Friday, March 18, 2011

TRANSFORMASI DIRI

Ia sangat dituntut dalam Islam , dari keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik . Tiada sesiapa yang sempurna di dunia ini kerana kesempurnaan adalah milik Allah , namun sebagai manusia yang dikurniakan akal , kita diminta mengubah diri kepada keadaan yang lebih baik .

Sebelum melaksanakan transformasi diri , kenalpasti dahulu samada sasaran dituju  benar-benar lebih baik daripada sebelumnya . Ini perlu dilihat dari segenap sudut yang berkaitan dengan perubahan itu . Kalau satu sudutnya baik tetapi beberapa sudut lain pula sebaliknya , perubahan itu tidak wajar dilakukan . Ia boleh diibarat seperti tikus membaiki labu .

Sebagai manusia yang mempunyai akal , kriteria sudut yang kurang baik harus diperbetulkan dahulu sebelum diletakkan ciri diri di situ . Bagi mencapai tujuan ini , berbaliklah kepada Allah akan hukum-hakamnya , sesuaikanlah dengan nilai atau etika dan perundangan semasa selain selaras dengan  budaya dan iklim persekitaran .

Transformasi diri yang terbaik ialah  mempraktikkan apa yang dikata dan merealisasikan apa yang diidamkan demi kesejahteraan diri , alam dan manusia kerana inilah fungsi kita sebagai khalifah di Bumi Allah ini . Sekadar berkata tanpa berbuat apa-apa bukanlah transformasi diri yang berfaedah . Mengkritik  tanpa bertindak pula hanyalah membazir waktu kerana ia tidak dapat membantu sesiapa .

Kejayaan mentransformasi diri bergantung kepada sejauh mana kecemerlangan yang diperolehi itu dapat mendekatkan diri kita kepadaNya kerana faktor inilah menjamin ketenteraman jiwa .

No comments: