Saturday, March 27, 2010

KARNIVAL IPT NASIONAL 2010 "JOM MASUK U"

Hari ini saya ke karnival itu bersama pelajar tingkatan 6 bertempat di pekarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak. Ini merupakan siri akhir iaitu kesembilan selepas selesai di negeri-negeri lain. Ia telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Besar Perak.
Kaunter pertama, UNIMAP
Pamplet diisi ke dalam beg yang disediakan
Tetamu VVIP memasuki kereta selepas selesai perasmian
Setelah tapak karnival sesak, sayapun  keluar dan berada di depan dewan kerana di situ redup dinaungi pokok besar. Pelajar saya pun tiba seorang demi seorang dengan pamplet masing-masing. Saya menasihati mereka supaya membacanya dengan teliti.

Tiba-tiba datang seseorang menuju ke kereta hitam Proton Perdana berdekatan kami  lalu berkata "Jauh sikit dari kereta ini, nanti kotor".  Dia membelek bahagian belakang kereta kilat  yang teraaamatlah bersihnya itu sambil mengelap dengan tangannya. 

Kami tersentak dengan ungkapannya. Dia memandunya ke tepi dewan, berhenti di situ dan naiklah seseorang ke dalam Proton  Perdana  yang kilat bersilau-silauan itu. Rupanya dia seorang pemandu kereta kepada seorang pembesar yang kami tidak kenal.

Saya lalu menasihatkan pelajar "Esok, kalau awak ada kereta Mercedes termahal di dunia sekalipun, tak perlu  guna ungkapan itu; apatah lagi setakat Proton Perdana biasa ". Mereka pun menjawab "Baiklah, cikgu ." Mereka faham maksud saya.

Setelah cukup korumnya, kamipun pulang. Masih terngiang-ngiang di telinga saya "Cikgu, jemputlah kami datang ke sekolah cikgu untuk memberi penerangan."  Itulah pesan pegawai di kaunter Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). "Insyaallah", jawab saya.

Itu adalah universiti berasrama penuh berakademi tentera, menyediakan kursus ijazah bidang profesional (kejuruteraan, perubatan, pergigian). Pelajar menerima "gaji" bulanan RM1200, berpangkat kapten sebaik tamat pelajaran dan berstatus tentera. 

Berapa keratkah  pelajar aliran sains yang mahu status yang amat berdisiplin itu? Dalam keadaan sukar mencari kerja, mungkin mereka perlu mempertimbangkannya. Yang penting, mereka  diberitahu rasionalnya serta dimotivasikan.

No comments: