Kedudukan tong sampah di rumah adalah di tempat yang tersisih dan tersorok dari pandangan, laluan atau lintasan kita. Bila tidak sukakan seseorang atas sesuatu sebab, kita sebenarnya telah membuat kesilapan besar apabila membuatnya seperti tong sampah. Segala perkara buruk, busuk atau negatif dilonggokkan di dalamnya sebelum diusir keluar. Cara dilonggokpun boleh jadi kasar seperti di baling, dilontar, dihenyak dan sebagainya.
Manusia bukanlah sama seperti objek yang tidak bernyawa. Semua dijadikan oleh Allah dengan akal serta naluri yang berbagai. Dalam diri setiap individu, bukannya semua unsur dirinya merupakan kejahatan. Tentu ada sesuatu kebaikan padanya. Kalau kita tidak nampak kebaikan tersebut, yang silap adalah kita, bukannya dia. Kalau dia membuat satu kesilapan, sangat tidak adil untuk kita menghukum bersalah ke atas seluruh dirinya, apatah lagi mensisihnya dari kehidupan kita.
Terjadi juga kesilapan apabila kita membuat andaian yang tidak tepat atau salah sangka mengenai kesilapan seseorang. Lain yang terjadi, lain pula kesimpulan yang dibuat, apatah lagi jika dihebahkan kepada orang lain atau seluruh dunia. Kita telah melakukan penganiayaan kepadanya akibat salah sangka tersebut serta memfitnanya kerana menyebar hal yang tidak betul.
Memohon maaf dan memberi kemaafan adalah perkara sukar untuk dilakukan, apatah lagi jika kedudukan diri yang tinggi dalam masyarakat, tetapi andai ini dapat dilakukan, kita sebenarnya telah mengubat satu penyakit jiwa iaitu hati kerana dialah punca segala perkara. Bila hati diubati, tidak akan timbul gejala menjadikan orang lain seperti tong sampah...melonggok segala perkara buruk dan busuk untuk diusir.
1 comment:
since blogwalking today, this is the best post I read. Hmm..kekadang kita tak sengaja layan seseorang mcm tong sampah. Sian dia..
Post a Comment