Semasa terserempak dengan bekas pelajar tingkatan 6 aliran sains yang berjaya ke universiti, saya bertanya mereka "Apa kelebihan awak belajar di tingkatan 6 aliran sains? " Mereka menjawab "Apa yang dipelajari di tingkatan 6 aliran sains adalah berguna kerana amat membantu pembelajaran tahun pertama di peringkat ijazah". Seorang daripada mereka belajar di bidang kejuruteraan dan seorang lagi di bidang sains.
Itulah juga pengalaman saya waktu dulu. Ini bermakna sukatan yang disediakan di tingkatan 6 aliran sains adalah relevan dengan keperluan akademik bidang sains di peringkat lebih tinggi dari dahulu sehingga sekarang. Ketika mempelajari subjek tersebut memanglah dirasakan susah tetapi mempunyai nilai kepentingan yang tinggi telah diakui oleh bekas pelajar-pelajarnya.
Pelajar yang telah berjaya merupakan pelajar yang mempunyai motivasi dalaman yang tinggi, berdikari untuk belajar serta tidak berputus asa. Mereka menggunakan segala peluang dan ruang dengan sebaik mungkin sesuai dengan pengurusan persekolahan yang sangat optimum untuk pembelajaran jangka panjang. Waktu persekolahan yang lebih pendek dan cuti sekolah yang banyak tidak memberi tekanan tinggi.
Faktor utama kejayaannya ialah disiplin diri yang baik seperti tidak membuang masa, tidak ponteng sekolah, patuh segala tugasan yang diberi serta tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, rempit dan lain-lainnya. Mereka bukan golongan yang bermasalah di sekolah sebab sentiasa sebok mengulangkaji pelajaran, menghafal fakta dan rumus serta membuat laporan eksperimen.
Umumnya mereka ini bukan anti sosial tetapi mengenepikan keseronokan usia remaja untuk mengejar impian. Segala keseronokan tidak membawa apa-apa erti jika masa depan gelap gelita. Berputih tulang adalah lebih baik daripada berputih mata supaya tiada siapa yang akan kecewa pada hari kemudian.
1 comment:
yup! agree!
Post a Comment