Monday, December 7, 2009

LANGKAWI 2009 (5)

CATATAN (5)  PERCUTIAN DI LANGKAWI 2009
PAMERAN PESAWAT  KECIL  TANPA JURUTERBANG DI  LIMA 
Saya sempat merakam empat buah pesawat kecil statik tanpa juruterbang yang dipamerkan . Sekali faham ia seperti kapalterbang mainan yang dikawal dari jauh . Namun  dalam pasukan keselamatan ia sangat  penting sejajar dengan perkembangan keselamatan di negara maju .

Ketinggian setiap satu lebih kurang 1.2m
 Yang ini pula rangka belakangnya panjang tetapi  kecil
 
Model ini berangka lebih besar tetapi pendek
 
 Yang ini juga panjang dan kecil
 
 Kipas di bahagian belakang
Pesawat ini boleh diprogramkan untuk pelbagai fungsi . Yang selalu diperkatakan ialah untuk risikan tetapi lebih banyak  lagi fungsi yang boleh diwujudkan  khususnya untuk menjadi sebuah negara maju .

LANGKAWI 2009 (4)

CATATAN (4) PERCUTIAN DI LANGKAWI 2009
WAJAH-WAJAH PETUGAS LIMA 
Sambil menyaksikan LIMA , saya juga merakam beberapa wajah petugasnya . Dengan beruniform lengkap , mereka melaksanakan kewajipan dengan penuh berdedikasi .

 Anggota polis ini menjaga keselamatan di tepi pagar pada awal pagi
 
 Anggota TUDM ini memasuki kawasan pameran untuk memulakan tugas
 
 Mereka juga bersiap sedia menjaga keselamatan
 
 Petugas ini menjaga pagar utama ke kawasan pameran pesawat
 
Anggota TUDM ini bertugas di pameran statik pesawat mereka

LANGKAWI 2009 (3)

CATATAN (3) PERCUTIAN DI LANGKAWI 2009
PAMERAN UDARA LIMA   
Sebaik pintu masuk ke lapangan terbang dibuka kepada orang awam , pameran udara dimulakan . Satu demi satu pesawat beraksi di udara . Bunyi yang agak kuat memang memekakkan telinga . Saya sempat menyaksi aksi TUDM , Air force dari Australia dan Singapura .

 Pesawat TUDM ini baru sahaja  mendarat selepas beraksi di udara
 
 Yang ini pula bersiap sedia menunggu giliran untuk ke udara
 
 Petugas-petugas bekerja dalam suasana sepasukan yang mantap
 
 Petugas-petugas ini baharu sahaja melepaskan sebuah pesawat ke udara
 
 Sebuah pesawat  mula memanaskan enjinnya (kanan)
 
 Mereka sedang menunggu sebuah lagi  pesawat pasukannya mendarat
 
 Pesawat maritime ini adalah yang paling besar . Semasa  beraksi  ia menyembur air dari udara
  
 Pesawat Air Force Australia bersiap untuk ke udara . Semasa di udara ia mengeluarkan api dari bahagian belakangnya .Pesawat inilah yang paling banyak mengeluarkan asap semasa berlepas
 
Pameran udara sedang berlangsung
Semasa berlangsungnya aksi udara ini , Menteri Pertahanan , Datuk Zahid Hamidi turun padang bersama kami di lokasi diiringi oleh pegawai tertinggi dari pasukan angkatan tentera . Kami sekeluarga sempat bersalaman dengannya .

Sunday, December 6, 2009

LANGKAWI 2009 (2)

CATATAN (2) PERCUTIAN KE LANGKAWI
PAMERAN PESAWAT STATIK  DI LIMA  2009 
Pameran pesawat untuk orang-orang awam bagi LIMA telah diadakan pada hari terakhir iaitu 5 Disember . Orang awam dikenakan bayaran RM 10 setiap orang untuk menyaksikannya secara lebih dekat .

 Orang awam melihat dan menyentuh pesawat yang dipamerkan 
 
Pesawat PDRM 
Kesempatan digunakan untuk bergambaran di situ
 
Pesawat PDRM  
Ada yang berminat menaikinya
 
 Deretan pesawat pejuang TUDM yang dipamerkan
 
 Bahagian atas pesawat pejuang TUDM ( tempat duduk juruterbang)
 
 Pesawat komersial yang mengambil bahagian (MAS)
 
Helikopter Tentera Laut
Orang awam yang menyaksikan pameran di  lapangan terbang Matsirat ini bagaikan lautan manusia . Ini disebabkan cuti sekolah yang panjang digunakan oleh ibubapa untuk membawa anak masing-masing menyaksikan pameran di samping makan angin di Pulau Lagenda ini .

LANGKAWI 2009 (1)

CATATAN (1)  PERCUTIAN KE LANGKAWI 2009
Pada 4 Disember  saya  bercuti ke Pulau Langkawi .  Tujuannya untuk berihat dan  menyaksikan LIMA (Langkawi International Maritime And Aerospace Exhibition) Saya telah merakam mengikut bahagiannya .

 Melintasi Tol Hutan Kampung Kedah pada pukul 10.00 pagi

 
 Menanti Feri jam 2.00 petang  di Jeti Kuala Perlis

 
 Menaiki Feri Bahagia 11 dan Tiba di Kuah pada pukul 3.00 petang

 
 Pemandangan di Jeti Kuah

 
 Kami menginap di Langkawi Chalet selama 3 hari 2 malam

 
Pemandangan tempat penginapan di Langkawi Chalet
Sempena LIMA ini , sewa hotel dan penginapan seumpamanya meningkat lebih 50 % . Namun begitu makanan yang dijual saya dapati harganya adalah berpatutan . Percutian ini adalah salah satu langkah  mempereratkan hati nurani kami sekeluarga .

Wednesday, December 2, 2009

HUTANG SEPATAH

X bertanya  A . Tiba-tiba  A mengeluarkan perkataan  yang menyakitkan hatinya   tanpa menjawab soalan yang diajukan oleh X . Sejak itu X  membuat  A seperti tunggul kayu .

Y mencadangan penyelesaian kepada B tentang masalah mereka . Tiba-tiba B mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hatinya  tanpa merespons cadangan itu . Sejak itu Y membuat B seperti tunggul kayu .

Z menasihatkan C dalam membuat keputusan . Tiba-tiba C mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hatinya tanpa memberi penjelasan .  Sejak itu Z membuat C seperti tunggul kayu .

Salah siapa ? Orang tua-tua sudah berpesan " kerana mulut badan binasa " . Sepatah perkataan yang menyakitkan hati sudah boleh membuatkan seseorang menjadikannya tunggul kayu . Itulah hutang sepatah .

Kalau berpatah-patah pula perkataan yang menyakitkan hati , apakah yang boleh terjadi ? Sensitiviti manusia tidak serupa . Ada akal , fikirlah baik-baik . Tuhan boleh turunkan balasan tidak kira nanti-nanti . Tunai ........

Tuesday, December 1, 2009

TERINGAT.......

Suatu ketika , kami  menerima bos baru . Bos baru biasanya akan membuat pembaharuan untuk meningkatkan kecemerlangan organisasi . Untuk memulakannya , dia memanggil kami untuk bersuai kenal .

Saya dapati orangnya kacak dan bertubuh kecil . Dari pergerakannya yang lincah  saya yakin dia adalah seorang yang menjaga kesihatan badannya  dengan bersukan dan berdiet . Suaranya bertenaga  serta  jelas .

Semasa  memperkenalkan diri dia memberitahu umurnya sudah  setengah abad . Katanya " Saya mahu anda mengikut  cara saya . Ibaratnya  kalau dulu makan buah rambutan  , tetapi sekarang kenalah makan buah durian pula " .

Tanpa ciri laser  serta meninggi diri ,  kami  rasa  positif   menerimanya . Durian pun durianlah sebab durian pun  makanan  juga . Yang penting dia adalah profesional dan bukan jenis melaser .

Ketika latihan dalaman  yang dikendalikannya , dia menasihatkan kami  supaya menjaga kesihatan . Katanya "Berat badan  berlebihan ibarat  memikul beban  . Kita kekurangan  penampilan diri walau pakaian berjenama . Dengan  kesihatan yang baik , kita  tetap anggun walaupun pakaian tidak berjenama " .

Kini umur saya pula menghampiri setengah abad dan mengakui kebenarn nasihatnya .Saya akan berusaha mengikutinya . Saya akui  kesihatan yang  baik dan komited kepada pegangan agama boleh menjaga diri daripada berfikiran negatif seperti  riak dan takbur  .

Monday, November 30, 2009

BALIK KAMPUNG

Pada  24 November lalu , kami  sekeluarga pulang ke kampung ibu saya di Johor selama enam hari . Perjalanan yang jauh memang meletihkan . Saya sempat merakam persinggahan perjalanan tersebut .

 Kami melintasi  Bandaraya Ipoh pada jam 10.00 pagi

 
 Singgah di R&R Air Keroh Melaka untuk solat jamak dan menjamu selera

 
 Berihat  di R&R Macap , Johor menjelang senja

 
Semasa di Johor , kami ke Carrefour , Batu Pahat

 
Bangunan membeli-belah di sebelah Carrefour Batu Pahat yang baru dibuka

Sekeluarga menjamu selera di KFC di dalam Carrefour 
Kami  menyambut hariraya Aidiladha bersama ibu saya . Kebetulan anak-anak  di IPTA sedang bercuti semester . Namun , dalam perjalanan pulang , anak  sulung saya terpaksa ditinggalkan  di Kelana Jaya untuk menjalani Latihan Industri  selama enam bulan  .

MINGGU KE 3 STPM

Hari ini saya bertugas di sekolah mengawasi calon-calon STPM . Mereka menghadapi peperiksaan  Sejarah Kertas 2 dan  Fizik Kertas 2 . Saya sempat merakam situasi mereka sebelum menghadapi peperiksaan tersebut .

 Calon sudah berada di sekolah seawal 7.15 pagi 

 
 Persediaan akhir - tak buang masa

 
Memegang nota di tangan

 
Memasuki dewan peperiksaan jam 7.50 pagi . Selamat berjaya putera-puteriku .
Sebaik memastikan semuanya hadir di dewan peperiksaan , saya terpaksa mengendalikan tugasan sekolah yang lain pula . Nasib seorang guru - kadan-kadang terpaksa melaksanakan sesuatu yang tidak diduga . Sekarang saya faham mengapa kalangan yang banyak mengalami gangguan mental adalah kaum guru .

Sunday, November 29, 2009

TERIMA KASIH DARUL TAKZIM

Menyusuri bumimu nan permai , Darul Takzim
subur segar menghijau disinar suria
menjejak langkah masa silamku , seorang insan kerdil
merungkai kisah suka duka lara nestapa
berdiri di memori  meski saat silih berganti .

Melangkah kaki di bumimu nan damai , Darul Takzim
aman makmur sejahtera sentosa
menyaksi sekeping hati terguris dek resam dunia
menatap  jiwa hampa merana dek resam manusia
harapan tak kesampaian impian tak terlaksanakan
catatan ingatan tak pudar ditelan zaman .

Terima kasih  buatmu Darul Takzim
meski tiada ruang buatku bertapak
meski tiada dahan buatku berpaut
pahit getir hadiahmu adalah ubat mujarab 
       menawar kesakitan  meniti ranjau beronak duri
mengiringi langkahan kakiku di Bumi Illahi.

Kutinggalkan bumimu , Darul Takzim
catatan lalu di lembaran sejarah
entah bila kususuri  lagi 
meskipun rindu berlagu syahdu
biarlah memori ini bagaikan mimpi 
kerana........aku tak mahu menangis lagi .

Pontian - Kuala Kangsar
29 November 2009

Monday, November 23, 2009

PERASAAN BILA DIKHIANATI .......

"Rasa  sakit dilanggar kereta tidak sesakit  ketika diri dikhianati kerana sakit dikhianati akan meninggalkan parut yang dalam walaupun lukanya telah sembuh " .....

"Biarlah  jatuh tangga , asalkan tidak  jatuh akibat  dikhianati . Walaupun sedikit sahaja kejatuhannya , ia membuatkan maruah tercalar , kredibiliti tergugat "......

"Kita boleh jadi seperti orang gila apabila diri dikhianati . Terasa dunia ini sudah jadi sempit . Tiada lagi ruang yang selesa dan selamat untuk menampung kehidupan seterusnya "........

Itulah di antara luahan perasaan bila dikhianati . Ternyata ia adalah perkara yang amat mengguris hati insan , ibu kepada segala macam penyakit . 

Untuk tidak menjadi pengkhianat  , kita kenalah melatih diri untuk menjadi seorang yang boleh menyimpan rahsia seseorang  serta memegang kukuh janji yang dipadu .

MENG "AYAT "

Kata polis yang melakukan serbuan itu " Lelaki-lelaki ini  meng "ayat" gadis-gadis kolej melalui internet menyebabkan mereka secara rela terjebak dalam pesta yang tidak bermoral di pangsapuri itu ".

Agaknya apakah ayat-ayat cinta yang diguna pakai oleh lelaki itu ? Apakah taruhan yang disandarkan ? Wang ringgit ? Harta benda ? Kebebasan ? Keseronokan ? Perkahwinan ?

Tanpa apa-apa ikatan , lelaki-lelaki  itu tidak mungkin menaburkan wang ringgit dan harta benda kepada gadis-gadis itu . Besar kemungkinannya hanya janji manis sahaja "diayatkan " untuk menjebak mereka .

Mengapa gadis-gadis kolej itu boleh terpedaya  dengan kata-kata manis mereka ? Kesunyian ? Keseronokan ? Kebebasan ? Mungkin mereka belum mahir menggunakan "kunci kebebasan" dari keluarga .

Walau apa-apapun sebabnya , ibubapa tidak harus melepaskan anak-anak gadis  dengan " kunci kebebasan " begitu sahaja tanpa pemantauan yang kerap . Alasan sibuk bekerja eloklah diketepikan .

Namun , satu perkara yang dapat menepis segala gejala tidak bermoral di kalangan anak-anak ialah kasih sayang keluarga , didikan di peringkat awal serta penerapan pegangan agama yang kuat .

Sunday, November 22, 2009

HARI KEDUA CUTI SEKOLAH

Semalam , saya  menghadiri kenduri kahwin di Chandan , Kuala Kangsar .Hari ini  pula   ke  Sabak Bernam , Selangor . Jarak perjalanan yang jauh memang memenatkan tetapi rasa seronok sebab dapat bertemu kaum keluarga sebelah suami . Saya sempat merakam perjalanan  hari ini .

 Para jemputan di khemah tetamu perempuan
 
Khemah pengantin
Sudut kegemaran saya - hijau dan segar
 Sudut  karaoke . Lagu yang saya suka dengar adalah irama 60an

Solat jamak di masjid ini sebelum pulang ke Kuala Kangsar
 
Melalui sawah bendang sepanjang perjalanan

Cenderamata untuk tetamu pada hari ini ialah bunga telur . Inilah cenderahati yang sangat saya suka - tadisional dan cantik walaupun tidak mahal -Nilainya tinggi bagi saya  . Semoga budaya ini tidak pupus .

Saturday, November 21, 2009

MEREHAT FIKIRAN

Sejenak di sini merehatkan fikiran

 
Jadual cuti yang padat ......hilang rasa percutian 

Hari ini bermulalah cuti persekolahan  semester dua selama tujuh minggu . Namun tempoh itu bukanlah cuti sebenarnya bagi guru kerana sebahagiannya  diguna untuk bertugas , bermesyuarat , pendaftaran , urusan kurikulum dan sebagainya .

Hari ini saya ke kolam renang perbandaran menemankan  anak bongsu bermain air .  Fikiran ini terasa padat kerana banyak agenda sedang menanti . Saya mulakan percutian dengan persantaian ini .
 
Saya tiada mood untuk bermain air kerana cuaca mendung . Baju renang telahpun diwakafkan kepada anak dara saya kerana dia menyertai kelab renang institut perguruannya . Dulunya saya bercadang hendak belajar renang tetapi dibatalkan kerana tidak tahan dengan air sejuk .

Apa yang saya buat di sini hanyalah  termenung di tepi kolam sambil memerhatikan persekirannya . Pengunjung hari ini tidak ramai kerana cuaca mendung . Fikiran terasa lebih rileks setelah menjalani  terapi ini . Saya  ke sini  hanya apabila si bongsu merengek memintanya sahaja .

TAKDIR MENGATASI SEGALA

 Rupanya tidak secantik adik- beradiknya yang lain . Selain  tidak menerima layanan  sebaiknya dia sering dijadikan sasaran kemarahan ibubapa  apabila ada kesilapan walaupun kesilapan itu tidak dilakukannya . 

Segala kerja rumah terpaksa dilakukannya . Dia seperti orang gaji di rumah sendiri . Dalam hati dia sering bertanya " kenapa aku dijadikan begini ? " Namun dia pasrah terhadap suratan takdir . 

Dalam  kekecewaan dan sering bersendirian dia berusaha bersungguh-sungguh  di dalam pelajarannya . Pencapaian pelajarannya amat memberangsangkan namun tidak pernah dihargai  oleh sesiapa selain gurunya .

Masa terus berlalu  . Dia  akhirnya  berjaya  menggenggam segulung ijazah yang diidamkannya . Dia menjadi insan berguna yang berbakti kepada negaranya . Ibu bapa mula membuka mata terhadapnya .

Dia bersyukur kepada Allah tempatnya mengadu . Akhirnya dia menerima hakikat kecantikan bukan jaminan kejayaan masa depan tetapi usaha yang teguh . Kecantikan juga boleh melalaikan insan jika lupa Tuhan .

Friday, November 20, 2009

MEMBURU

Pesan guru kepada muridnya " Untuk berjaya , awak mesti memburu cita-cita supaya tidak menyesal kemudian hari . Berusaha dan teruslah berusaha untuk mencapainya......."

Pesan usahawan kepada pewarisnya " Untuk lebih lumayan , awak mesti memburu ruang dan peluang mendapatkan kontek supaya bertambah rangkaian perniagaan ......"

Pesan imam kepada jemaahnya " Untuk sejahtera kehidupan di dunia dan akhirat , anda mestilah memburu ilmu agama supaya  ditingkatkan  keimanan  dan ketaatan beribadat ........"

Pesan sahabat  kepada sahabatnya   " Untuk kebahagiaan diri , janganlah memburu sesuatu yang telah menjadi hak mutlak orang lain supaya tidak ada hati yang akan kecewa ........". 

Pesan saya kepada anda " Untuk kehidupan  lebih adil , janganlah memburu semata-mata mencari mangsa untuk dikorbankan supaya anda tidak akan menjadi sasaran  si pembalas dendam ........"

Dalam pembelajaran yang berkesan , kita kenalah ingat pelanduk tidak pernah lupa jeratnya . Hanya jerat sahaja selalu lupa ..........

Wednesday, November 18, 2009

KENANGANNYA......

Sedang mengemas rumah pada cuti hari Sabtu , telefon berdering dan memintanya  ke pejabat sekolah . Dia diminta meminda sijil berhenti sekolah seorang pelajar kelasnya . Dia patuh kerana  tidak mahu buat hal .

Hasil pemerhatiannya  selama setahun  itu tidak diterima .Dia mengeluh kerana terpaksa membuat laporan  yang tidak selari dengan pemerhatian . Ini bercanggah dengan konsep Sains dalam bidangnya .

Dari hari ke hari dia memikirkan hal itu .....laporan bercanggah dengan kejadian .......Dari hari ke hari juga dia mendengar khabar kualiti modal insan hari ini semakin tidak setinggi dokumentasinya .

Dia tahu ,   salah satu puncanya ialah .......ketidakjujuran........ Tapi apa daya . Dia hanya insan kerdil yang tiada kuasa eksekutif . Fakta Sains boleh diketepikan oleh kuasa eksekutif itu . 

Hatinya gusar . Kemajuan hakiki sukar dicapai tanpa kejujuran ini . Kewujudan kemajuan Sains dan Teknologi tidak dapat dimanfaat  dengan berkesan bila ada kuasa eksekutif yang boleh menepisnya . 

"Biarlah" , fikirnya . ..... itu bukan urusannya . Selagi ada yang mabuk dilamun kuasa eksekutif , orang sepertinya tidak boleh berbuat apa-apa . Dia pasrah .

PEPERIKSAAN

 SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN 

SPM DAN STPM 2009 

KEPADA SEMUA CALON-CALON DI SELURUH PELUSOK TANAH AIR

KHASNYA BUAT ANAK-ANAK DIDIK CLIFFORDIAN YANG DISAYANGI

SEMOGA SEMUANYA AKAN TABAH MENGHADAPINYA

GURU-GURU SENTIASA MENDOAKAN KEJAYAAN KALIAN