Thursday, March 26, 2009
DALAM INGATAN
Kami warga sekolah mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Fadhilul Razmin bin Mustafa dari Kelas 4 Perdagangan Dan Perniagaan atas pemergian beliau ke rahmatullah pada 25 Mac 2009. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di sisi hambaNya yang beriman dan beramal saleh. Alfatehah ........
Wednesday, March 25, 2009
MESYUARAT AGONG PIBG 2009
Minggu ini adalah minggu yang sibuk di sekolah saya. Ada beberapa majlis atau acara akan berlangsung bermula pada petang ini , esok dan tulat. Lantaran itu pelajar-pelajar dihimpunkan di dataran pada pagi ini untuk taklimat tersebut.
Majlis pertama ialah Mesyuarat Agong PIBG 2009 pada petang ini bermula pada pukul 2.30 di dewan sekolah. Pelajar dan guru dibenarkan pulang pada pukul 1.00 tengahari dan datang semula pada pukul 2.30 petang.
Rimbunan pohon segar di depan dewan
Saya bertugas sebagai penyambut tetamu di depan dewan. Sambil menunggu guru dan ibubapa tiba serta memenuhi dewan, saya sempat merakam pohon bunga di depan dewan ini sebab saya sukakan kesegarannya, semulajadi ciptaan Tuhan.
Selepas pemilihan AJK baru 2009, cenderahati disampaikan oleh Tuan pengetua kepada AJK sesi 2008 yang telah memberi khidmat kepada sekolah.
Mesyuarat Agong PIBG 2009 diakhiri dengan jamuan ringan di kantin sekolah.
Majlis pada hari ini berakhir pada jam 5.40 petang. Saya tiba di rumah pada pukul 5.50 petang. Setiap pagi saya keluar rumah pada pukul 6.50 dan pulang lebih kurang pada pukul 4.00 petang. Tetapi hari ini lewat pulangnya. Sebab itu terasa lebih letih daripada biasa.
Tiba di rumah kurang rasanya keletihan itu bila terpandangkan wajah anak-anak yang sihat dan ceria sedang menunggu. Itulah kebahagiaan bagi seorang ibu.
Tiba di rumah kurang rasanya keletihan itu bila terpandangkan wajah anak-anak yang sihat dan ceria sedang menunggu. Itulah kebahagiaan bagi seorang ibu.
PETANG MINGGU KE BANDARAYA IPOH
Pada petang minggu, 22 Mac 2009 lalu, saya sekeluarga telah menghantar anak ke Setesen Bas Medan Gopeng Bandaraya Ipoh. Dia menaiki bas ekspress Transnasional Ipoh-Kangar pada pukul 8.00 malam untuk pulang ke kampusnya di UniMAP, Perlis. Oleh kerana tiada bas Kuala Kangsar-Kangar, dia terpaksa menaiki bas Ipoh-Kangar. Kami bertolak dari Kuala Kangsar pada pukul 6.40 petang.
Lebuhraya sesak dengan kenderaan kerana berakhirnya cuti sekolah selama seminggu. Di Plaza Tol Jelapang, kami tersilap masuk ke lorong tunai kerana kesesakan itu.
Susur keluar dari Plaza Tol Jelapang ke arah Setesen Bas Medan Gopeng, Ipoh. Hari semakin gelap.
Pemandangan ketika melalui jejantas di hadapan Hospital Pantai Puteri, Ipoh.
Sebenarnya saya suka memandang alam terutama ketika matahari tenggelam dan matahari naik. Bagi saya, waktu itu paling mengingatkan saya tentang masa dan usia. Pada waktu-waktu begitulah saya dapat merasa bahawa tiada kuasa lain yang menentukan ajal maut kita kecuali DiaYang Maha Esa. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali.
Tuesday, March 24, 2009
KISAH CINTA TAK KESAMPAIAN
Setiap kali berjumpa wanita ini, sedikit sebanyak ada sahaja terzahir keluhan tentang anak lelakinya yang kehilangan semangat untuk menjalani hidup ini dengan ceria. Anaknya berusia dalam lingkungan tiga puluhan.
Bila saya berpeluang mengamati wajah anaknya itu, bagi saya dia ada rupa , cuma kurang ceria dan gaya akibat kehilangan semangat.
