Saturday, November 26, 2011

Sebuah Catatan Kenangan

Tepat jam 11.30 pagi, sayapun bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang kenamaan. Tiba-tiba suami memberitahu bahawa ada tiga majlis perkahwinan yang perlu dihadiri pada hari itu. Dia mencadangkan supaya menghadiri kenduri anak kenamaan paling kemudian. Setelah siap kamipun menuju ke destinasi pertama.

Sebaik tiba di khemah jamuan, kami mendengar pengumuman "Selamat datang kepada cikgu...... yang telah mengajar anak saya......Terimakasih kerana sudi menghadiri majlis ini." Terasa diri  diberi perhatian dan dihargai ketika itu. Kami mendapatkan juruhebah itu yang merupakan ayah kepada pengantin untuk bersalaman, mengucap tahniah serta menghulurkan sumbangan. Kami  diberikan buah tangan dan selepas itu menjamu selera. Ayah pengantin terus-terusan membuat pengumuman  kepada hadirin lain yang tiba . Saya yakin mereka juga  merasa apa yang kami rasakan.

Selesai makan, kami menuju ke kenduri kedua. Bapa pengantin menyambut ketibaan kami dan mempersilakan kami menjamu selera. Selepas bersalaman, mengucap tahniah dan menghulur sumbangan, kamipun menuju ke ruang makanan.Ketika itu kami bertembung dengan pengantin. Kami bertegur sapa dengannya sebelum  menjamu selera.Semasa makan, kami didatangi adik pengantin lalu memperkenalkan dirinya sebagai bekas murid saya. Saya masih ingat lagi dengannya .Selepas itu kami menuju ke kenduri ketiga, keluarga kenamaan di sebuah dewan yang besar.

Tetamu terlalu ramai dan tiada sesiapapun menegur kami atau menjemput masuk. Kenduri itu seolah-olah satu majlis keraian awam. Masing-masing sebok di khemah luar dewan untuk menjamu selera. Saya tidak nampak kelibat ibubapa pengantin lalu kami  memasuki dewan. Mereka berada di tengah dewan yang besar itu . Dari kejauhan kami melihat mereka didatangi tetamu yang kelihatan hebat-hebat belaka dengan hadiah yang besar-besar. Saya rasa diri terlalu kerdil ketika itu dan tidak berupaya bergerak ke arah mereka. Meja  makan di dalam dewan yang sebesar itu juga kelihatannya disedia untuk tetamu kenamaan sahaja. 

Di atas pentas ketika itu diadakan pertunjukan  tarian zapin. Selepas tamat , ditayangkan pula video peribadi  mereka. Kami keluar dewan sebab tidak berminat menyaksikannya . Suami dan anak saya menjamah cendol  yang disediakan berdekatan pintu dewan. Saya merasa kurang selesa kerana  situasi  itu tidak seperti  majlis kenduri  yang selalu dihadiri .  Saya tidak  menjamah sebarang makanan di situ kerana sudah terlalu kenyang . Fikiran nakal ini pula menganalisis  kewujudan situasi "antara dua darjat " zaman moden yang sedang berlaku di depan mata . Selepas itu kami pulang .

Saya tidak berminat untuk memikirkan situasi itu lagi. Biarlah kisah itu berlalu sebagai kenangan sempadan kehidupan ini. Saya merenung semua tandamata dari kenduri pertama dan kedua yang membuatkan  kami  selesa  sebagai tetamu dalam  majlis kenduri .Benar kata orang, pipit memang tidak selesa terbang bersama enggang  walaupun enggang itu berada dalam habitat yang sama sebab ia boleh terhimpit di celahnya. Apa yang perlu ialah pipit mesti belajar meloloskan diri dari celahan dan himpitan itu untuk terus bergerak pantas ke hadapan.............

2 comments:

Anonymous said...

Salam,

Saya cukup tertarik dgn tulisan puan... Saya dapat rasakan apa puan rasakan kerana saya pun berada di tempat yang sama di kala kehadiran pembesar-pembesar yang diagungkan. Mulut pun mengungkapkan kata yang sama, cuma teman saya menyejukkan hati saya. Katanya, beginilah adatnya kehidupan orang kenamaan,tetamu terlalu ramai, sebab itu disediakan penyambut tetamu merata-rata. Betul kata teman saya, cuma kita kecewa kerana tidak mendapat sentuhan sebagai tetamu yang dijemput dan tidak dapat bertemu mata dengan yang sepatutnya..... Mungkin yang menjemput kita pun tersepit dengan apa yang tidak dapat beliau elakkan. Harap kita dapat memaafkan beliau....

Citera Alam said...

Anonymous,
Salam,
T kasih atas respon itu. Saya faham keadaan tuan rumah kenamaan ketika itu tetapi dalam keadaan kepanasan, ketidakselesaan menjadikan kita agak "nakal".Beliau tidak salah apa-apa dan saya tidak perlu memaafkannya. Coretan itu hanya buat kenangan diri saya ....si pipit kecil....