Wednesday, August 17, 2011

BILA TERLALU CEREWET......

Sifat ini memang baik dimiliki oleh semua orang kerana ia dapat memuaskan citarasa kita dalam kehidupan. Contoh cerewet dalam pemilihan makanan, pakaian, tempat tinggal, keperluan harian dan sebagainya akan memberikan kita pilihan terbaik demi kenikmatan, keselesaan dan kesejahteraan seharian. Sifat ini boleh dijadikan kriteria perbezaan antara individu dan seterusnya menyerlahkan kepelbagaian sifat ahli dalam sesuatu organisasi. 

Namun begitu terlalu cerewet boleh merugikan bagi perkara yang kita kurang upaya mengendalikan. Contoh merugikan diri adalah seperti  menolak tawaran pekerjaan bergaji lumayan semata-mata disebabkan tempat kerjanya tiada kemudahan pendingin hawa. Mendapat pekerjaan lain yang bergaji lumayan bukanlah mudah dalam keadaan ekonomi global kurang merangsang ini.

Terlalu cerewet boleh menyebabkan kita terlepas peluang dalam perkara tertentu. Contoh ini adalah seperti menolak tawaran belajar di universiti ternama hanya disebabkan kursus yang diperolehi bukan kursus pilihan.Tanpa tawaran dari universiti lain, kita tidak ada peluang lagi pada tahun itu. Kalau menanti tahun berikutnya pula, belum tentu lagi memperolehi  tawaran kursus di universiti tersebut. Usia pula semakin meningkat.

Jodoh pertemuan pula di tangan Tuhan. Kalau kita terlalu cerewet dalam memilih pasangan hidup, kita sebenarnya berhadapan dengan risiko membujang sampai ke tua. Tuhan sudah menjadikan sifat manusia tidak sempurna. Kalau kita menyenaraikan kesempurnaan dalam kriteria pasangan, mungkin tiada sesiapa yang sudi mendekati diri, tambahan pula diri sendiri banyak kekurangannya. Sebaiknya terimalah seseorang seadanya dan mulakan hidup berkeluarga secara saling melengkapi antara satu sama lain dengan penuh syukur.

Ibubapa yang terlalu cerewet terhadap pilihan anak dalam semua perkara boleh menyebabkan anak  tidak boleh berdikari dalam kehidupan sendiri. Anak terpaksa mengikut pilihan orang tua yang berbeza dengan citarasa sendiri . Ini bermakna dia terkorban dan tubuhnya hanya seperti robot yang patuh kepada programnya. Dia tidak boleh membuat keputusan atau pilihan untuk diri sendiri termasuklah soal jodoh. Kebahagiaan jiwa adalah sesuatu yang kurang pasti kalau diri sudah jadi seperti robot.

Konklusinya, kalau sifat terlalu cerewet  tidak memangsakan diri sendiri atau orang lain, ia patut diteruskan. Sebaliknya jika ia adalah penghalang kepada sesuatu perancangan, ia patut diketepikan. Dalam zaman ini di mana persekitaran sentiasa berubah, kita perlu fleksibel dalam membuat keputusan.

No comments: