Tuesday, January 13, 2009

Keseimbangan Alam Dan Manusia

Allah jadikan dunia ini cantik dan harmoni sebab diwujudkan keseimbangan alam. Dalam tubuh kita sendiri wujud berjuta keseimbangan: ada kiri ada kanan, ada luar ada dalam, ada atas ada bawah, ada tebal ada nipis, ada kecil ada besar, ada panjang ada pendek dan lain-lainnya. Sistem tubuh akan terganggu jika kita ubah keseimbangan semulajadi ini. 

Gangguan selalunya dalam bentuk fizikal, mental, psikologi dan lain-lainnya. Begitu juga kehidupan manusia di sekeliling kita, ada berbagai rupa, bentuk, sifat, ciri yang berbeza. Perbezaan inilah yang menjadikan kehidupan kita berwarna-warni dan ceria. Ada manusia yang pandai ada yang kurang pandai, ada yang cantik ada yang kurang cantik, ada yang baik ada yang kurang baik. Campuran ini menjadikan keseimbangan wujud dalam kehidupan. 

Begitu teratur kejadian Allah. Tetapi keseimbangan ini boleh terganggu oleh faktor manusia yang menjadi khalifah di muka bumi ini. Kerana tamak, manusia cuba memonopoli sesuatu dengan cara yang salah tanpa memikirkan hak orang lain. Kerana hendakkan sesuatu yang luar biasa, manusia sanggup membuat perkara-perkara yang menyalahi tabii kehidupan. Kerana hendakkan kemasyhuran, manusia sanggup membuat aksi-aksi bahaya tanpa memikirkan keselamatan diri dan orang lain. 

Mungkin pendidikan keseimbangan perlu diajar kepada setiap warga negara supaya menjadi manusia yang seimbang dan bahagia kehidupannya baik di dunia mahupun di akhirat. Keseimbangan ini perlu diwujudkan supaya tidak timbul kejadian yang menyusahkan alam dan manusia.

No comments: