Sunday, March 31, 2013

Sunday, February 3, 2013

CATATAN MAULIDUR RASUL 1434 H / 2013 M WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH (Tema peringkat kebangsaan)

















 Saya sempat menyaksikan siaran langsung sambutan tersebut menerusi RTM 1 dan abadikannya  di sini. Walaupun sambutan peringkat kebangsaan sudahpun seminggu berlalu tetapi ia masih diadakan di peringkat komuniti yang lebih kecil seperti masjid, surau, sekolah dan pejabat dalam bentuk ceramah dan bacaan sejarahnya.

Saya dapati terdapat sedikit perubahan dalam sambutan di peringkat kebangsaan di mana laungan  salawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW berkumandang dari seluruh sudut komunikasi : udara, darat dan air. Menitis airmata ini melihatkan umat Islam bersatu-padu menjayakan sambutan dan berselawat ke atasnya dalam perarakan yang berwarna-warni dan berseri-seri . Saya sekeluarga menontonnya di rumah turut serta berselawat dan rasa bersyukur dengan kesatuan yang begini. 

Laungan selawat yang berkumandang dari semua sudut bumi Malaysia ini melambangkan walau di mana kita berada, walau apa sahaja aktiviti dunia yang dilakukan, baginda tetap menjadi ingatan untuk ditauladani oleh kita semua. Selagi ajaran al Qur'an dan sunnahnya dipatuhi, kita akan dapat menjadi umatnya yang berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Untuk bersatu, kita perlulah mencari persamaan antara satu sama lain. Untuk berjaya juga kita perlu mencari persamaan kewajipan hidup, baik di dunia mahupun di akhirat kerana kita dijadikan dengan taraf yang serupa di sisiNya, hanya keimanan dan ketaqwaanlah yang membezakan kedudukan kita di sisiNya.

Kalaulah hanya perbezaan yang dicari dan diteliti sesama kita, kita sebenarnya hanya cuba mewujudkan perpecahan .................................

KOLEKSI HUTAN BATU 2013




























Hutan batu ini boleh dijadikan rujukan binaan dahulu, sekarang dan akan datang. Masa berubah, binaan boleh berubah dan binaan ini boleh jadi kenangan hasil dari inovasi manusia berdasarkan keperluan yang berubah dari semasa ke semasa.

Gotong Royong Perdana 1 Malaysia Ahad, 3 Februari 2013


Kali ke 3 2013...
Pelajar tiba seawal 7.30 pagi
Mendengar taklimat & pelancaran
Membuang apa sahaja yang bernama "sampah"
Bermula jam 8.20 pagi, saya bersama lima orang pelajar tingkatan 3 membersihkan kawasan di hadapan Makmal Fizik dan Biologi. Kami mengutip apa sahaja yang dinamakan sampah dan dibuang ke dalam plastik yang disediakan. Mereka akur arahan saya dan kerja menjadi efisen dan mudah.

Selepas sejam, kami pun berihat di dalam Makmal Fizik. Saya menyuruh mereka makan dan minum roti dan air yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Saya ambil kesempatan berkenalan dengan mereka. Mula-mula malu tapi lama-kelamaan mereka mahu bercakap dan usik mengusik pula.

Selepas itu  kerja disambung di bahagian belakang pula. Kami melupus satu kawasan timbunan sampah yang tidak digunakan lagi dan membuang segala bentuk plastik dan pot yang menakung air. Banyak jentik-jentik ditemui dan dilupuskan. Harapannya selepas ini nyamuk tidak bertambah.

Pukul 10.00 pagi aktiviti pun selesai. Mereka mencuci tangan menggunakan  sabun dan kami berihat di dalam makmal lagi. Saya pun bersembang dengan mereka mengenai sampah.Mereka bercerita tentang sampah-sarap yang ditemui di kawasan tertentu yang tidak diurus dengan baik. Nampaknya mereka sedar tentang persekitaran itu.

Saya maklumkan kepada mereka pertambahan manusia akan meningkatkan pembuangan sampah, maka mekanisma pelupusan yang sistematik perlu dilaksanakan walau di mana kita berada. Di kawasan desa berkawasan luas, sisa pepejal mesra alam bolehlah dilupus secara semulajadi iaitu diuraikan bersama tanah yang boleh diperapkan menjadi baja. Di kawasan bandar pelupusan perlu mengguna teknologi tinggi di mana di proses terus menjadi baja. Ia diguna semula dalam pertanian atau untuk aktiviti lanskap.

Sisa pepejal yang tidak mesra alam perlu dicari cara melupus secara selamat kepada alam sekitar. Contohnya dilarutkan mengguna bahan kimia yang sesuai dan diproses menjadi bahan lain yang boleh dimanfaatkan kepada alam dan manusia tanpa kesan sampingan. Teknologi ini belum digiatan lagi di negara ini dan menjadi cabaran kepada kita semua.

Pengurusan ini memerlukan ilmu dari peringkat paling rendah kepada tinggi. Ia adalah sesuatu yang melibatkan semua orang bermula dari celik mata hinggalah ke waktu memejamkan mata semula, penting kepada sekecil-kecil komuniti hinggalah kepada sebesar-besarnya. Jika pengurusan ini tidak dibangunkan, maka kita akan berhadapan dengan kehidupan yang tercemar.

Saya harap mereka akan cuba memikirkan masalah ini secara menyeluruh kerana negara ini akan diwariskan kepada mereka suatu hari nanti. Sesuatu yang difikir hari ini boleh diterjemahkan kepada pelaksanaan pada hari kemudian setelah langkah yang wajar diambil secara intelek.

Sunday, November 25, 2012

Bila Usia Semakin Senja.....

2012.....November bakal berlalu dan Disember menanti untuk berlabuh. Begitu pantas masa berlalu dan diripun semakin jelas senjanya. Dalam usia begini tanggungjawab kian bertambah apabila ruang litup kehidupan semakin melebar. Mampukah aku meniti cabaran mendatang ini dengan gagah seperti dulu?? Hamba memohon padaMu ya Allah, semoga diperkuat mental dan fizikal mengharungi segala perjalanan yang telah Engkau tuliskan. KeredhaanMu ku dambakan dalam kehidupan ini agar tidak terpesong arah dan tujuan. Amin, Amin ya Rabbal'alamin.

Monday, June 4, 2012

SALAM DARI KAMPUNG....

Sempena cuti sekolah yang bermula dari 26 Mei 2012 lalu, saya sekeluarga sempat menjengah ibu dan  adik-beradik di kampung. Perjalanan Kuala Kangsar - Johor Baharu yang bukan  pendek masanya amatlah meletihkan, namun kerinduan untuk menjejak bumi kelahiran, Johor Darul Takzim, telah menguatkan semangat untuk bertemu mereka.

Kami meraikan perkahwinan anak saudara yang pertama. Saya telah dapat bertemu ibu dan adik-beradik. Alhamdulillah, kesemuanya sihat dan ceria. Dapatlah saya menikmati telur pindang yang berwarna coklat dan lemak rasanya. Ia memang sukar didapati di negeri lain.

Anak-anak saya dapat bertemu semula dengan  sepupu-sepupunya. Bila mereka berkumpul, barulah saya sedar bahawa mereka semua sudah meningkat remaja dan ada yang telah tamat pelajaran serta  bekerja. Sungguh cepat masa berlalu, bermakna usia saya semakin banyak bilangannya. Alhamdulillah, dalam usia emas ini, saya dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus berbakti kepada keluarga dan negara.

Hari berikutnya kami melawat ibu-ibu  saudara saya yang uzur di Tebrau dan Batu Pahat. Peluang ini saya gunakan untuk mengenalkan anak-anak  kepada nenek-nenek saudara mereka lebih rapat lagi  kerana  jarang bertemu. Saya mahu mereka melakukan perkara yang sama apabila mereka seusia saya nanti.

Sepanjang lima hari di rumah ibu, saya memasakkan makanan untuknya atas permintaannya. Alhamdulillah, kesihatan ibu adalah memuaskan, cuma pendengaran agak kabur kerana dimamah usia. Dia menghabiskan banyak waktunya dengan solat wajib dan sunat serta puasa sunat.

Semasa pulang, ibu membekalkan saya kerepek ubi yang digorengnya dan nenas madu. Saya rasa sedih untuk meninggalkannya. Air mata saya tertumpah lagi di bumi itu tapi saya pasrah terhadap takdir ini. Selepas mencium dan memeluk cucu-cucunya, saya meninggalkan ibu untuk berangkat pulang ke Perak.

Kami singgah di Pagoh, Muar untuk menjengah kawasan itu. Saya masuk ke Gerai Monggo &  Mampir untuk membeli pisang salai. Dalam  perjalanan pulang, kami terdengar lagu Jawa Puteri Ledang melalui siaran radio kawasan selatan. Bait-bait senikata yang saya ingat lagi
" ....rupa-rupane kang mas, rupa-rupane....rupa-rupane mbak yu, rupa-rupane anak mbok rondo......" Saya faham maksudnya dan rasa terhibur mendengarnya.

Sebaik memasuki Melaka, kami fokuskan perjalanan yang jauh. Negeri Johor semakin jauh ditinggalkan. Selamat tinggal negeriku .....Panjang   umur kita jumpa lagi.

Thursday, December 22, 2011

WANITA ......KINI DAN SELAMANYA

Tempatnya bukan diceruk dapur tetapi di merata tempat yang memerlukan khidmatnya.Ini disebabkan dia juga menerima ilmu dan didikan yang setara dengan kaum Adam.Dia tidak minta jadi begitu tetapi arus perubahan menjadikan dia perlu menjadi begitu.

Kewujudannya bukan untuk menghias ruang lantaran kecantikannya yang memukau tetapi untuk berbakti di bumi Allah ini. Dia layak mendapat ganjaran daripadaNya selagi apa yang dicurah tidak menyalahi hukumNya.Dia perlu meneruskan kehidupan dengan caranya sendiri.

Ketulusan hatinya bukanlah untuk dipermainkan oleh insan bernama lelaki tetapi untuk difahami bahawa dia sedia berkongsi suka-duka dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba.Dia juga ada hati dan perasaan untuk membina kerjaya cemerlang dan kebahagiaan masa depan.

Keluhuran budinya bukanlah untuk dipersiakan oleh kaum Adam tetapi untuk dijadikan teman hidup dalam meniti hari-hari mendatang.Dia akan setia hingga ke akhir hayatnya selagi hatinya tidak dicalar luka.Dia sedia mengerti segala taqdir Illahi dengan kesabaran dan keredhaan di hati.

Kesabarannya yang tidak bersyarat bukan untuk diambil kesempatan oleh makhluk di muka bumi ini kerana dia sentiasa memberi waktu dan kesempatan kepada yang berhati ikhlas membetul kesilapan.Pegangan hidupnya ialah semua penghuni alam ini berhak menikmati kebahagiaan dan kejayaan. 

Namun dia adalah manusia biasa yang tidak sunyi dari kekecewaan bila hatinya dilukakan.Dia akan ingat segala kepahitan yang berlaku hingga ke akhir hayatnya walaupun dia sedia memaafkan segala kesalahan dengan senyum.Walau tertutup rapat di sudut hati paling dalam, dia sukar memberi ruang untuk kali kedua.

Sunday, December 18, 2011

CORETAN DIRI

Saya termenung selepas mendengarnya. Bertahun mengikuti isu ini, kini rasa berdosa kerana tidak memberi perhatian khusus terhadapnya .Bukan tidak mahu melaksana tetapi terlalu menyerah kepada yang pakar sedangkan ini isu umat, isu semua.Sasaran berada di depan mata maka perlu gunakan peluang dan ruang secara berhemah.

Akidah...Apa dia akidah ? Mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua, akidah ialah sesuatu yang  dipercayai atau diyakini (terutamanya tentang agama) atau  kepercayaan atau  keyakinan. Dalam kontek ini saya merujuk kepada anak-anak atau pelajar  yang beragama Islam. Tanpa perhatian yang sepatutnya, mereka boleh terjebak ke dalam masalah pengguguran akidah  islamnya.

Di antara ciri-ciri muslim yang didatangi oleh kumpulan itu ialah miskin dan melarat.Mereka ini diumpan dengan wang ringgit, kesenangan dan kekayaan.Ciri lain ialah keluarga yang berpecah-belah atau porak peranda. Mereka hadir dengan pelbagai hiburan, kemewahan dan motivasi dalaman dan luaran yang mengalpakan dengan segala bentuk bantuan segera.Mereka terjebak  disebabkan ilmu agama yang dangkal dan rapuh.

Kumpulan lain yang ditembusi ialah golongan profesional dan berhutang dengan segala bentuk penjelasan dan bantuan yang dimanipulasi dan  mengeliru, dijanjikan dengan imbuhan dan kemasyhuran dunia. Pegangan agama yang rapuh dan ukhwah Islam yang longgar memudahkan mereka menakluki kumpulan ini, ditambah lagi pelbagai iklan kemewahan di media cetak dan elektronik yang dikuasainya.

Jelas di sini pengguguran akidah berlaku kerana kegagalan kita menyedia wadah  menarik untuk anak-anak dan ahli masyarakat  agar mencintai Islam. Ia berlaku kerana kelemahan kita mendidikan mereka dengan ajaran Islam yang kukuh kerana tidak mempraktikkannya dengan cara yang sesuai dengan peredaran masa. Kalau hanya menekan soal  remeh-temeh, caci-maki bila silap,fitnah-memfitnah , mereka bosan lalu mudah menerima alternatif lain.

Apa yang boleh kita lakukan ? Golongan dewasa perlu menjadi model muslim yang baik dari segi ilmu dunia dan akhirat serta sahsiah terpuji. Dekati dan didik anak-anak dengan berkhemah mengguna segala bentuk pendekatan dan didikan yang sesuai dengan usia dan peredaran masa . Laksanakan suruhan Allah bersama-sama dengan konsisten tanpa pengaruh dari  mana-mana pihak yang mempunyai agenda tertentu. 

Kukuhkan ekonomi dalam keluarga dan salurkan kemudahan dan keperluan untuk mereka belajar dengan sempurna baik ilmu dunia mahupun ilmu agama. Pastikan mereka belajar ilmu yang betul dan sentiasa mengambil berat masalah mereka walau sesibok mana urusan kita. Membiarkan mereka sendiri mengatasi masalah sebenarnya memberi ruang mereka dijebak kepada masalah lain.

Silaturrahim kekeluargaan dan kemasyarakatan yang kukuh boleh menghalang mereka terjebak ke kancah yang tidak diingini. Hubungan rapat ini dapat menarik mereka ke pangkal jalan jika mereka digoda hebat oleh  pihak beragenda. Kalau dapat kita laksana "anak orang anak kita" , gejala ini mungkin boleh diurus dengan lebih berkesan. 

Saya menulis artikel ini bertujuan untuk berkongsi buah fikiran bersama pembaca dan peringatan kepada diri sendiri supaya mempraktikkan yang terbaik dalam mendidik anak dan pelajar. Islam adalah agama universal. Memberi perhatian kepada permasalahan mereka boleh membantu mengukuhkan jati diri mereka agar tidak mudah tergugat dengan anasir yang tidak diingini.

Friday, December 16, 2011

TENTANG SENSITIF

Kamus Pelajar Edisi Kedua memberikan makna sensitif sebagai mudah tersinggung, mudah berasa,peka dan dapat menunjukkan perubahan yang sekecil-kecilnya.Objek yang mempunyai ciri ini berupaya memberi data yang betul dalam pengukuran. Bagi benda hidup pula ia menunjukkan strukturnya masih berfungsi dengan sempurna dan boleh diguna sebagai spesimen dalam kajian.

Tubuh badan manusia yang sensitif  akan bertindakbalas dengan cepat terhadap rangsangan.Ini boleh membantunya menyelamatkan diri dari faktor-faktor yang membahayakan diri seperti haba, cahaya dan lain-lainnya.Ia juga membantu diri membuat langkah yang betul dari tindakbalas yang diambil. Di sebalik semua fenomena ini ialah sistem saraf yang sihat.

Bagaimana pula hati yang sensitif ? Seseorang itu sebenarnya sihat jika mudah berasa. Lanjutan daripada itulah yang menentukan tahap kerasionalan pemikirannya.Jika dia mudah berasa terhadap sesuatu dan bertindak secara positif maka dia dikategorikan matang. Jika tindakannya negatif seperti melenting, marah di mana emosinya  tidak dapat dikawal maka dia dikategorikan kurang matang.

Apa kaitan fenomena ini dalam pembelajaran? Kategori pertama dapat membantu seseorang pergi lebih jauh dalam pengajiannya serta mudah menyesuaikan diri dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam sebarang situasi. Kategori kedua pula boleh berjaya juga tetapi  menyebabkan pihak lain merasa kurang selesa apabila berurusan dengan mereka dan situasi selalu menjadi sukar.

Pelajar yang tidak sensitif pula tidak berminat dalam pelajaran kerana apa yang dikata oleh guru gagal menyentuh  fikirannya dan tidak diaplikasi dalam tindakan lanjutnya. Guru perlu bertindak lebih agresif agar pembelajaran berbentuk mekanikal mampu mereka lakukan, tidak ubah seperti pahat dengan pemukul.Guru perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi mendidik pelajar ini. 

Sensitiviti seseorang dipengaruhi juga  faktor keturunan.Tiada siapa dapat mengubah ketentuan Tuhan itu.  Pemakanan yang sihat membina saraf yang lengkap dan menyumbang kepada sensitiviti ini. Apakah  faktor lain yang memberi kesan terhadap ciri ini ? Apakah aktiviti atau cara hidup yang dapat mempengaruhinya ? Mungkin kita akan mendapat jawapannya suatu hari nanti.