Thursday, December 22, 2011

WANITA ......KINI DAN SELAMANYA

Tempatnya bukan diceruk dapur tetapi di merata tempat yang memerlukan khidmatnya.Ini disebabkan dia juga menerima ilmu dan didikan yang setara dengan kaum Adam.Dia tidak minta jadi begitu tetapi arus perubahan menjadikan dia perlu menjadi begitu.

Kewujudannya bukan untuk menghias ruang lantaran kecantikannya yang memukau tetapi untuk berbakti di bumi Allah ini. Dia layak mendapat ganjaran daripadaNya selagi apa yang dicurah tidak menyalahi hukumNya.Dia perlu meneruskan kehidupan dengan caranya sendiri.

Ketulusan hatinya bukanlah untuk dipermainkan oleh insan bernama lelaki tetapi untuk difahami bahawa dia sedia berkongsi suka-duka dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba.Dia juga ada hati dan perasaan untuk membina kerjaya cemerlang dan kebahagiaan masa depan.

Keluhuran budinya bukanlah untuk dipersiakan oleh kaum Adam tetapi untuk dijadikan teman hidup dalam meniti hari-hari mendatang.Dia akan setia hingga ke akhir hayatnya selagi hatinya tidak dicalar luka.Dia sedia mengerti segala taqdir Illahi dengan kesabaran dan keredhaan di hati.

Kesabarannya yang tidak bersyarat bukan untuk diambil kesempatan oleh makhluk di muka bumi ini kerana dia sentiasa memberi waktu dan kesempatan kepada yang berhati ikhlas membetul kesilapan.Pegangan hidupnya ialah semua penghuni alam ini berhak menikmati kebahagiaan dan kejayaan. 

Namun dia adalah manusia biasa yang tidak sunyi dari kekecewaan bila hatinya dilukakan.Dia akan ingat segala kepahitan yang berlaku hingga ke akhir hayatnya walaupun dia sedia memaafkan segala kesalahan dengan senyum.Walau tertutup rapat di sudut hati paling dalam, dia sukar memberi ruang untuk kali kedua.

Sunday, December 18, 2011

CORETAN DIRI

Saya termenung selepas mendengarnya. Bertahun mengikuti isu ini, kini rasa berdosa kerana tidak memberi perhatian khusus terhadapnya .Bukan tidak mahu melaksana tetapi terlalu menyerah kepada yang pakar sedangkan ini isu umat, isu semua.Sasaran berada di depan mata maka perlu gunakan peluang dan ruang secara berhemah.

Akidah...Apa dia akidah ? Mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua, akidah ialah sesuatu yang  dipercayai atau diyakini (terutamanya tentang agama) atau  kepercayaan atau  keyakinan. Dalam kontek ini saya merujuk kepada anak-anak atau pelajar  yang beragama Islam. Tanpa perhatian yang sepatutnya, mereka boleh terjebak ke dalam masalah pengguguran akidah  islamnya.

Di antara ciri-ciri muslim yang didatangi oleh kumpulan itu ialah miskin dan melarat.Mereka ini diumpan dengan wang ringgit, kesenangan dan kekayaan.Ciri lain ialah keluarga yang berpecah-belah atau porak peranda. Mereka hadir dengan pelbagai hiburan, kemewahan dan motivasi dalaman dan luaran yang mengalpakan dengan segala bentuk bantuan segera.Mereka terjebak  disebabkan ilmu agama yang dangkal dan rapuh.

Kumpulan lain yang ditembusi ialah golongan profesional dan berhutang dengan segala bentuk penjelasan dan bantuan yang dimanipulasi dan  mengeliru, dijanjikan dengan imbuhan dan kemasyhuran dunia. Pegangan agama yang rapuh dan ukhwah Islam yang longgar memudahkan mereka menakluki kumpulan ini, ditambah lagi pelbagai iklan kemewahan di media cetak dan elektronik yang dikuasainya.

Jelas di sini pengguguran akidah berlaku kerana kegagalan kita menyedia wadah  menarik untuk anak-anak dan ahli masyarakat  agar mencintai Islam. Ia berlaku kerana kelemahan kita mendidikan mereka dengan ajaran Islam yang kukuh kerana tidak mempraktikkannya dengan cara yang sesuai dengan peredaran masa. Kalau hanya menekan soal  remeh-temeh, caci-maki bila silap,fitnah-memfitnah , mereka bosan lalu mudah menerima alternatif lain.

Apa yang boleh kita lakukan ? Golongan dewasa perlu menjadi model muslim yang baik dari segi ilmu dunia dan akhirat serta sahsiah terpuji. Dekati dan didik anak-anak dengan berkhemah mengguna segala bentuk pendekatan dan didikan yang sesuai dengan usia dan peredaran masa . Laksanakan suruhan Allah bersama-sama dengan konsisten tanpa pengaruh dari  mana-mana pihak yang mempunyai agenda tertentu. 

Kukuhkan ekonomi dalam keluarga dan salurkan kemudahan dan keperluan untuk mereka belajar dengan sempurna baik ilmu dunia mahupun ilmu agama. Pastikan mereka belajar ilmu yang betul dan sentiasa mengambil berat masalah mereka walau sesibok mana urusan kita. Membiarkan mereka sendiri mengatasi masalah sebenarnya memberi ruang mereka dijebak kepada masalah lain.

Silaturrahim kekeluargaan dan kemasyarakatan yang kukuh boleh menghalang mereka terjebak ke kancah yang tidak diingini. Hubungan rapat ini dapat menarik mereka ke pangkal jalan jika mereka digoda hebat oleh  pihak beragenda. Kalau dapat kita laksana "anak orang anak kita" , gejala ini mungkin boleh diurus dengan lebih berkesan. 

Saya menulis artikel ini bertujuan untuk berkongsi buah fikiran bersama pembaca dan peringatan kepada diri sendiri supaya mempraktikkan yang terbaik dalam mendidik anak dan pelajar. Islam adalah agama universal. Memberi perhatian kepada permasalahan mereka boleh membantu mengukuhkan jati diri mereka agar tidak mudah tergugat dengan anasir yang tidak diingini.

Friday, December 16, 2011

TENTANG SENSITIF

Kamus Pelajar Edisi Kedua memberikan makna sensitif sebagai mudah tersinggung, mudah berasa,peka dan dapat menunjukkan perubahan yang sekecil-kecilnya.Objek yang mempunyai ciri ini berupaya memberi data yang betul dalam pengukuran. Bagi benda hidup pula ia menunjukkan strukturnya masih berfungsi dengan sempurna dan boleh diguna sebagai spesimen dalam kajian.

Tubuh badan manusia yang sensitif  akan bertindakbalas dengan cepat terhadap rangsangan.Ini boleh membantunya menyelamatkan diri dari faktor-faktor yang membahayakan diri seperti haba, cahaya dan lain-lainnya.Ia juga membantu diri membuat langkah yang betul dari tindakbalas yang diambil. Di sebalik semua fenomena ini ialah sistem saraf yang sihat.

Bagaimana pula hati yang sensitif ? Seseorang itu sebenarnya sihat jika mudah berasa. Lanjutan daripada itulah yang menentukan tahap kerasionalan pemikirannya.Jika dia mudah berasa terhadap sesuatu dan bertindak secara positif maka dia dikategorikan matang. Jika tindakannya negatif seperti melenting, marah di mana emosinya  tidak dapat dikawal maka dia dikategorikan kurang matang.

Apa kaitan fenomena ini dalam pembelajaran? Kategori pertama dapat membantu seseorang pergi lebih jauh dalam pengajiannya serta mudah menyesuaikan diri dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam sebarang situasi. Kategori kedua pula boleh berjaya juga tetapi  menyebabkan pihak lain merasa kurang selesa apabila berurusan dengan mereka dan situasi selalu menjadi sukar.

Pelajar yang tidak sensitif pula tidak berminat dalam pelajaran kerana apa yang dikata oleh guru gagal menyentuh  fikirannya dan tidak diaplikasi dalam tindakan lanjutnya. Guru perlu bertindak lebih agresif agar pembelajaran berbentuk mekanikal mampu mereka lakukan, tidak ubah seperti pahat dengan pemukul.Guru perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi mendidik pelajar ini. 

Sensitiviti seseorang dipengaruhi juga  faktor keturunan.Tiada siapa dapat mengubah ketentuan Tuhan itu.  Pemakanan yang sihat membina saraf yang lengkap dan menyumbang kepada sensitiviti ini. Apakah  faktor lain yang memberi kesan terhadap ciri ini ? Apakah aktiviti atau cara hidup yang dapat mempengaruhinya ? Mungkin kita akan mendapat jawapannya suatu hari nanti.

Monday, December 12, 2011

CATATAN KE PAMERAN MARITIM DAN UDARA ANTARABANGSA (LIMA) 2011

Tarikh: 8 - 10 Disember 2011.
Kami menjadikan pameran ini sebagai destinasi percutian keluarga ke Langkawi dua tahun sekali. Banyak benda yang boleh dilihat oleh anak-anak dalam  pameran ini dan banyak perkara boleh dipelajari, dari segi akademik mahupun peluang pekerjaan apabila tamat pelajaran.
Tiba di Jeti Kuah jam 7.45 malam 8 Disember
Menginap di hotel bajet...Panorama
Kami menyewa kenderaan ini untuk perjalanan
9 Disember...ke pameran udara
Pasukan bomba penyelamat ini 
bersedia bagi kecemasan
Di antara petugas pameran merupakan 
pelajar IPTA bidang aeroangkasa
Pameran statik...
kapalterbang besar milik NAVY USA
Pengunjung diberi peluang memasukinya
Pameran statik......
kapalterbang sederhana milik TUDM
Pameran statik...kapalterbang kecil
Deretan kapalterbang pertunjukan
......bersiap sedia membuat penerbangan
Pertunjukan penerbangan yang 
melibatkan empat buah jet pejuang TUDM 
membelah bumi Langkawi.
Pertunjukan jet pejuang TUDM
....membuat bentuk LOVE di ruang angkasa
Aksi tangkas juruterbang TUDM 
mengendalikan jet mereka
10 Disember....ke pameran Maritim 
di Awana Porto Malai
Bot TLDM yang mengambil 
bahagian dalam pertunjukan air
KD KELANTAN.....Pengunjung diberi 
peluang melawat ke dalam kapal ini
Pemandangan laut dari atas KD KELANTAN
Pemandangan di Jeti Kuah ketika 
kami berangkat pulang jam 5.00 petang.....
Pameran ini melibatkan promosi perdagangan dalam bidang pengangkutan laut, darat dan udara oleh syarikat-syarikat berkaitan dari seluruh dunia serta vendor-vendornya .Ia juga melibatkan kenderaan bagi tentera yang dilengkapi dengan perkakasan ketenteraan. Di sini kita boleh mengetahui  peluang dan bidang pekerjaan yang ditawarkan bagi pelajar lepasan universiti dan kolej. 

Apa yang membanggakan saya ialah bidang ini sedang berkembang di negara ini berdasarkan statistik pembuatannya dan ini  bertepatan dasar kerajaan dalam transformasi ekonomi iaitu menjana ekonomi berskala tinggi.

Selamat Tinggal Langkawi. 
Insyaallah, panjang umur kita berjumpa lagi di LIMA 2013.