktur perlu diutamakan.

Apa yang berlaku di kebanyakan fenomena ialah kita selalu menilai sesuatu dari kosmetiknya. Bila sudah terperangkap dalam fenomena, kita hanya mampu melopong; salah kita juga.

Wednesday, January 13, 2010

BILA TERLALU BERKIRA.......

......orang lain pun akan terlalu berkira balik pada kita. Itu tak boleh, ini tak boleh, itu salah, ini salah...... maka orang lain pun  akan jadi "itu tak mahu buat, ini pun tak mahu buat" sebab susah untuk  dikira semula.

.....orang lain akan menjauhi kita sebab merasa  terkongkong bila ada bersama. Kita jangan terkejut apabila tidak dapat menemui orang lain itu sebab mereka akan angkat kaki kerana kerimasan.

......orang lain tidak mengharapkan apa-apa langsung daripada kita walaupun kita cuba menghargai mereka semula. Kalau hati sudah retak, memang sukar untuk dipulihkan semula kecuali takdir menentukannya.

.....orang lain akan merasa diri mereka seperti diperlecehkan dan diperlekehkan seolah-olah tidak bijak mengendali urusan kerja sendiri. Mereka merasa air muka  seperti dijatuhkan akibat kongkongan itu.

Itulah bahananya  kalau kita terlalu berkira........ 


Tuesday, January 12, 2010

MENGHITUNG WAKTU

Resah ini  menyesakkan nafas
tertikam  tajam ke kalbu yang haru
madah berbisa bersenandung tanpa hujung
lontaran kata nan pahit 
gurauan senda nan perit 
hadir di diri nan terhimpit.

Lalu  ku hitung waktu 
satu persatu, minggu ke minggu 
bak  tasbih digenggaman  tika menghadap Tuhan
biar pedih rasa namun kuhitung jua
biar siksa jiwa namun kuteruskan jua
demi hadirnya ketenangan dalam  kesibukan
kehidupan ini perlu diteruskan
perjuangan diri perlu ditegakkan 
tetap kutunggumu kebenaran dan keikhlasan 
kerana ku yakin takdirMu Tuhan.

Sunday, January 10, 2010

PEMBURU RAHSIA

Bila berbicara dia mendakwa semua rahsia orang berada dalam poketnya. Entah macam mana masuk ke poketnya tidak siapa yang  ambil tahu. Teman sekeliling sudah bosan kerja sampingannya memburu rahsia orang lain luar dan dalam.

Suatu ketika dia berkawan dengan seorang yang  tidak mahu bersekongkol dengan kerja buruannya. Kawan ini juga tidak mahu berkongsi hal peribadi dengannya. Dia menjadi marah kerana buruannya kali ini tidak berjaya  dimasukkan ke dalam poketnya seperti biasa. Kawan ini dijadikan musuh pula.

Dalam diam, kawan tersebut melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dia memperolehi ijazahnya dalam masa yang agak singkat lalu dilantik ke jawatan lebih tinggi, menjadi boss kepada pemburu rahsia tadi. Adakah dia akan terus memburu rahsia teman yang lebih tinggi pangkatnya itu? 

Mungkinkah temannya tadi akan memulangkan paku buah keras untuk mengatakan" laporan prestasi tahunan kamu ada dalam poket aku"? Walau bagaimanapun, dia tidak sehina itu walaupun dia pernah dihina kerana menyimpan rahsia diri. Baginya bukan semua hal boleh dikongsi bersama orang lain terutama kepada orang yang tidak amanah.

Saturday, January 9, 2010

KITA INSAN BIASA

KITA INSAN BIASA YANG ..........
......rugi apabila alpa  untuk memandang  ke depan dan persekitaran . Kealpaan ini ibarat mencari rotan di hutan belantara yang dipenuhi onar dan duri sedangkan akar berkualiti di depan mata sedia menanti sebagai ganti ,

......malang apabila tidak memanfaatkan sumber berkualiti di depan mata . Keadaan ini ibarat mengejar sesuatu sehingga yang dikendong berciciran dan yang dikejar tak dapat , Sudahnya diri keletihan kecewa merana .

......gagal apabila tidak menghargai apa yang sedang dimiliki . Kegagalan ini disebabkan menyusukan anak kera di hutan  , anak sendiri mati kelaparan . Manakan boleh anak-anak kera itu menjadi zuriat kita ,

Sememangnya kita insan biasa yang serba kekurangan . Namun rugi , bernasib malang dan kegagalan diri lazimnya disebabkan kita kurang bersyukur kerana mengharapkan sesuatu secara  kurang munasabah .

Tidak salah menyimpan hasrat tetapi menggunakan kebijaksanaan untuk mencapainya adalah kunci bagi kejayaan dan kebahagiaan diri di dunia dan di akhirat . Yang pipih tak kan datang melayang .........

Thursday, January 7, 2010

SENANDUNG AWAL PERSEKOLAHAN

Hendak gugur , gugurlah nangka
jangan menimpa si ranting pauh;
Hendak tidur , tidurlah mata
 jangan asyik menerawang jauh .

Itu kena buat, ini kena buat. Rasa sangkut pulak, mana satu nak didulukan...... Termenung dululah, cari ilham. Ketenangan itu sangat penting dalam bekerja supaya pemikiran lancar.

Tengah sangkut-sangkut ni, ada baiknya  rihat-rihat dulu. Fikirkan positif-positif belaka. Barulah rasa bekerja itu ibadat. Nasib baiklah anak-anak dah besar, tak ganggu lagi. Yang ganggu cuma "lupa". 

Usia tua memang mudah lupa, tapi tentang makan-makan  kenapa tak pernah lupa? Tengah belajar nak lupakan makan-makan ni, biar lebih sihat. Cuma nak ingat makan saja bila tiba waktunya.

Tuesday, January 5, 2010

MENJELANG 2010 KE PULAU PINANG


Lebuhraya ke utara sesak

 

Trafik di atas jambatan masuk ke Pulau Pinang juga sesak

 

Kami terus ke Popular di Queensbay Mall Bayan Lepas

 
  
Pelanggan di Popular tidak ramai

 
  
Menjenguk-jenguk sudut yang saya gemari ini

 

Meninggalkan Queensbay Mall menjelang senja

 
  
Hari semakin gelap ketika meninggalkan Bayan lepas

 

Trafik keluar Jambatan Pulau Pinang sudah lengang

 

Singgah di R&R Bukit Gantang untuk membeli buah-buahan
Inilah julung-julung kali saya berada di luar Perak menjelang tahun baru 2010 atas urusan anak-anak. Sebenarnya berada di rumah adalah lebih selesa kerana rumah itu syurgaku.....

Friday, January 1, 2010

BINASA SEMUT KERANA GULA

Di sana, kebebasan bergaul di antara lelaki dan perempuan telah diterima umum. Bersekedudukan tidak menjadi kesalahan. Budaya ini terbawa-bawa setelah berada dalam alam perkahwinan. Suami ada hubungan dengan wanita lain. Isteri juga begitu. Tiba-tiba Tiger Wood terjatuh dalam kehidupan begitu. Kalau ikut logik apa yang dibuat bukan menjadi hal, tetapi tidak begitu rupanya. Kesian dia......Terjatuh dalam budaya sendiri. Mungkin inilah satu contoh masyarakat yang hipokrit, cakap lain, buat lain.....

Di sini, kita lantang bersuara untuk menegakkan agama Allah. Perlanggaran hukum  adalah  kesalahan dalam kehidupan. Kesilapan yang berlaku  ke atas  individu cuba diperbetulkan menggunakan prosedur mahkamah supaya  apa yang dibuat adalah mengikut hukum yang sah. Namun terdapat individu yang cuba lari dari hakikat tersebut, sedangkan selama ini dia berada dalam kumpulan yang melaungkan untuk hidup di jalan Allah. Dia telah terjatuh dalam kehidupannya sendiri. Mungkin ini satu contoh kehidupan yang hipokrit, cakap lain,  buat lain....... 

Walau bagaimanapun, kebenaran perlu dipertahankan. Hukum Allah tidak boleh dipermainkan. Perlaksanaannya adalah untuk semua yang mengucap dua kalimah syahadah, tanpa mengira fahaman yang dibawa. Sesungguhnya kedudukan manusia samada ke syurga dan neraka ditentukan oleh Allah, bukan manusia............