Wednesday, January 7, 2009

Dunia Malam

Jam baru menunjukkan pukul 11.00 malam. Persekitaran telahpun sunyi sepi. Anak bongsu telahpun dibuai mimpi tapi kakak-kakaknya belum tidur lagi. Sebentar lagi sayapun akan diulit mimpi. 

Inilah kehidupan malam persekitaran saya. Saya bersyukur sebab mempunyai jiran-jiran yang menghormati malam, satu waktu untuk berihat setelah penat bekerja pada siang hari. Yang seronoknya ialah kesemua jiran di blok saya merupakan pendidik. 

Pada waktu begini saya teringat kehidupan malam saya sepanjang hidup ini. Yang jelas ialah saya bukan penunggu malam. Saya pasti akan tidur sebelum menjelang tengah malam. Ini adalah didikan ibu di kampung serta warden asrama tempat saya belajar dulu. Saya patuh nasihat ibu supaya tidur awal. Saya ikut nasihat warden asrama supaya ikut peraturan waktu tidur dan tidak buat agenda larut malam. Saya terbawa-bawa disiplin ini diperingkat universiti hingga sekarang. 

Tidur awal dan bangun awal sebelum subuh adalah rutin kesihatan yang baik. Bila menghadiri kursus yang padatpun saya akan pastikan disiplin ini dipatuhi. Saya rasa cergas dan segar bila dapat mematuhinya. 

Sepanjang kerjaya ini, hanya satu kursus lalu yang telah mengganggu kesihatan saya akibat tidak dapat mematuhinya iaitu Kursus Bina Negara di Gunung Raya, Langkawi pada tahun 1991. Agenda malam sepatutnya berakhir pada jam 11.00 malam, tapi terlarut-larut hingga jam 1.00 pagi atas alasan meniup semangat patriotik kepada para peserta yang terdiri daripada guru sekolah berasrama penuh dari seluruh negara. 

Siangnya pula ada aktiviti fizikal. Hari demi hari dan malam demi malam selama lapan hari melaluinya, kesihatan saya sedikit terganggu. Bila pulang ke rumah, saya jatuh sakit lalu berihat di rumah. Terdapat juga peserta lain seperti saya. Dengan suasana hutan dan aktiviti ala tentera, saya rasa agak tertekan. 

Di antara aktiviti kami ialah meredah hutan dan menuruni bukit mengguna tali. Walaupun saya boleh menerimanya dengan tabah, tetapi fizikal tidak dapat bertahan lama. Walau apa pun saya telah melaluinya tanpa apa-apa masalah disiplin. 

Satu perkara yang sangat mengerikan saya ketika bergelar penuntut di asrama dan mahasiswi di universiti dulu ialah apabila terbuka mata sebelum jam empat pagi, saya akan merasa sayu, pilu, resah, gelisah kerana mengenangkan nasib diri yang belum menentu. 

Mungkin ini disebabkan saya terlalu memikirkan tentang masa depan, sebab itulah hal itu datang secara automatik. Jadi sekarang, saya faham perasaan seorang yang bergelar penuntut yang resah, gelisah dalam senyum...

No comments: