Monday, November 30, 2009

BALIK KAMPUNG

Pada  24 November lalu , kami  sekeluarga pulang ke kampung ibu saya di Johor selama enam hari . Perjalanan yang jauh memang meletihkan . Saya sempat merakam persinggahan perjalanan tersebut .

 Kami melintasi  Bandaraya Ipoh pada jam 10.00 pagi

 
 Singgah di R&R Air Keroh Melaka untuk solat jamak dan menjamu selera

 
 Berihat  di R&R Macap , Johor menjelang senja

 
Semasa di Johor , kami ke Carrefour , Batu Pahat

 
Bangunan membeli-belah di sebelah Carrefour Batu Pahat yang baru dibuka

Sekeluarga menjamu selera di KFC di dalam Carrefour 
Kami  menyambut hariraya Aidiladha bersama ibu saya . Kebetulan anak-anak  di IPTA sedang bercuti semester . Namun , dalam perjalanan pulang , anak  sulung saya terpaksa ditinggalkan  di Kelana Jaya untuk menjalani Latihan Industri  selama enam bulan  .

MINGGU KE 3 STPM

Hari ini saya bertugas di sekolah mengawasi calon-calon STPM . Mereka menghadapi peperiksaan  Sejarah Kertas 2 dan  Fizik Kertas 2 . Saya sempat merakam situasi mereka sebelum menghadapi peperiksaan tersebut .

 Calon sudah berada di sekolah seawal 7.15 pagi 

 
 Persediaan akhir - tak buang masa

 
Memegang nota di tangan

 
Memasuki dewan peperiksaan jam 7.50 pagi . Selamat berjaya putera-puteriku .
Sebaik memastikan semuanya hadir di dewan peperiksaan , saya terpaksa mengendalikan tugasan sekolah yang lain pula . Nasib seorang guru - kadan-kadang terpaksa melaksanakan sesuatu yang tidak diduga . Sekarang saya faham mengapa kalangan yang banyak mengalami gangguan mental adalah kaum guru .

Sunday, November 29, 2009

TERIMA KASIH DARUL TAKZIM

Menyusuri bumimu nan permai , Darul Takzim
subur segar menghijau disinar suria
menjejak langkah masa silamku , seorang insan kerdil
merungkai kisah suka duka lara nestapa
berdiri di memori  meski saat silih berganti .

Melangkah kaki di bumimu nan damai , Darul Takzim
aman makmur sejahtera sentosa
menyaksi sekeping hati terguris dek resam dunia
menatap  jiwa hampa merana dek resam manusia
harapan tak kesampaian impian tak terlaksanakan
catatan ingatan tak pudar ditelan zaman .

Terima kasih  buatmu Darul Takzim
meski tiada ruang buatku bertapak
meski tiada dahan buatku berpaut
pahit getir hadiahmu adalah ubat mujarab 
       menawar kesakitan  meniti ranjau beronak duri
mengiringi langkahan kakiku di Bumi Illahi.

Kutinggalkan bumimu , Darul Takzim
catatan lalu di lembaran sejarah
entah bila kususuri  lagi 
meskipun rindu berlagu syahdu
biarlah memori ini bagaikan mimpi 
kerana........aku tak mahu menangis lagi .

Pontian - Kuala Kangsar
29 November 2009

Monday, November 23, 2009

PERASAAN BILA DIKHIANATI .......

"Rasa  sakit dilanggar kereta tidak sesakit  ketika diri dikhianati kerana sakit dikhianati akan meninggalkan parut yang dalam walaupun lukanya telah sembuh " .....

"Biarlah  jatuh tangga , asalkan tidak  jatuh akibat  dikhianati . Walaupun sedikit sahaja kejatuhannya , ia membuatkan maruah tercalar , kredibiliti tergugat "......

"Kita boleh jadi seperti orang gila apabila diri dikhianati . Terasa dunia ini sudah jadi sempit . Tiada lagi ruang yang selesa dan selamat untuk menampung kehidupan seterusnya "........

Itulah di antara luahan perasaan bila dikhianati . Ternyata ia adalah perkara yang amat mengguris hati insan , ibu kepada segala macam penyakit . 

Untuk tidak menjadi pengkhianat  , kita kenalah melatih diri untuk menjadi seorang yang boleh menyimpan rahsia seseorang  serta memegang kukuh janji yang dipadu .

MENG "AYAT "

Kata polis yang melakukan serbuan itu " Lelaki-lelaki ini  meng "ayat" gadis-gadis kolej melalui internet menyebabkan mereka secara rela terjebak dalam pesta yang tidak bermoral di pangsapuri itu ".

