Dalam semua cabang ilmu sains teknologi, kita belajar tentang garis selari dan tegak. Rumus-rumusnya dipelajari dalam Matematik. Keseimbangan daya-dayanya dipelajari dalan Fizik. Bahan dan binaannya dipelajari dalam kejuruteraan. Semua cabang ini berkait rapat dalam kehidupan manusia.
Apakah dia garis selari? Bahasa mudahnya ialah garis-garis yang jarak antara satu dengan yang lain sentiasa sama walau kedudukannya berbeza. Contohnya ialah rel keretapi. Kalau tidak selari, maka keretapi akan tergelincir. Garis tegak pula dibina dengan mengukur sudut 90 darjah antara dua garis. Contohnya ialah binaan tiang di atas tanah.
Kedua-duanya memberi kecantikan dalam keseimbangan alam kehidupan kita. Apabila ukuran tepat diperkukuh dalam binaan untuk kegunaan, maka kehidupan menjadi selesa dan kita menjadi lebih yakin. Semua terjadi dengan izin Allah. Begitu juga dengan binaan peralatan tahap sederhana, mikro dan nano.
Apakah analoginya dalam kehidupan sosial manusia? Manusia dijadikan sama atau selari di sisi Allah dari segi struktur, fungsi dan tujuan diwujudkan di alam ini. Keperluan, permasalahan, tujuan hidup boleh jadi serupa samada sama atau berbeza bangsa, agama, budaya dan sebagainya. Cerita kehidupann juga boleh jadi serupa di ruang litup kehidupan yang sama atau berbeza. Itulah kepelbagaian yang menjadikan kehidupan ini menarik. Walau bagaimanapun, tindakan boleh jadi berbeza, ibarat dua garis tegak iaitu berlainan arah akibat pemikiran yang berbeza.
Apabila suatu hal diperkatakan, orang lain yang tidak bersama tidak perlu merasa diperli, disindir kerana tidak dirujuk dengan tepat. Persoalan yang sama dengan masalah kita, itulah keselariannya yang terjadi . Ambillah langkah yang sesuai jika merasa perlu bertindak. Salah sangka bukanlah pemikiran tepat kerana tindakan seterusnya boleh terjurus kepada langkah negatif. Menyempitkan fikiran kepada persoalan seperti ini merugikan.
Tindakan bertentangan yang diambil oleh individu beranalog dengan kewujudan dua garis tegak yang arahnya tidak sama antara satu sama lain. Kebebasan hidup membolehkan ini terjadi, dengan izin Allah. Kita bebas membuat apa sahaja tetapi positif atau negatifnya bergantung kepada sejauh mana penggunaan akal yang dibatasi dengan peraturan hidup dari segi agama, etika, budaya dan amalan sendiri.
Langkah adalah positif jika kesannya mendekatkan diri kepada Allah dan membina serta merapatkan silaturrahim sesama manusia. Itulah peranan ilmu yang dipelajari untuk dihayati dan diamalkan dalam kehidupan supaya merasai keselesaan hidup yang hanya sementara ini.
No comments:
Post a Comment