Saya cuba mencungkil cerita di sebaliknya lalu saya memberanikan diri untuk bertanya "Dia ada putus cinta ke? "Dengan pantas wanita itu menjawab "Memang ya" lalu dia menceritakan segalanya kepada saya. Kisahnya bermula dari alam remaja. Dia berkawan dengan seorang gadis berlainan negeri. Oleh kerana pelajaran maju, gadis itu menyambung pelajaran di Australia manakala anak muda ini ke United Kingdom. Mereka berutusan surat semasa berjauhan itu.
Nasib malang mula melanda apabila mereka berdua pulang ke tanah air setelah tamat pengajian. Ada orang ketiga mempengaruhi gadis itu supaya melupakan anak muda itu atas alasan dia orang bendang, tiada darjat. Anak muda ini tidak putus asa. Dia membawa ibubapanya untuk melamar gadis tersebut tetapi tiada apa-apa keputusan sebab si gadis sudah hilang entah ke mana. Dia cuba mencari tetapi tidak diketemui hingga ke hari ini.
Sejak itu kehidupannya mula bertukar corak, dari ceria kepada duka, dari mesra kepada merana hinggalah ke hari ini. Walaupun ada kelulusan dari luar negeri tetapi semangat yang hilang telah menyebabkannya tidak mahu berusaha mencari kerja yang terjamin. Bila disuruh berbuat demikian, dia menyatakan kalau dia bekerjapun untuk siapa.
Itulah kesan cinta tak kesampaian. Dari cerita tadi, punca utama kegagalan cinta anak muda itu ialah perbezaan darjat. Dia tidak berhati-hati dalam mengemudikan cintanya. Dia mungkin hanya mengikut emosi cinta sendiri tanpa kepastian dari pihak gadis itu.
Pengajarannya ialah nasihatkan anak-anak kita agar tidak terjebak dalam percintaan antara dua darjat kalau tidak mahu merana macam dia.
Saya cuba mencungkil cerita di sebaliknya lalu saya memberanikan diri untuk bertanya "Dia ada putus cinta ke? "Dengan pantas wanita itu menjawab "Memang ya" lalu dia menceritakan segalanya kepada saya. Kisahnya bermula dari alam remaja. Dia berkawan dengan seorang gadis berlainan negeri. Oleh kerana pelajaran maju, gadis itu menyambung pelajaran di Australia manakala anak muda ini ke United Kingdom. Mereka berutusan surat semasa berjauhan itu.
Nasib malang mula melanda apabila mereka berdua pulang ke tanah air setelah tamat pengajian. Ada orang ketiga mempengaruhi gadis itu supaya melupakan anak muda itu atas alasan dia orang bendang, tiada darjat. Anak muda ini tidak putus asa. Dia membawa ibubapanya untuk melamar gadis tersebut tetapi tiada apa-apa keputusan sebab si gadis sudah hilang entah ke mana. Dia cuba mencari tetapi tidak diketemui hingga ke hari ini.
Sejak itu kehidupannya mula bertukar corak, dari ceria kepada duka, dari mesra kepada merana hinggalah ke hari ini. Walaupun ada kelulusan dari luar negeri tetapi semangat yang hilang telah menyebabkannya tidak mahu berusaha mencari kerja yang terjamin. Bila disuruh berbuat demikian, dia menyatakan kalau dia bekerjapun untuk siapa.
Itulah kesan cinta tak kesampaian. Dari cerita tadi, punca utama kegagalan cinta anak muda itu ialah perbezaan darjat. Dia tidak berhati-hati dalam mengemudikan cintanya. Dia mungkin hanya mengikut emosi cinta sendiri tanpa kepastian dari pihak gadis itu.
Pengajarannya ialah nasihatkan anak-anak kita agar tidak terjebak dalam percintaan antara dua darjat kalau tidak mahu merana macam dia.
Monday, March 16, 2009
KEMURUNGAN
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) --Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan supaya memperkenalkan langkah pendek dan jangka panjang bagi membantu rakyat Malaysia yang menghadapi masalah kemurungan.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata kementerian itu juga harus membantu meningkatkan usaha menggalakkan kesihatan mental yang baik dengan menubuhkan lebih banyak unit psikiatri di hospital.
.............Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kemurungan menduduki tangga kelima di kalangan punca utama ketidakupayaan dan dijangka menduduki tempat kedua menjelang 2020, katanya.
........BERNAMA 16 Mac 2009.......
Sebelum masalah bertambah parah , semua pihak perlu bekerjasama menangani isu kemurungan . Tekanan ekonomi dan sosial merupakan gejala penting bagi masalah ini . Sekali lagi , kekuatan institusi kekeluargaan amatlah diperlukan dalam menanganinya . Faham-memahami , sayang- menyayangi dan hormat- menghormati dalam keluarga adalah benteng menghindar gejala ini .
PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)
Dua sasaran PIN gagal capai objektif Oleh ROHANI IBRAHIM pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Mac - Dua daripada lima sasaran bagi fasa pertama pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) 2004-2008 gagal mencapai objektif yang diharapkan. Kedua-dua sasaran PIN berkenaan: Sasaran keempat - memantapkan institusi keluarga dan komuniti. Sasaran kelima - memantapkan institusi keluarga dan komuniti serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
Presiden Institut Intergriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, sasaran keempat dianggap tidak mencapai objektif berikutan peningkatan kes cerai, dera dan sumbang mahram di seluruh negara sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, tambah beliau, bagi sasaran kelima iaitu meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat, ia dianggap kurang memuaskan ekoran peningkatan kes jenayah, kemalangan jalan raya dan kes melibatkan alam sekitar seperti tanah runtuh.
.......Utusan Malaysia , Isnin , 16 Mac 2009 ..............
Saya tidak mahu komen apa-apa , tetapi saya menerima fakta itu dengan hati terbuka . Kita ada keluarga , jadi , kita kena jaga keluarga supaya berintegriti kerana keluarga adalah unit kecil warga negara . Kalau baik unit kecil ini , maka baiklah warga negara kita . Integriti adalah tuntutan Islam . Apa yang kita kata kenalah dikota .
Sunday, March 15, 2009
KUALA KANGSAR - TANJUNG KARANG
Semasa saya menyertai rombongan keluarga menghantar anak saudara ke Tanjung Karang pada 13 Mac lalu bagi menyempurnakan majlis perkahwinannya , saya sempat merakam suasana sekitar perjalanan tersebut .Kami mengikuti laluan Kuala Kangsar - Manong - Bota - Seberang Perak - Sabak Bernam - Tanjung Karang .
Anak padi di sawah sedang membesar selepas melewati Seberang Perak
Kelihatan semaian anak orked sekeliling rumah tepi sawah di Sabak Bernam tempat kami singgah untuk solat dan rihat .
Jalanraya di Selangor sentiasa sesak walaupun ada empat lane . Kami berangkat pulang ke Kuala Kangsar selepas majlis selesai pada 14 Mac .
Masjid Sekincan , Selangor
Kami singgah di sini untuk solat jamak zohor + asar pada jam 3.50 petang 14 Mac
Pemandangan waktu petang di sawah yang sedang diairi . Pemandangan ini dirakam sejurus sebelum tiba simpang untuk melalui Seberang Perak .
Ketika melalui Seberang Perak , hujan ribut turun dengan lebatnya . Kami berhenti di tepian sungai berhampiran simpang ke Bota kerana pemandangan terlalu gelap . Belum sempat hujan reda kami berangkat pulang sebab bimbang air sungai naik . Hujan kian reda ketika di laluan Bota-Parit .
Kami tersangkut di laluan itu kerana sebatang pokok besar tumbang menghalang jalan . Penduduk kampung bergotong royong membersihkannya dengan bantuan sebuah jentolak . Terima kasih diucapkan kepada penduduk yang terlibat . Jasa anda pasti mendapat ganjarannya . Kami meneruskan perjalanan pulang pada jam 7.00 malam . Langit kelihatan gelap sebab hujan masih turun lagi .
Kami tiba di Kuala Kangsar pada jam 8.00 malam . Oleh kerana waktu maghrib telah lama masuknya , kami terpaksa bergegas solat supaya tidak luput waktu . Selepas solat Isyak , saya tertidur dengan lenanya kerana terlalu letih .
MAJLIS PERKAHWINAN
SELAMAT PENGANTIN BARU
HISHAMUDDIN & SHIMA
Pada hari Jumaat , 13 Mac 2009 yang lalu , saya sekeluarga telah mengiringi anak saudara , Hishamuddin ke Tanjung Karang , Selangor bagi menyempurnakan majlis perkahwinannya dengan Shima . Kami bertolak dari Kuala Kangsar pada pukul 11.00 pagi dan singgah di Sabak Bernam untuk solat dan rihat . Pada jam 4.00 petang , kami terus ke majlis pernikahannya di Masjid Tanjung Karang .
Pernikahan disempurnakan di Masjid Tanjung Karang diwalikan oleh bapa Shima . Selepas majlis selesai kami ke rumah Shima untuk jamuan kesyukuran .
Rumah Kediaman Tetamu Majlis Daerah Kuala Selangor
Selepas jamuan , kami berihat di rumah yang disewa dari Majlis Daerah Kuala Selangor yang mempunyai empat bilik dan dilengkapi peralatan asas . Pada malam itu saya tidak mengikuti ibu Hishamuddin ke acara berinai di rumah Shima kerana anak saya kurang sihat . Kami tidur di bilik tingkat atas . Esoknya , rombongan kami ke rumah pengantin perempuan bagi upacara persandingan . Saya tidak paparkan segala barang hantaran kedua belah pihak di sini kerana menghormati privacy pengantin dan keluarga .
Persandingan Hishamuddin - Shima
Selamat Pengantin Baru . Semoga berkekalan ke anak cucu .
Saya hanya merakam hidangan depan saya sahaja untuk tatapan pembaca . Selepas jamuan tersebut , saya sekeluarga serta keluarga pengantin lelaki berangkat pulang ke Kuala Kangsar .
Kepada pengantin saya ucapkan selamat berbahagia . Kebahagiaan tidak tercapai secara spontan tetapi perlu dijaga dan dihormati selalu . Yang paling penting , terimalah pasangan kita seadanya sebagaimana kita membuat keputusan untuk sehidup dan semati bersamanya .
Thursday, March 12, 2009
KEPUTUSAN SPM 2008
Keputusan peperiksaan SPM 2008 diumumkan pada hari ini . Semua pelajar mengambil slip masing-masing di Dewan Hamdan . Saya sempat merakam suasana di dewan itu .
Guru-guru kelas dan Setiausaha Peperiksaan sibuk menyediakan sijil-sijil dan majalah sekolah 2008 yang akan diserahkan kepada pelajar .
Pelajar diberi taklimat ringkas oleh kaunselor sebelum penyerahan slip keputusan peperiksaan
Segala debaran terjawab ketika ini . Mereka mengadap guru kelas masing-masing yang menyerahkan slip tersebut dengan seribu satu perasaan .
Hari ini saya merasa amat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana julung-julung kalinya ketiga-tiga subjek dalam bidang saya iaitu Biologi , Fizik dan Kimia telah mencapai kelulusan 100 % manakala Matematik Tambahan melepasi 90 % . Tahniah kepada semua guru yang mengajar mata pelajaran itu . Semoga ini merupakan tiupan semangat untuk meningkatkan kualiti bagi SPM 2009 pula . Saya ingin berkongsi kegembiraan bersama pembaca semua .
Tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya . Kepada yang kurang berjaya , jangan berputus asa . Kehidupan mesti diteruskan . Kecemerlangan boleh diperolehi dalam apa jua bidang , bukan hanya akademik sahaja .
Monday, March 9, 2009
MAULIDUR RASUL
SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL
Ingatilah jasa junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang telah meninggalkan sinar kepada kita dengan ajaran mulia untuk diikuti dan berbahagia hidup di dunia dan di akhirat . Jadilah umat yang mengenal dirinya untuk mengenal Allah dan rasulnya . Semoga hidup kita akan sentiasa mendapat rahmatNya .
SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA
Jadilah wanita yang berjasa kepada tanahairnya . Bersyukurlah apa yang diperolehi dan berusahalah untuk memperbaiki diri . Jangan ditanya apa yang diberikan oleh negara kepada kamu tetapi tanyalah apa yang kamu berikan kepada negaramu .
Thursday, March 5, 2009
Sunday, March 1, 2009
DILANDA KEBIMBANGAN
Semua orang tahu , merokok dan memiliki rokok di kawasan sekolah adalah satu kesalahan berat bagi seorang pelajar . Akibat rokok , pelajar boleh dirotan dan digantung sekolah jika ianya berulang . Apabila berada di luar kawasan sekolah , saya perhatikan anak-anak sekolah zaman ini semakin ramai yang merokok . Saya faham sebelum era ini , ramai pelajar yang merokok terutama di luar sekolah , tetapi ketika itu mereka tidak menunjuk-nunjuk . Sekarang ini , mereka berani menunjuk-nunjuk kehebatan mereka melakukan perbuatan larangan itu .
Dengan pakaian sekolah , mereka mengepit rokok di jari . Bila saya lalu di kawasan itu , saya hanya mampu menegur supaya buangkan rokok itu . Saya tidak boleh bertindak berlebih-lebih sebab itu luar kawasan sekolah . Saya percaya ada ibubapa yang tidak kisah jika anaknya merokok sebab bapa pelajar sendiri adalah perokok . Jadi , saya fikir tiada gunanya saya menyusahkan diri . Sekurang-kurangnya mereka ingat saya ambil kisah dan menegur tentang kesalahan itu . Selebihnya , terpulang kepada diri sendiri . Diri mereka adalah tanggungjawab mereka sendiri .
Merokok adalah dilarang di peringkat sekolah disebabkan ia adalah permulaan penagihan dadah . Kajian yang telah dibuat oleh pihak anti dadah mendapati penagihan dadah adalah bermula daripada merokok . Memang pelajar tidak kisah gejala itu sebab mereka hanya ingin keseronokan dalam waktu yang singkat . Mereka belum dapat menjangka masalah yang boleh diwujudkan daripada habit itu , tetapi bagi orang dewasa sebagai ahli dalam masyarakat perlulah sedar dan berusaha membendung gejala ini .
Masalah kita ialah orang dewasa dan ibubapa sendiri adalah perokok , samada perokok tegar atau tidak tegar . Memang susah membenteras masalah ini sebab jika dilakukan pun sama seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul .........Yang rugi adalah generasi kita sendiri , kesihatan terjejas , wang mengalir keluar akibat pembaziran serta berhadapan dengan risiko yang lain . Inikah ahli masyarakat negara maju yang ingin kita bina ?
Tidak relevan lagi
KUANTAN 28 Feb. – Kefahaman bahawa konsep kapitalis sebagai sistem terbaik untuk memberikan kemakmuran ekonomi dan kekayaan bagi sesebuah negara kini tidak lagi relevan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana pelaksanaan sistem itu yang terlalu bebas menjadi punca dunia dilanda krisis yang begitu dahsyat.
“Oleh itu, salah satu pengajaran daripada krisis ini ialah bahawa kita perlu ada pemikiran baru dari segi ideologi, kefahaman tentang apakah sistem terbaik yang boleh menentukan kesejahteraan kita secara berterusan."
-Mingguan Malaysia , 1 Mac 2009-
Saya amat bersetuju dengan kenyataan itu . Pakar-pakar berkaitan perlu bekerjasana menjayakan perubahan ini . Para pengkritik dan pembangkang juga harus bekerja keras bersama meneroka keluar dari sistem yang merosakkan ini .
Kita tidak harus terus membangkang dan mengkritik bertalu-talu dalam hal ini tanpa apa-apa sumbangan . Cakap yang berapi-api dan mengkritik bercili-cili tanpa sumbangan idea bernas adalah merugikan . Jika masuk kategori ini sebenarnya individu yang terlibat sebenarnya hanya hendak "mengata atau mengumpat atau mengutuk " . Kalau setiap hari asyik hendak "mengata , mengumpat dan mengutuk " , di mana sebenarnya keikhlasan sebagai warga negara atau individu yang ikhlas untuk berfikiran positif terhadap negaranya ?
Saturday, February 28, 2009
TUN FATIMAH
Buku ‘Tun Fatimah’ karangan Harun Aminurrashid, ada menyebutkan bahawa Tun Fatimah bukan sahaja terkenal kerana kecantikannya, tetapi juga sifat-sifat kepahlawanannya yang melibatkan dirinya di dalam pencak silat dan sebagainya.
Mengikut buku tersebut, Tun Fatimah pernah keluar istana bagi menentang soldadu-soldadu Portugis, pengiring Diego de Lopez, yang membuat kacau di pasar. Kekuatan Tun Fatimah dan rakan-rakannya telah menyebabkan soldadu-soldadu Portugis tersebut lari bertempiaran dan terus ke kapal.
Tun Fatimah adalah salah seorang tokoh wanita yang secara tidak langsung telah memberi sumbangan kepada kesetabilan empayar Melaka. Wanita-wanita yang lain yang bersama-sama Tun Fatimah ialah Puteri Rakna Kemala, Puteri Pasai (isteri Parameswara), Tun Kudu (isteri Sultan Muzaffar Shah), Raden Galoh Chendera Kirana (Puteri Majapahit), Tun Teja, dan Hang Li Poh. Di dalam ‘Sejarah Melayu’ ada mencatatkan ada menggambarkan tentang Tun Fatimah: “Maka tersebutlah perkataan peri baik paras anak Bendahara Seri Maharaja yang bernama Tun Fatimah, terlalu sekali eloknya, tiada tercela lagi, sedap manis pantas bagus, saperti laut madu, bercahaya-cahaya, berkilat, seperti bulan purnama ketika cuaca. Tambahan anak Bendahara pula barang lakunya dan barang pakaian larangan semua dipakainya, makin bertambah baik parasnya.” PETIKAN : http://www.melakahariini.com.my/
CLEOPATRA
Wajah Cleopatra yang dianalisis berdasarkan lakaran-lakaran daripada artifak purba termasuk yang ditemui ketika Cleopatra memerintah kira-kira 2,000 tahun lalu.
Cleoptara dilahirkan di Alexandra pada 69 Sebelum Masihi dalam sebuah dinasti Macedonia Greek yang memerintah Mesir selama tiga abad. Dia berkuasa di Mesir ketika berumur 17 tahun. Tiga tahun selepas berkuasa, dia menggoda pemerintah Rom, Julius Caesar dengan menyebabkan lahirnya seorang anak, Caesarion.
Selepas Caesar dibunuh, Cleopatra memikat Antony sebelum membunuh diri berikutan kematiannya.Menurut legenda, Cleopatra meletakkan seekor ular kecil yang berbisa di payu daranya menyebabkan dia meninggal dunia.
PETIKAN :
http://www.darulbayan.com/
Rohingya dan ASEAN
"Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia semakin meningkat. Ketika ini dianggarkan lebih 14,000 etnik Rohingya berada di Malaysia. Bagaimanapun angka itu mungkin lebih tinggi. Malah kini ia mula membanjiri negara jiran, Indonesia." "Myanmar perlu disedarkan segera. Rohingya adalah masalah mereka. Tetapi sejak sekian lama, negara lain terpaksa memikul beban tersebut. Yangon perlu menyelesaikan punca permasalahan membabitkan etnik Rohingya tersebut." - Utusan Malaysia , Sabtu 8 Februari , 2009 -
Kenapa agaknya kerajaan tersebut tidak melayan kaum tersebut dengan baik ? Nampaknya pihak pemerintah tiada perasaan bahawa "Rakyat kita tanggungjawab kita " Ini bolehlah dikaitkan dengan "kurang bertanggungjawab ". Biasanya orang yang kurang bertanggungjawab adalah orang yang kurang maruah diri sebab dia tidak malu anak-anak buahnya bertaburan dengan nasib yang tidak menentu , dia tidak kisah apa yang terjadi kepada mereka . Semoga rakyat di negara ini tidak menerima nasib yang sama .
Friday, February 27, 2009
SEPETANG BERSAMA PELAJAR
Pada hari Jumaat, 27 Februari 2009, saya telah hadir di kawasan sekolah pada jam 3.15 petang untuk melaksanakan tugas. Apabila tiba, saya terus memeriksa 17 buah buku rekod persediaan mengajar anak buah saya. Seperti biasa, kalau perlu, saya akan catat komen dalam buku mereka .
Selepas itu saya menanda buku nota dan latihan pelajar tingkatan 5 yang terletak atas meja ini. Saya mengutip buku-buku tersebut dua hari lepas sebaik sahaja tajuk pertama selesai. Lepas ini saya perlu catat dalam rekod Program WAJA Negeri Perak sebagai persediaan jika dipantau.
Semasa menyemak buku pelajar, saya terdengar bunyi lagu-lagu band berkumandang di tingkat atas. Pasukan band sekolah sedang berlatih bermain peralatan band. Selepas siap menyemak, saya naik ke tingkat atas untuk melihat mereka berlatih. Mulanya mereka malu-malu bila saya tiba, tapi saya minta mereka teruskan latihan.
Jam 4.30 petang saya melangkah pulang tetapi singgah sebentar di kelas 2C4. Guru kelas dengan empat orang pelajar bergotong royong mengecat dinding kelas yang sudah lusuh. Guru kelas memaklumkan kepada saya kerja begitu tidak boleh dibuat beramai-ramai sebab boleh menimbulkan lebih banyak masalah. Selepas itu saya pulang untuk berihat. Esok dan lusa adalah cuti hujung minggu. Saya rasa sangat lapang fikiran apabila tiba hujung minggu.
UNIKNYA TANA TORAJA , SULAWESI
Gambar menunjukkan perkuburan di tebing batu tinggi di mana jasad disemadikan.
Saya tertarik menonton Misteri Nusantara tentang budaya sebuah kematian di Tana Toraja, Sulawesi. Jasad akan diawet beberapa tahun sebelum disemadikan di perkuburannya. Semasa jasad hendak dibawa ke tempat persemadian, pesta kematian diadakan.
Selalunya kematian diratapi oleh kaum keluarga tetapi budaya di sana mengadakan pesta yang sebaliknya. Perbelanjaan yang ditanggung oleh keluarga adalah besar. Apa yang uniknya ialah tebing batu tinggi akan dipahat untuk disemadikan jasad tersebut. Semakin tinggi tebing dipahat, semakin tinggi kedudukan si mati. Untuk memahat ruang di tebing batu tinggi itu, tangga telah di perbuat daripada banyak batang buluh yang diikat dengan kuat. Tangga itu juga digunakan untuk membawa jasad si mati ke ruang persemadiannya.
Orang-orang yang membawa jasad ke ruang batu yang dipahat itu adalah di kalangan yang terpilih sahaja. Sebaik sahaja jasad diletakkan di tempat tersebut, pembawa jasad akan turun ke bawah. Selepas itu tangga buluh tadi akan dijatuhkan. Mengikut kepercayaan mereka, semakin sukar membawa jasad ke tebing tinggi itu , semakin tinggi prestij si mati.
Tana Toraja tidak menerima pendakwah Islam sebelum ini, sebaliknya didatangi oleh pendakwah kristian yang dibawa oleh Belanda. Namun begitu , pada masa ini sudah ada anak buminya yang memeluk Islam. Bagi jasad beragama Islam, mereka akan dikebumikan di tanah biasa di bawah tebing tinggi itu.
Selalunya kematian diratapi oleh kaum keluarga tetapi budaya di sana mengadakan pesta yang sebaliknya. Perbelanjaan yang ditanggung oleh keluarga adalah besar. Apa yang uniknya ialah tebing batu tinggi akan dipahat untuk disemadikan jasad tersebut. Semakin tinggi tebing dipahat, semakin tinggi kedudukan si mati. Untuk memahat ruang di tebing batu tinggi itu, tangga telah di perbuat daripada banyak batang buluh yang diikat dengan kuat. Tangga itu juga digunakan untuk membawa jasad si mati ke ruang persemadiannya.
Orang-orang yang membawa jasad ke ruang batu yang dipahat itu adalah di kalangan yang terpilih sahaja. Sebaik sahaja jasad diletakkan di tempat tersebut, pembawa jasad akan turun ke bawah. Selepas itu tangga buluh tadi akan dijatuhkan. Mengikut kepercayaan mereka, semakin sukar membawa jasad ke tebing tinggi itu , semakin tinggi prestij si mati.
Tana Toraja tidak menerima pendakwah Islam sebelum ini, sebaliknya didatangi oleh pendakwah kristian yang dibawa oleh Belanda. Namun begitu , pada masa ini sudah ada anak buminya yang memeluk Islam. Bagi jasad beragama Islam, mereka akan dikebumikan di tanah biasa di bawah tebing tinggi itu.
Subscribe to:
Posts (Atom)