Agaknya apakah ayat-ayat cinta yang diguna pakai oleh lelaki itu ? Apakah taruhan yang disandarkan ? Wang ringgit ? Harta benda ? Kebebasan ? Keseronokan ? Perkahwinan ?

Tanpa apa-apa ikatan , lelaki-lelaki  itu tidak mungkin menaburkan wang ringgit dan harta benda kepada gadis-gadis itu . Besar kemungkinannya hanya janji manis sahaja "diayatkan " untuk menjebak mereka .

Mengapa gadis-gadis kolej itu boleh terpedaya  dengan kata-kata manis mereka ? Kesunyian ? Keseronokan ? Kebebasan ? Mungkin mereka belum mahir menggunakan "kunci kebebasan" dari keluarga .

Walau apa-apapun sebabnya , ibubapa tidak harus melepaskan anak-anak gadis  dengan " kunci kebebasan " begitu sahaja tanpa pemantauan yang kerap . Alasan sibuk bekerja eloklah diketepikan .

Namun , satu perkara yang dapat menepis segala gejala tidak bermoral di kalangan anak-anak ialah kasih sayang keluarga , didikan di peringkat awal serta penerapan pegangan agama yang kuat .

Sunday, November 22, 2009

HARI KEDUA CUTI SEKOLAH

Semalam , saya  menghadiri kenduri kahwin di Chandan , Kuala Kangsar .Hari ini  pula   ke  Sabak Bernam , Selangor . Jarak perjalanan yang jauh memang memenatkan tetapi rasa seronok sebab dapat bertemu kaum keluarga sebelah suami . Saya sempat merakam perjalanan  hari ini .

 Para jemputan di khemah tetamu perempuan
 
Khemah pengantin
Sudut kegemaran saya - hijau dan segar
 Sudut  karaoke . Lagu yang saya suka dengar adalah irama 60an

Solat jamak di masjid ini sebelum pulang ke Kuala Kangsar
 
Melalui sawah bendang sepanjang perjalanan

Cenderamata untuk tetamu pada hari ini ialah bunga telur . Inilah cenderahati yang sangat saya suka - tadisional dan cantik walaupun tidak mahal -Nilainya tinggi bagi saya  . Semoga budaya ini tidak pupus .

Saturday, November 21, 2009

MEREHAT FIKIRAN

Sejenak di sini merehatkan fikiran

 
Jadual cuti yang padat ......hilang rasa percutian 

Hari ini bermulalah cuti persekolahan  semester dua selama tujuh minggu . Namun tempoh itu bukanlah cuti sebenarnya bagi guru kerana sebahagiannya  diguna untuk bertugas , bermesyuarat , pendaftaran , urusan kurikulum dan sebagainya .

Hari ini saya ke kolam renang perbandaran menemankan  anak bongsu bermain air .  Fikiran ini terasa padat kerana banyak agenda sedang menanti . Saya mulakan percutian dengan persantaian ini .
 
Saya tiada mood untuk bermain air kerana cuaca mendung . Baju renang telahpun diwakafkan kepada anak dara saya kerana dia menyertai kelab renang institut perguruannya . Dulunya saya bercadang hendak belajar renang tetapi dibatalkan kerana tidak tahan dengan air sejuk .

Apa yang saya buat di sini hanyalah  termenung di tepi kolam sambil memerhatikan persekirannya . Pengunjung hari ini tidak ramai kerana cuaca mendung . Fikiran terasa lebih rileks setelah menjalani  terapi ini . Saya  ke sini  hanya apabila si bongsu merengek memintanya sahaja .

TAKDIR MENGATASI SEGALA

 Rupanya tidak secantik adik- beradiknya yang lain . Selain  tidak menerima layanan  sebaiknya dia sering dijadikan sasaran kemarahan ibubapa  apabila ada kesilapan walaupun kesilapan itu tidak dilakukannya . 

Segala kerja rumah terpaksa dilakukannya . Dia seperti orang gaji di rumah sendiri . Dalam hati dia sering bertanya " kenapa aku dijadikan begini ? " Namun dia pasrah terhadap suratan takdir . 

Dalam  kekecewaan dan sering bersendirian dia berusaha bersungguh-sungguh  di dalam pelajarannya . Pencapaian pelajarannya amat memberangsangkan namun tidak pernah dihargai  oleh sesiapa selain gurunya .

Masa terus berlalu  . Dia  akhirnya  berjaya  menggenggam segulung ijazah yang diidamkannya . Dia menjadi insan berguna yang berbakti kepada negaranya . Ibu bapa mula membuka mata terhadapnya .

Dia bersyukur kepada Allah tempatnya mengadu . Akhirnya dia menerima hakikat kecantikan bukan jaminan kejayaan masa depan tetapi usaha yang teguh . Kecantikan juga boleh melalaikan insan jika lupa Tuhan .

Friday, November 20, 2009

MEMBURU

Pesan guru kepada muridnya " Untuk berjaya , awak mesti memburu cita-cita supaya tidak menyesal kemudian hari . Berusaha dan teruslah berusaha untuk mencapainya......."

Pesan usahawan kepada pewarisnya " Untuk lebih lumayan , awak mesti memburu ruang dan peluang mendapatkan kontek supaya bertambah rangkaian perniagaan ......"

Pesan imam kepada jemaahnya " Untuk sejahtera kehidupan di dunia dan akhirat , anda mestilah memburu ilmu agama supaya  ditingkatkan  keimanan  dan ketaatan beribadat ........"

Pesan sahabat  kepada sahabatnya   " Untuk kebahagiaan diri , janganlah memburu sesuatu yang telah menjadi hak mutlak orang lain supaya tidak ada hati yang akan kecewa ........". 

Pesan saya kepada anda " Untuk kehidupan  lebih adil , janganlah memburu semata-mata mencari mangsa untuk dikorbankan supaya anda tidak akan menjadi sasaran  si pembalas dendam ........"

Dalam pembelajaran yang berkesan , kita kenalah ingat pelanduk tidak pernah lupa jeratnya . Hanya jerat sahaja selalu lupa ..........

Wednesday, November 18, 2009

KENANGANNYA......

Sedang mengemas rumah pada cuti hari Sabtu , telefon berdering dan memintanya  ke pejabat sekolah . Dia diminta meminda sijil berhenti sekolah seorang pelajar kelasnya . Dia patuh kerana  tidak mahu buat hal .

Hasil pemerhatiannya  selama setahun  itu tidak diterima .Dia mengeluh kerana terpaksa membuat laporan  yang tidak selari dengan pemerhatian . Ini bercanggah dengan konsep Sains dalam bidangnya .

Dari hari ke hari dia memikirkan hal itu .....laporan bercanggah dengan kejadian .......Dari hari ke hari juga dia mendengar khabar kualiti modal insan hari ini semakin tidak setinggi dokumentasinya .

Dia tahu ,   salah satu puncanya ialah .......ketidakjujuran........ Tapi apa daya . Dia hanya insan kerdil yang tiada kuasa eksekutif . Fakta Sains boleh diketepikan oleh kuasa eksekutif itu . 

Hatinya gusar . Kemajuan hakiki sukar dicapai tanpa kejujuran ini . Kewujudan kemajuan Sains dan Teknologi tidak dapat dimanfaat  dengan berkesan bila ada kuasa eksekutif yang boleh menepisnya . 

"Biarlah" , fikirnya . ..... itu bukan urusannya . Selagi ada yang mabuk dilamun kuasa eksekutif , orang sepertinya tidak boleh berbuat apa-apa . Dia pasrah .

PEPERIKSAAN

 SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN 

SPM DAN STPM 2009 

KEPADA SEMUA CALON-CALON DI SELURUH PELUSOK TANAH AIR

KHASNYA BUAT ANAK-ANAK DIDIK CLIFFORDIAN YANG DISAYANGI

SEMOGA SEMUANYA AKAN TABAH MENGHADAPINYA

GURU-GURU SENTIASA MENDOAKAN KEJAYAAN KALIAN

Tuesday, November 17, 2009

PEMBELAJARAN

Anak gajah berjalan mengekori ayah dan ibunya . Bila cuba diganggu , ia cepat-cepat  menyelinap ke  bawah tubuh ibu bapanya . Pembelajaran dalam alam haiwan ......

Anak insan  mengikut gaya dan cara hidup kedua ibubapanya . Kalau harmoni , ia dapat mengikut sepenuhnya apa yang ditunjuk . Pembelajaran dalam alam insan ........

Anak buah menurut apa yang dibimbing oleh bosnya . Kalau bimbingan adalah profesional dan ikhlas , organisasi itu boleh cemerlang . Pembelajaran dalam organisasi .......

Pembelajaran akan berlaku kalau ada yang mengajar dan ada yang sedia belajar . Namun keberkesanannya sangat bergantung kepada persekitaran .

Keprofesionalan , "humble " , keikhlasan dari pembimbing adalah kunci  kecemerlangan   bagi yang dibimbing serta organisasi . Tanggungjawab .......

Monday, November 16, 2009

PRIORITI

Makanan bertimbun depan mata ..... tapi kalau  tiada  gigi , maka tidak  seronok memakannya . Tentu kurang  selesa menikmatinya .

Pergi melancong di kepulauan indah atau di pergunungan tinggi ......tapi kalau mata  tidak boleh melihat  apa-apa maka tiada makna semua itu .

Begitulah dengan alam pendidikan .....Kalau pelajar tidak boleh membaca dan menulis maka berilah apa-apa bahan , teramatlah  kurang kesannya .

Begitu juga  penggunaan Bahasa Inggeris .....Kalau pelajar tidak menguasainya , maka dia tidak dapat menggunakannya untuk pembelajaran yang lain .

Prioriti perlu difikirkan jika mahu mendapat yang terbaik . Kalau asyik bercakap tentang global dengan belanja berjuta  tapi  prioriti ini tidak diambil kira , generasi kita akan rugi .

Saturday, November 14, 2009

KITA SEBENARNYA RUGI APABILA .........

.....mengorbankan pendirian untuk menjadi popular . Akibatnya kita ibarat ikan mati yang boleh digulaikan dengan pelbagai rasa dan cara .

.....mengenepikan kebenaran untuk mencapai hasrat . Akibatnya kebenaran akan muncul di mana-mana dan menyerlahkan kerakusan diri .

.....mempertaruhkan kebahagiaan diri untuk mengejar cita-cita . Akibatnya kita merupakan seorang hipokrit yang akan dijauhi oleh orang lain .

.....memperjudi perkahwinan untuk memegang tampuk kuasa . Akibatnya kita boleh hilang hala tuju murni dalam hidup bermasyarakat .  

Sebenarnya Allah melimpahkan  keuntungan jika kita mengendung dunia dan menjunjung akhirat . Hasilnya  insan akan  berjaya selamanya .

Friday, November 13, 2009

GURU KERDIL DI MEJA YANG KECIL


Penjuru Kanan
Penjuru Kiri
 
Di  Tengah
Setelah lebih dua puluh empat tahun mendidik putera-puteri watan , inilah meja saya , seorang guru kerdil di  sebuah meja  kecil . Namun saya tetap menghargainya  .

Di sinilah saya merancang pengajaran dan pembelajaran harian , mingguan dan tahunan . Di sinilah saya menyediakan soalan latihan , ujian dan peperiksaan .Di sinilah juga saya fikirkan  tentang kecemerlangan memanusiakan manusia . Pelajar datang dan pergi tetapi saya masih tetap di sini .

Biarpun pelajar akhirnya berjaya , dapat  memiliki meja yang lebih besar , bilik yang lebih selesa atau bangunan yang menawan , namun saya masih di sini meniti usia melaksanakan  amanah . 

Sebenarnya tak siapa pernah peduli tentang guru kerdil di meja kecil kerana statusnya sengaja diletakkan di situ untuk memanusiakan manusia ........

Thursday, November 12, 2009

....TERLALU BERKIRA.....

Kalau  mahu warna putih , maka hanya warna itu sahajalah yang mesti diberikan . Dia tidak mahu warna biru atau kelabu kerana terlalu berkira .

Kalau mahu nombor satu , maka hanya nombor itu sahajalah yang mesti didapatkan . Dia tidak mahu nombor dua atau tiga kerana terlalu berkira .

Kalau mahu bentuk bulat , maka hanya bentuk itu sahaja yang mesti dihulurkan . Dia tidak mahu bentuk bujur atau lainnya kerana terlalu berkira .

Terlalu berkira memang baik namun kalau aspek kemanusiaan atau sensitiviti insan tidak diambil kira , dia sebenarnya melakukan deraan mental .

Masalah sesama manusia besar impaknya  di akhirat kelak . Allah tidak mengampunkan dosa kita selagi kita tidak diampuni oleh orang lain .

Wednesday, November 11, 2009

KERANA DENDAM...........

Kerana dendam , jiwa tidak tenang , Pelbagai cara akan diambil untuk membalasnya . Tersalah cara insan akan rugi sepanjang hayatnya .

Kerana dendam , insan sukar membentuk kebahagiaan bermasyarakat . Segala yang difikir kebanyakannya hanya ke arah diri sendiri .

Kerana dendam kita boleh sesat jalan pulang ke pangkal . Selagi dendam tidak terlunas , segalanya belum berakhir .
Insan  terlupa sifat pemaaf  tinggi nilainya . Berdendam boleh memakan diri sendiri . Insan terbijak adalah yang boleh mengatur perasaannya .

Tuesday, November 10, 2009

YANG MUDAH , YANG SUKAR

Prosedur yang perlu diikuti untuk melalui proses perkahwinan dalam masyarakat kita adalah banyak . Mereka ke Haadyai untuk menikah di sana sebab ingin lebih mudah .

Masalah yang timbul akibat perceraian daripada  perkahwinan di Haadyai yang tidak didaftarkan  adalah banyak . Penyelesaian melibatkan pewarisan adalah sukar .
Merujuk buku pelajaran untuk menyiapkan  kerja rumah  adalah merumitkan dan memeningkan . Mereka menyalin  kerja rumah kawan-kawan sebab ingin lebih mudah .

Masalah yang timbul akibat menyalin kerja kawan  untuk menghadapi peperiksaan adalah banyak . Menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan menjadi sukar .

Mengambil mudah tentang sesuatu pada hari ini boleh menyukarkan hidup kita pada kemudian hari . Namun mempermudahkan yang kompleks untuk dilalui adalah terbaik .

Monday, November 9, 2009

MANGSA KEADAAN

Lain  makan nangka , lain yang kena getahnya .........Mangsa tidak merasa keenakan nangka tetapi merasa azab getah yang mengganggu kulit .

Lembu punya susu sapi  punya nama .........Mangsa berhempas pulas menghasilkan susu tetapi namanya tidak  tersenarai sebagai pemilik susu itu .

Itulah hakikat kehidupan yang pahit untuk ditelan . Itulah ujian Tuhan yang getir buat seorang insan . Namun ujian datang kerana dia adalah calon pilihan .
Tanpa ujian dia bukanlah sesiapa , boleh diibarat sebagai rumput di tepi jalan  .  Namun si pemakan nangka dan si sapi hakikatnya lebih hina dari itu .

Saturday, November 7, 2009

HADIAH

Dia memperolehi  telefon bimbit canggih sebab ada A dalam keputusan UPSRnya . Lepas itu ayah-ibu pening kepala bila ada banyak gambar lucah di tefon bimbit  itu.

Dia memperolehi motosikal canggih sebab ada A dalam keputusan PMRnya . Lepas itu ayah-ibu pening kepala bila ada banyak aktiviti rempit menggunakan motosikal  itu.

Dia memperolehi kereta canggih sebab ada A dalam keputusan SPMnya . Lepas itu ayah-ibu pening kepala bila ada banyak aktiviti lumba haram menggunakan kereta  itu.

Kini ayah-ibu pening kepala lagi bila dia sudah tidak mahu belajar lagi walaupun mendapat tawaran belajar di IPTS . Dia mahu berseronok dengan apa yang diperolehi .

MENGAPA BERLAINAN

Konten ungkapannya terasa tinggi . Dulunya tidak setinggi ini . Nada suara semakin kuat . Dulunya tidak sekuat ini . Kenapa ya ? Oooo....rupa-rupanya pangkatnya naik, lebih tinggi dari yang lain .
Wajahnya  semakin  "tarik muka " Dulunya tidak setarik ini . Kata-katanya semakin tegas . Dulunya tidak setegas ini . Kenapa ya ? Oooo....rupa-rupanya pendapatan barunya naik , lebih tinggi dari yang lain .

Dulu dan sekarang  berlainan . Kenapa ya ? Oooo......rupa-rupanya kalau tidak berubah , orang tidak tahu kenaikan dan ketinggian itu .

Aku? Perasaan  semakin kacau . Dulunya tidak sekacau ini . Nak tahu kenapa ? Semakin pening fikirkan pelajar yang semakin malas belajar. Nak salahkan siapa ya ?

Thursday, November 5, 2009

PROFESIONAL KE KITA ?

Pukul anak sindir menantu ..... kesian anak tu tambah-tambah lagi kalau usianya masih kecil . Berterus terang ajelah pada menantu tu .

Marahkan pijat kelambu dibakar ......rugilah kita bila kelambu sudah binasa . Ia diguna untuk menghalang nyamuk dari mengigit . Menambah masalah .

Mendengar guruh di langit , air di tempayan dicurahkan ......habislah simpanan airnya sedangkan hujan belum tentu tibanya .

Yang profesionalnya : sayangkan isteri , tinggal-tinggalkan , sayangkan anak tangan-tangankan ;lebih lumayan cari rezeki di kejauhan ,  anak terdidik  mendengar kata .

Yang profesionalnya : berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak . Ia akan mengajar kita menghargai  kesempatan untuk cemerlang .

Kita boleh jadi tidak profesional apabila selalu rambang mata . Sebaliknya menjadi lebih profesional setelah melalui saat-saat kecewa atau sudah terhantuk baru terngadah .

Tuesday, November 3, 2009

BILA DIBERI KUASA

Dia boleh memanipulasi undang-undang negara bila  diberi kuasa . Pertimbangan dan kemanusiaannya diletak dalam poket ,

Dia boleh menimbun harta kekayaan bila diberi kuasa , Demokrasi dan keadilan yang hakiki  diletak di bawah kaki .

Dia boleh menghimpun kroni bila diberi kuasa . Persahabatan sejati dan kemuliaan bermasyarakat di letak di dalam laci di pejabat ,

Siapa dia ? Dia adalah insan hipokrit yang berjuang untuk memuaskan  nafsu  .   Hatinya kering dalam menjana  kesejahteraan untuk alam dan manusia yang diamanahkan oleh Allah .

Monday, November 2, 2009

RENUNGAN

Saya ke Nibong Tebal , Pulau Pinang petang tadi untuk menghantar anak pulang ke kampusnya . Perjalanan ke sana melalui Parit Buntar dalam hujan lebat .

Air Sungai Kerian mencecah tebing . Di kiri kanan jalan air bertakung dengan banyak . Air di longkang telahpun penuh . Hujan yang tidak begitu lama telah menyebabkan keadaan itu .

Saya percaya kalau hujan lagi , kawasan itu akan mengalami banjir , Kawasan itu  sensitif dengan hujan . Ini adalah kali kedua saya menyaksikan keadaan ini ,

Walau bagaimanapun tiada berita banjir di tempat itu walaupun hujan turun lagi . Kelihatan  pada mata kita  banjir boleh terjadi tetapi  tidak berlaku juga ,  Itulah kebesaran Tuhan yang tidak boleh dipertikaikan .

Sunday, November 1, 2009

CATATAN PERJALANAN

Pada hari Jumaat dan Sabtu lalu saya telah ke utara dan berkumpul sekeluarga di Negeri Perlis Indera Kayangan . Saya ingin merakam perjalanan tersebut di dalam entri ini .
Singgah di Bertam Pulau Pinang untuk makan malam 
Menemui anak di Kolej Kediaman UniMAP Wang Ulu .
Sekeluarga  bermalam di Hotel Putra Palace East Wing , Kangar
Hotel Putra Palace , Kangar
 
Pameran IPTS diadakan di hotel tersebut pada hari Sabtu
Check out pada pukul 11-00 pagi lalu  makan tengahari di Kuala Perlis.
 
Pusat Pengajian Kejuruteraan UniMAP di Kuala Perlis
 
Tapak induk UniMAP yang sedang dalam pembinaan
 
Meninggalkan Perlis pada pukul 12.30 tengahari
Ke Bukit kayu Hitam Kedah
Kompleks Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam

Selepas menjamu mata di kompleks tersebut , kamipun pulang ke Kuala Kangsar . Perjalanan singkat ini adalah meletihkan  tetapi terpaksa dilakukan atas keperluan anak-anak . Saya rasa berpuas hati sebab telah dapat berkumpul sekeluarga di Negeri Perlis Indera Kayangan .

GURU BIASA

Dia tiada jawatan penting , bermakna dia tidak sebok di sekolah . Jarang bermesyuarat , hanya berkursus opsyen , bermakna dia professional dalam bidangnya .

Loceng berbunyi , dia boleh masuk kelas pada waktunya . Bila hendak buat kelas tambahan , tiada halangan kerana dia cukup masa .

Bila didatangi murid , dia tidak perlu berulangkali melihat jam tangannya sebab masa tidak mengganggu , hanya konsentrasi diperlukannya .

Dalam persiapannya , dia bertemankan kertas dan kelas relief . Di hujung waktu ujian dan peperiksaan , dia sering menunggu lama kerana penggantinya adalah orang sibok

Dia tidak boleh mengeluh kerana keluhannya tidak berharga ; malah berisiko buat dirinya . Dia hanya perlu tabah kerana ….mahu lebih profesional….