Tuesday, April 8, 2014

DOA UNTUK MH370



Tragedi kehilangan pesawat Malaysia MH370 sudahpun sebulan berlalu tetapi pasukan pencari dan penyelamat masih gagal menemui sebarang objek dari pesawat tersebut. Usaha keras yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang dibantu oleh negara lain menggunakan teknologi terkini harus dihargai. Bantuan yang dihulur patutlah dinilai dari sudut positif  setiakawan global. 

Masa sukar begini tidaklah patut diisi dengan berbagai teori atau spekulasi terhadap mana-mana pihak. Ini boleh menjejas psikologi keluarga mangsa yang terlibat. Kalau tidak dapat membantu, janganlah menambah suasana keruh yang wujud, menyebarkan berita-berita yang belum tentu kesahannya. Kita boleh membantu dengan mengadakan solat hajat serta memanjatkan doa kepada Allah agar dikurniakan petunjuk yang membantu memudahkan segala usaha yang dijalankan serta membuahkan hasil dalam waktu yang terdekat.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Semoga anda bersabar menempuhnya. Terimalah musibah ini dengan redha. Anda adalah insan istimewa yang dipilih  oleh Allah menghadapinya. Tentu ada hikmah  disebaliknya, setidak-tidaknya menginsafkan kita bahawa kita ini hanyalah hambaNya yang sangat kerdil, bahawa Dia adalah perancang terbaik  yang  mengurus tadbir kehidupan kita.
 
Apa yang pasti, musibah ini akan membuka dimensi baru dalam semua bidang yang terlibat dalam tragedi tersebut, bermula dari keselamatan di lapangan terbang, penerbangan, perkapalan, komunikasi, pengesanan dan sebagainya. Perakam dari kotak hitam boleh diganti dengan sistem perhubungan secara terus dari pusat kawalan supaya masalah yang terjadi dipantau terus dari awal.

Sama-samalah kita doakan agar permasalahan ini akan menemui hujungnya. Kita hanya merancang, tetapi Allah menentukan.

No comments: