Sunday, February 3, 2013
Gotong Royong Perdana 1 Malaysia Ahad, 3 Februari 2013
Kali ke 3 2013...
Pelajar tiba seawal 7.30 pagi
Mendengar taklimat & pelancaran
Membuang apa sahaja yang bernama "sampah"
Bermula jam 8.20 pagi, saya bersama lima orang pelajar tingkatan 3 membersihkan kawasan di hadapan Makmal Fizik dan Biologi. Kami mengutip apa sahaja yang dinamakan sampah dan dibuang ke dalam plastik yang disediakan. Mereka akur arahan saya dan kerja menjadi efisen dan mudah.
Selepas sejam, kami pun berihat di dalam Makmal Fizik. Saya menyuruh mereka makan dan minum roti dan air yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Saya ambil kesempatan berkenalan dengan mereka. Mula-mula malu tapi lama-kelamaan mereka mahu bercakap dan usik mengusik pula.
Selepas itu kerja disambung di bahagian belakang pula. Kami melupus satu kawasan timbunan sampah yang tidak digunakan lagi dan membuang segala bentuk plastik dan pot yang menakung air. Banyak jentik-jentik ditemui dan dilupuskan. Harapannya selepas ini nyamuk tidak bertambah.
Pukul 10.00 pagi aktiviti pun selesai. Mereka mencuci tangan menggunakan sabun dan kami berihat di dalam makmal lagi. Saya pun bersembang dengan mereka mengenai sampah.Mereka bercerita tentang sampah-sarap yang ditemui di kawasan tertentu yang tidak diurus dengan baik. Nampaknya mereka sedar tentang persekitaran itu.
Saya maklumkan kepada mereka pertambahan manusia akan meningkatkan pembuangan sampah, maka mekanisma pelupusan yang sistematik perlu dilaksanakan walau di mana kita berada. Di kawasan desa berkawasan luas, sisa pepejal mesra alam bolehlah dilupus secara semulajadi iaitu diuraikan bersama tanah yang boleh diperapkan menjadi baja. Di kawasan bandar pelupusan perlu mengguna teknologi tinggi di mana di proses terus menjadi baja. Ia diguna semula dalam pertanian atau untuk aktiviti lanskap.
Sisa pepejal yang tidak mesra alam perlu dicari cara melupus secara selamat kepada alam sekitar. Contohnya dilarutkan mengguna bahan kimia yang sesuai dan diproses menjadi bahan lain yang boleh dimanfaatkan kepada alam dan manusia tanpa kesan sampingan. Teknologi ini belum digiatan lagi di negara ini dan menjadi cabaran kepada kita semua.
Pengurusan ini memerlukan ilmu dari peringkat paling rendah kepada tinggi. Ia adalah sesuatu yang melibatkan semua orang bermula dari celik mata hinggalah ke waktu memejamkan mata semula, penting kepada sekecil-kecil komuniti hinggalah kepada sebesar-besarnya. Jika pengurusan ini tidak dibangunkan, maka kita akan berhadapan dengan kehidupan yang tercemar.
Saya harap mereka akan cuba memikirkan masalah ini secara menyeluruh kerana negara ini akan diwariskan kepada mereka suatu hari nanti. Sesuatu yang difikir hari ini boleh diterjemahkan kepada pelaksanaan pada hari kemudian setelah langkah yang wajar diambil secara intelek.
Sunday, November 25, 2012
Bila Usia Semakin Senja.....
2012.....November bakal berlalu dan Disember menanti untuk berlabuh. Begitu pantas masa berlalu dan diripun semakin jelas senjanya. Dalam usia begini tanggungjawab kian bertambah apabila ruang litup kehidupan semakin melebar. Mampukah aku meniti cabaran mendatang ini dengan gagah seperti dulu?? Hamba memohon padaMu ya Allah, semoga diperkuat mental dan fizikal mengharungi segala perjalanan yang telah Engkau tuliskan. KeredhaanMu ku dambakan dalam kehidupan ini agar tidak terpesong arah dan tujuan. Amin, Amin ya Rabbal'alamin.
Monday, June 4, 2012
SALAM DARI KAMPUNG....
Sempena cuti sekolah yang bermula dari 26 Mei 2012 lalu, saya sekeluarga sempat menjengah ibu dan adik-beradik di kampung. Perjalanan Kuala Kangsar - Johor Baharu yang bukan pendek masanya amatlah meletihkan, namun kerinduan untuk menjejak bumi kelahiran, Johor Darul Takzim, telah menguatkan semangat untuk bertemu mereka.
Kami meraikan perkahwinan anak saudara yang pertama. Saya telah dapat bertemu ibu dan adik-beradik. Alhamdulillah, kesemuanya sihat dan ceria. Dapatlah saya menikmati telur pindang yang berwarna coklat dan lemak rasanya. Ia memang sukar didapati di negeri lain.
Anak-anak saya dapat bertemu semula dengan sepupu-sepupunya. Bila mereka berkumpul, barulah saya sedar bahawa mereka semua sudah meningkat remaja dan ada yang telah tamat pelajaran serta bekerja. Sungguh cepat masa berlalu, bermakna usia saya semakin banyak bilangannya. Alhamdulillah, dalam usia emas ini, saya dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus berbakti kepada keluarga dan negara.
Hari berikutnya kami melawat ibu-ibu saudara saya yang uzur di Tebrau dan Batu Pahat. Peluang ini saya gunakan untuk mengenalkan anak-anak kepada nenek-nenek saudara mereka lebih rapat lagi kerana jarang bertemu. Saya mahu mereka melakukan perkara yang sama apabila mereka seusia saya nanti.
Sepanjang lima hari di rumah ibu, saya memasakkan makanan untuknya atas permintaannya. Alhamdulillah, kesihatan ibu adalah memuaskan, cuma pendengaran agak kabur kerana dimamah usia. Dia menghabiskan banyak waktunya dengan solat wajib dan sunat serta puasa sunat.
Semasa pulang, ibu membekalkan saya kerepek ubi yang digorengnya dan nenas madu. Saya rasa sedih untuk meninggalkannya. Air mata saya tertumpah lagi di bumi itu tapi saya pasrah terhadap takdir ini. Selepas mencium dan memeluk cucu-cucunya, saya meninggalkan ibu untuk berangkat pulang ke Perak.
Kami singgah di Pagoh, Muar untuk menjengah kawasan itu. Saya masuk ke Gerai Monggo & Mampir untuk membeli pisang salai. Dalam perjalanan pulang, kami terdengar lagu Jawa Puteri Ledang melalui siaran radio kawasan selatan. Bait-bait senikata yang saya ingat lagi
" ....rupa-rupane kang mas, rupa-rupane....rupa-rupane mbak yu, rupa-rupane anak mbok rondo......" Saya faham maksudnya dan rasa terhibur mendengarnya.
Sebaik memasuki Melaka, kami fokuskan perjalanan yang jauh. Negeri Johor semakin jauh ditinggalkan. Selamat tinggal negeriku .....Panjang umur kita jumpa lagi.
Thursday, December 22, 2011
WANITA ......KINI DAN SELAMANYA
Tempatnya bukan diceruk dapur tetapi di merata tempat yang memerlukan khidmatnya.Ini disebabkan dia juga menerima ilmu dan didikan yang setara dengan kaum Adam.Dia tidak minta jadi begitu tetapi arus perubahan menjadikan dia perlu menjadi begitu.
Kewujudannya bukan untuk menghias ruang lantaran kecantikannya yang memukau tetapi untuk berbakti di bumi Allah ini. Dia layak mendapat ganjaran daripadaNya selagi apa yang dicurah tidak menyalahi hukumNya.Dia perlu meneruskan kehidupan dengan caranya sendiri.
Ketulusan hatinya bukanlah untuk dipermainkan oleh insan bernama lelaki tetapi untuk difahami bahawa dia sedia berkongsi suka-duka dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba.Dia juga ada hati dan perasaan untuk membina kerjaya cemerlang dan kebahagiaan masa depan.
Keluhuran budinya bukanlah untuk dipersiakan oleh kaum Adam tetapi untuk dijadikan teman hidup dalam meniti hari-hari mendatang.Dia akan setia hingga ke akhir hayatnya selagi hatinya tidak dicalar luka.Dia sedia mengerti segala taqdir Illahi dengan kesabaran dan keredhaan di hati.
Kesabarannya yang tidak bersyarat bukan untuk diambil kesempatan oleh makhluk di muka bumi ini kerana dia sentiasa memberi waktu dan kesempatan kepada yang berhati ikhlas membetul kesilapan.Pegangan hidupnya ialah semua penghuni alam ini berhak menikmati kebahagiaan dan kejayaan.
Namun dia adalah manusia biasa yang tidak sunyi dari kekecewaan bila hatinya dilukakan.Dia akan ingat segala kepahitan yang berlaku hingga ke akhir hayatnya walaupun dia sedia memaafkan segala kesalahan dengan senyum.Walau tertutup rapat di sudut hati paling dalam, dia sukar memberi ruang untuk kali kedua.
Sunday, December 18, 2011
CORETAN DIRI
Saya termenung selepas mendengarnya. Bertahun mengikuti isu ini, kini rasa berdosa kerana tidak memberi perhatian khusus terhadapnya .Bukan tidak mahu melaksana tetapi terlalu menyerah kepada yang pakar sedangkan ini isu umat, isu semua.Sasaran berada di depan mata maka perlu gunakan peluang dan ruang secara berhemah.
Akidah...Apa dia akidah ? Mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua, akidah ialah sesuatu yang dipercayai atau diyakini (terutamanya tentang agama) atau kepercayaan atau keyakinan. Dalam kontek ini saya merujuk kepada anak-anak atau pelajar yang beragama Islam. Tanpa perhatian yang sepatutnya, mereka boleh terjebak ke dalam masalah pengguguran akidah islamnya.
Di antara ciri-ciri muslim yang didatangi oleh kumpulan itu ialah miskin dan melarat.Mereka ini diumpan dengan wang ringgit, kesenangan dan kekayaan.Ciri lain ialah keluarga yang berpecah-belah atau porak peranda. Mereka hadir dengan pelbagai hiburan, kemewahan dan motivasi dalaman dan luaran yang mengalpakan dengan segala bentuk bantuan segera.Mereka terjebak disebabkan ilmu agama yang dangkal dan rapuh.
Kumpulan lain yang ditembusi ialah golongan profesional dan berhutang dengan segala bentuk penjelasan dan bantuan yang dimanipulasi dan mengeliru, dijanjikan dengan imbuhan dan kemasyhuran dunia. Pegangan agama yang rapuh dan ukhwah Islam yang longgar memudahkan mereka menakluki kumpulan ini, ditambah lagi pelbagai iklan kemewahan di media cetak dan elektronik yang dikuasainya.
Jelas di sini pengguguran akidah berlaku kerana kegagalan kita menyedia wadah menarik untuk anak-anak dan ahli masyarakat agar mencintai Islam. Ia berlaku kerana kelemahan kita mendidikan mereka dengan ajaran Islam yang kukuh kerana tidak mempraktikkannya dengan cara yang sesuai dengan peredaran masa. Kalau hanya menekan soal remeh-temeh, caci-maki bila silap,fitnah-memfitnah , mereka bosan lalu mudah menerima alternatif lain.
Apa yang boleh kita lakukan ? Golongan dewasa perlu menjadi model muslim yang baik dari segi ilmu dunia dan akhirat serta sahsiah terpuji. Dekati dan didik anak-anak dengan berkhemah mengguna segala bentuk pendekatan dan didikan yang sesuai dengan usia dan peredaran masa . Laksanakan suruhan Allah bersama-sama dengan konsisten tanpa pengaruh dari mana-mana pihak yang mempunyai agenda tertentu.
Kukuhkan ekonomi dalam keluarga dan salurkan kemudahan dan keperluan untuk mereka belajar dengan sempurna baik ilmu dunia mahupun ilmu agama. Pastikan mereka belajar ilmu yang betul dan sentiasa mengambil berat masalah mereka walau sesibok mana urusan kita. Membiarkan mereka sendiri mengatasi masalah sebenarnya memberi ruang mereka dijebak kepada masalah lain.
Silaturrahim kekeluargaan dan kemasyarakatan yang kukuh boleh menghalang mereka terjebak ke kancah yang tidak diingini. Hubungan rapat ini dapat menarik mereka ke pangkal jalan jika mereka digoda hebat oleh pihak beragenda. Kalau dapat kita laksana "anak orang anak kita" , gejala ini mungkin boleh diurus dengan lebih berkesan.
Saya menulis artikel ini bertujuan untuk berkongsi buah fikiran bersama pembaca dan peringatan kepada diri sendiri supaya mempraktikkan yang terbaik dalam mendidik anak dan pelajar. Islam adalah agama universal. Memberi perhatian kepada permasalahan mereka boleh membantu mengukuhkan jati diri mereka agar tidak mudah tergugat dengan anasir yang tidak diingini.
Friday, December 16, 2011
TENTANG SENSITIF
Kamus
Pelajar Edisi Kedua memberikan makna sensitif sebagai mudah
tersinggung, mudah berasa,peka dan dapat
menunjukkan perubahan yang sekecil-kecilnya.Objek yang mempunyai ciri
ini berupaya memberi data yang betul dalam pengukuran. Bagi benda hidup
pula ia menunjukkan strukturnya masih berfungsi dengan sempurna dan
boleh diguna sebagai spesimen dalam kajian.
Tubuh
badan manusia yang sensitif akan bertindakbalas dengan cepat terhadap
rangsangan.Ini boleh membantunya menyelamatkan diri dari faktor-faktor
yang membahayakan diri seperti haba, cahaya dan lain-lainnya.Ia juga
membantu diri membuat langkah yang betul dari tindakbalas yang diambil.
Di sebalik semua fenomena ini ialah sistem saraf yang sihat.
Bagaimana
pula hati yang sensitif ? Seseorang itu sebenarnya sihat jika mudah
berasa. Lanjutan daripada itulah yang menentukan tahap kerasionalan
pemikirannya.Jika dia mudah berasa terhadap sesuatu dan bertindak secara
positif maka dia dikategorikan matang. Jika tindakannya negatif seperti
melenting, marah di mana emosinya tidak dapat dikawal maka dia
dikategorikan kurang matang.
Apa
kaitan fenomena ini dalam pembelajaran? Kategori pertama dapat membantu
seseorang pergi lebih jauh dalam pengajiannya serta mudah menyesuaikan
diri dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam sebarang situasi. Kategori
kedua pula boleh berjaya juga tetapi menyebabkan pihak lain merasa
kurang selesa apabila berurusan dengan mereka dan situasi selalu menjadi
sukar.
Pelajar
yang tidak sensitif pula tidak berminat dalam pelajaran kerana apa yang
dikata oleh guru gagal menyentuh fikirannya dan tidak diaplikasi dalam
tindakan lanjutnya. Guru perlu bertindak lebih agresif agar
pembelajaran berbentuk mekanikal mampu mereka lakukan, tidak ubah
seperti pahat dengan pemukul.Guru perlu mempunyai tahap kesabaran yang
tinggi mendidik pelajar ini.
Sensitiviti
seseorang dipengaruhi juga faktor keturunan.Tiada siapa dapat mengubah
ketentuan Tuhan itu. Pemakanan yang sihat membina saraf yang lengkap
dan menyumbang kepada sensitiviti ini. Apakah faktor lain yang memberi
kesan terhadap ciri ini ? Apakah aktiviti atau cara hidup yang dapat
mempengaruhinya ? Mungkin kita akan mendapat jawapannya suatu hari
nanti.
Monday, December 12, 2011
CATATAN KE PAMERAN MARITIM DAN UDARA ANTARABANGSA (LIMA) 2011
Tarikh: 8 - 10 Disember 2011.
Kami menjadikan pameran ini sebagai destinasi percutian keluarga ke Langkawi dua tahun sekali. Banyak benda yang boleh dilihat oleh anak-anak dalam pameran ini dan banyak perkara boleh dipelajari, dari segi akademik mahupun peluang pekerjaan apabila tamat pelajaran.
Tiba di Jeti Kuah jam 7.45 malam 8 Disember
Menginap di hotel bajet...Panorama
Kami menyewa kenderaan ini untuk perjalanan
9 Disember...ke pameran udara
Pasukan bomba penyelamat ini
bersedia bagi kecemasan
bersedia bagi kecemasan
Di antara petugas pameran merupakan
pelajar IPTA bidang aeroangkasa
Pameran statik...
kapalterbang besar milik NAVY USA
kapalterbang besar milik NAVY USA
Pengunjung diberi peluang memasukinya
Pameran statik......
kapalterbang sederhana milik TUDM
kapalterbang sederhana milik TUDM
Pameran statik...kapalterbang kecil
Deretan kapalterbang pertunjukan
......bersiap sedia membuat penerbangan
Pertunjukan penerbangan yang
melibatkan empat buah jet pejuang TUDM
membelah bumi Langkawi.
melibatkan empat buah jet pejuang TUDM
membelah bumi Langkawi.
Pertunjukan jet pejuang TUDM
....membuat bentuk LOVE di ruang angkasa
Aksi tangkas juruterbang TUDM
mengendalikan jet mereka
10 Disember....ke pameran Maritim
di Awana Porto Malai
Bot TLDM yang mengambil
bahagian dalam pertunjukan air
KD KELANTAN.....Pengunjung diberi
peluang melawat ke dalam kapal ini
Pemandangan laut dari atas KD KELANTAN
Pemandangan di Jeti Kuah ketika
kami berangkat pulang jam 5.00 petang.....
Pameran ini melibatkan promosi perdagangan dalam bidang pengangkutan laut, darat dan udara oleh syarikat-syarikat berkaitan dari seluruh dunia serta vendor-vendornya .Ia juga melibatkan kenderaan bagi tentera yang dilengkapi dengan perkakasan ketenteraan. Di sini kita boleh mengetahui peluang dan bidang pekerjaan yang ditawarkan bagi pelajar lepasan universiti dan kolej.
Apa yang membanggakan saya ialah bidang ini sedang berkembang di negara ini berdasarkan statistik pembuatannya dan ini bertepatan dasar kerajaan dalam transformasi ekonomi iaitu menjana ekonomi berskala tinggi.
Selamat Tinggal Langkawi.
Insyaallah, panjang umur kita berjumpa lagi di LIMA 2013.
Saturday, November 26, 2011
Sebuah Catatan Kenangan
Tepat jam 11.30 pagi, sayapun bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang kenamaan. Tiba-tiba suami memberitahu bahawa ada tiga majlis perkahwinan yang perlu dihadiri pada hari itu. Dia mencadangkan supaya menghadiri kenduri anak kenamaan paling kemudian. Setelah siap kamipun menuju ke destinasi pertama.
Sebaik tiba di khemah jamuan, kami mendengar pengumuman "Selamat datang kepada cikgu...... yang telah mengajar anak saya......Terimakasih kerana sudi menghadiri majlis ini." Terasa diri diberi perhatian dan dihargai ketika itu. Kami mendapatkan juruhebah itu yang merupakan ayah kepada pengantin untuk bersalaman, mengucap tahniah serta menghulurkan sumbangan. Kami diberikan buah tangan dan selepas itu menjamu selera. Ayah pengantin terus-terusan membuat pengumuman kepada hadirin lain yang tiba . Saya yakin mereka juga merasa apa yang kami rasakan.
Selesai makan, kami menuju ke kenduri kedua. Bapa pengantin menyambut ketibaan kami dan mempersilakan kami menjamu selera. Selepas bersalaman, mengucap tahniah dan menghulur sumbangan, kamipun menuju ke ruang makanan.Ketika itu kami bertembung dengan pengantin. Kami bertegur sapa dengannya sebelum menjamu selera.Semasa makan, kami didatangi adik pengantin lalu memperkenalkan dirinya sebagai bekas murid saya. Saya masih ingat lagi dengannya .Selepas itu kami menuju ke kenduri ketiga, keluarga kenamaan di sebuah dewan yang besar.
Tetamu terlalu ramai dan tiada sesiapapun menegur kami atau menjemput masuk. Kenduri itu seolah-olah satu majlis keraian awam. Masing-masing sebok di khemah luar dewan untuk menjamu selera. Saya tidak nampak kelibat ibubapa pengantin lalu kami memasuki dewan. Mereka berada di tengah dewan yang besar itu . Dari kejauhan kami melihat mereka didatangi tetamu yang kelihatan hebat-hebat belaka dengan hadiah yang besar-besar. Saya rasa diri terlalu kerdil ketika itu dan tidak berupaya bergerak ke arah mereka. Meja makan di dalam dewan yang sebesar itu juga kelihatannya disedia untuk tetamu kenamaan sahaja.
Di atas pentas ketika itu diadakan pertunjukan tarian zapin. Selepas tamat , ditayangkan pula video peribadi mereka. Kami keluar dewan sebab tidak berminat menyaksikannya . Suami dan anak saya menjamah cendol yang disediakan berdekatan pintu dewan. Saya merasa kurang selesa kerana situasi itu tidak seperti majlis kenduri yang selalu dihadiri . Saya tidak menjamah sebarang makanan di situ kerana sudah terlalu kenyang . Fikiran nakal ini pula menganalisis kewujudan situasi "antara dua darjat " zaman moden yang sedang berlaku di depan mata . Selepas itu kami pulang .
Saya tidak berminat untuk memikirkan situasi itu lagi. Biarlah kisah itu berlalu sebagai kenangan sempadan kehidupan ini. Saya merenung semua tandamata dari kenduri pertama dan kedua yang membuatkan kami selesa sebagai tetamu dalam majlis kenduri .Benar kata orang, pipit memang tidak selesa terbang bersama enggang walaupun enggang itu berada dalam habitat yang sama sebab ia boleh terhimpit di celahnya. Apa yang perlu ialah pipit mesti belajar meloloskan diri dari celahan dan himpitan itu untuk terus bergerak pantas ke hadapan.............
Monday, November 21, 2011
SUATU MALAM MINGGU DI JETI SEMPADAN..........
Selepas makan malam sekeluarga, kami bersiar-siar di jeti ini sambil menikmati kesegaran angin malam. Di seberang sana adalah kota Singa yang terasa dekat dari kedudukan jeti ini.
Kami berihat di jeti ini
Pandangan di tepi laut
Restoran atas air.....dipenuhi pengunjung
Kami makan malam di medan selera di sini
Air laut kelihatan tenang pada malam ini
Suasana pasar minggu minggu di sekitar jeti
Wednesday, November 16, 2011
CERMIN KEHIDUPAN
Tadi saya ke kolam renang menemankan anak bongsu bermain air bersama kawan sekelasnya. Mereka semua akan belajar di tingkatan satu pada tahun depan. Ada di antara mereka tidak akan bersama lagi kerana berlainan sekolah menengah.Petang tadi mereka meraikan perpisahan di kolam tersebut.
Saya duduk di satu sudut sambil bersembang dengan penyelamat di kolam itu . Tiba-tiba mata saya tertumpu kepada seorang budak lelaki yang sangat kurus bergerak dari kawasan berhampiran ke sudut yang lebih jauh. Dia melintasi sekumpulan pelajar perempuan yang sedang bermain air di kolam yang cetek. Mereka ketawa sekuat-kuatnya apabila melihat budak tersebut.
Hati saya tertanya-tanya mengapa dia diketawakan. Pada pandangan saya kekurangan pada budak lelaki itu adalah perkara biasa dan tidak perlu difikir atau diketawakan. Dia makhluk Tuhan. Allah telah menjadikan makhluknya dengan berbagai rupa, bentuk dan sifat .Mentertawakan kejadianNya bermakna memperlekehkanNya.
Itu adalah cermin kehidupan ini. Kalau insiden ini boleh berlaku ke atas budak lelaki itu, tidak mustahil ia akan berlaku kepada kita atas alasan yang lain pula. Contohnya kita boleh diketawakan hanya kerana sebutan yang kurang tepat, atau suara yang kurang mantap atau warna baju yang kurang menawan atau badan yang terlebih berat dan sebagainya.
Apa salahnya kalau kita belajar menerima segalanya tanpa menunjukkan riaksi yang tidak menyenangkan samada mentertawakan, mempersenda, mengata, mencemik orang lain. Ini disebabkan kejadian Allah tidak terduga. Tidak mustahil kita ditakdirkan mengalami nasib yang sama, tentulah perasaan kita terguris, sedih dan tertekan. Belajar untuk tidak menjadi punca tekanan kepada orang lain adalah sifat terpuji.
Kehidupan kita sebenarnya sangat singkat berbanding alam abadi nanti. Kita tidak akan membuat perkara negatif itu jika sentiasa mengingati kekuasaan dan kebesaranNya , Allah yang Maha Esa...............
Saturday, September 24, 2011
SUASANA KONVOKESYEN
Tarikh : 17 September 2011 (Sabtu)
Tempat : Dewan Wawasan 2020 Kangar
Masa : 8.00 pagi - 1.00 tgh
Baru-baru ini saya telah menghadiri istiadat konvokesyen anak sulung di sebuah IPTA di utara. Saya sempat merakam suasana ini buat kenangan kami.
Perarakan masuk para graduan ke dalam dewan
Graduan mengambil tempat di hadapan
iaitu di belakang tempat duduk pensyarah di hadapan pentas
Fail dokumen yang diterima di atas pentas
dari chanselor universiti
Jambangan hadiah dari keluarga.
Lima panda melambang lima beradik
Jambangan hadiah dari temannya
Buku cenderamata konvokesyen,
mencatat senarai penerima ijazah
Surat jemputan kepada ibubapa
Kad masuk dewan bagi ibubapa / waris
Kad jemputan istiadat bagi graduan
Cenderamata kepada tetamu
Beg kertas mengisi jubah graduan
Tahniah diucapkan kepada para graduan,
teristimewa buat anakanda.Bonda doakan
semoga menjadi jurutera berwibawa
semoga menjadi jurutera berwibawa
Saturday, September 3, 2011
IKHLAS....... MEMBENTUK KEKUATAN DIRI
Ikhlas ialah : " melaksanakan taat semata-mata kerana Allah sendiriNya, bukan di maksudkan memperolehi kebesaran dari manusia, ataupun penghormatan. Dan bukan pula untuk memperolehi sesuatu keuntungan dunia atau menolak sesuatu bencana keduniaan."
Tingkat-tingkat Ikhlas:
1. Melaksanakan ibadah kerana takut akan azab.
2. Melaksanakan ibadah kerana membesarkan Allah.Kerana merasai kehebatan Nya. kerana menuruti dan akur akan seruan Nya dan tiada pula terlintas di hati sesuatu maksud lain.
1. Melaksanakan ibadah kerana takut akan azab.
2. Melaksanakan ibadah kerana membesarkan Allah.Kerana merasai kehebatan Nya. kerana menuruti dan akur akan seruan Nya dan tiada pula terlintas di hati sesuatu maksud lain.
Perlunya seorang muslim memiliki sifat ikhlas adalah berkait dengan ugutan iblis seperti berikut
Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.Kecuali hamba-hamba-Mu di antara mereka yang ikhlas.”
[al-Hijr 15:39-40]
Ciri-ciri orang yang memiliki keikhlasan antaranya.
1. Hidupnya jarang sekali merasa kecewa.
2. Tidak bergantung/berharap pada makhluk.
3. Tidak pernah membezakan antara amal besar dan amal kecil.
4. Banyak amal kebaikan yang rahsia.
Berdasarkan ciri=ciri ini, ikhlas terbit dari jiwa yang kuat dan semangat yang teguh kerana keyakinan diri yang tinggi dalam kehidupan adalah berteraskan keimanan yang kukuh kepada Allah.
Ref:
http://mamut1.tripod.com/ikhlas.htm
https://www.facebook.com/note.php?note_id=10150235399213163
Subscribe to:
Posts (Atom)































































