Friday, August 26, 2011

ANGGUK........ MAKNA DI SEBALIKNYA

Semua orang pernah angguk, samada secara sedar atau pun tidak, samada secara spontan ataupun pun riaksi  terhadap sesuatu tindakan. Pernahkah kita fikir makna di sebalik anggukan seseorang itu? Kebanyakan kita meresponsnya sebagai tanda bersetuju tetapi  terdapat  makna-makna lain di sebaliknya.

Ada orang yang mengangguk sepanjang  penjelasan yang didengarnya tanpa memperdulikan orang lain . Aksi ini menunjukkan pemfokusan di fikirannya  telah mencapai 100 % di mana ada dua fenomena  selari  sedang berlaku  iaitu penerimaan fakta baru dan perancangannya terhadap fakta itu. Orang jenis ini cekap mengurus masa dan mahir merancang untuk melaksana perkara berkaitan fakta baru itu.

Anggukan seseorang juga boleh jadi sedang menyenarai  bangkangan terhadap senarai hujah yang sedang didengarnya, atau boleh jadi sedang menganalog fakta baru dengan diri atau persekitarannya bagi meletak status diri. Kedudukan ini penting sebagai titik tolak kepada segala tindakan.

Anggukan juga boleh jadi seseorang sedang  membuat keputusan samada hendak bertindakbalas terhadap sesuatu fakta baru itu dengan pantas atau spontan atau menangguhkannya. Ini boleh terjadi apabila dihatinya  sudah  terdapat rangka-rangka lama fakta itu yang menyinggung hati dan menganggu kehidupannya. 

Walau bagaimanapun, anggukan juga boleh menjadi satu senaman yang baik di bahagian kepada yang boleh mengendurkan ketegangan pada urat-urat saraf.

Wednesday, August 17, 2011

BILA TERLALU CEREWET......

Sifat ini memang baik dimiliki oleh semua orang kerana ia dapat memuaskan citarasa kita dalam kehidupan. Contoh cerewet dalam pemilihan makanan, pakaian, tempat tinggal, keperluan harian dan sebagainya akan memberikan kita pilihan terbaik demi kenikmatan, keselesaan dan kesejahteraan seharian. Sifat ini boleh dijadikan kriteria perbezaan antara individu dan seterusnya menyerlahkan kepelbagaian sifat ahli dalam sesuatu organisasi. 

Namun begitu terlalu cerewet boleh merugikan bagi perkara yang kita kurang upaya mengendalikan. Contoh merugikan diri adalah seperti  menolak tawaran pekerjaan bergaji lumayan semata-mata disebabkan tempat kerjanya tiada kemudahan pendingin hawa. Mendapat pekerjaan lain yang bergaji lumayan bukanlah mudah dalam keadaan ekonomi global kurang merangsang ini.

Terlalu cerewet boleh menyebabkan kita terlepas peluang dalam perkara tertentu. Contoh ini adalah seperti menolak tawaran belajar di universiti ternama hanya disebabkan kursus yang diperolehi bukan kursus pilihan.Tanpa tawaran dari universiti lain, kita tidak ada peluang lagi pada tahun itu. Kalau menanti tahun berikutnya pula, belum tentu lagi memperolehi  tawaran kursus di universiti tersebut. Usia pula semakin meningkat.

Jodoh pertemuan pula di tangan Tuhan. Kalau kita terlalu cerewet dalam memilih pasangan hidup, kita sebenarnya berhadapan dengan risiko membujang sampai ke tua. Tuhan sudah menjadikan sifat manusia tidak sempurna. Kalau kita menyenaraikan kesempurnaan dalam kriteria pasangan, mungkin tiada sesiapa yang sudi mendekati diri, tambahan pula diri sendiri banyak kekurangannya. Sebaiknya terimalah seseorang seadanya dan mulakan hidup berkeluarga secara saling melengkapi antara satu sama lain dengan penuh syukur.

Ibubapa yang terlalu cerewet terhadap pilihan anak dalam semua perkara boleh menyebabkan anak  tidak boleh berdikari dalam kehidupan sendiri. Anak terpaksa mengikut pilihan orang tua yang berbeza dengan citarasa sendiri . Ini bermakna dia terkorban dan tubuhnya hanya seperti robot yang patuh kepada programnya. Dia tidak boleh membuat keputusan atau pilihan untuk diri sendiri termasuklah soal jodoh. Kebahagiaan jiwa adalah sesuatu yang kurang pasti kalau diri sudah jadi seperti robot.

Konklusinya, kalau sifat terlalu cerewet  tidak memangsakan diri sendiri atau orang lain, ia patut diteruskan. Sebaliknya jika ia adalah penghalang kepada sesuatu perancangan, ia patut diketepikan. Dalam zaman ini di mana persekitaran sentiasa berubah, kita perlu fleksibel dalam membuat keputusan.

Sunday, August 14, 2011

SOAL HATI DAN PERASAAN........

Dalam hidup seharian, kita mungkin pernah  merasa tidak boleh rapat dengan seseorang yang telah lama dikenali sedangkan  tiada kesalahan  yang dibuat oleh kedua-dua pihak atau tiada sebab khusus mahupun isu panas yang timbul dalam perhubungan tersebut. Senyumannya yang ceria terasa  pahit bagai hempedu. Mungkin inilah yang dikatakan tiada aura dalam perhubungan itu.

Dalam waktu lain pula kita tiba-tiba tertarik kepada seseorang yang baru ditemui yang langsung tidak diketahui asal-usul dan hati budinya. Pandangannya seolah-olah menarik hati kita untuk merapatinya dan berkongsi cerita dan ehwal semasa. Tanpa senyuman yang terukir pun boleh membuatkan kita merasa terhibur bila dia muncul di depan mata. Mungkin ini pula dikatakan ada aura dalam perhubungan itu.

Soal hati dan perasaan.......memang tiada siapa yang dapat mengawalnya. Itulah kehendak Allah terhadap kita,  hambaNya yang lemah yang kadang-kadang keluar dari jangkauan rasionalnya.Contoh ini boleh menjebakkan kita ke dalam sesuatu masalah sekelip mata.  Ini boleh terjadi apabila kita tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan atau kepakaran di depan mata sebaliknya tertarik  kepada seseorang yang tidak pasti lagi kejujurannya.

Mungkin ini adalah satu daripada jutaan contoh kejadian yang  dikatakan tidak rasional . Orang lain mungkin tidak dapat memahaminya, malah pelakunya pun mungkin tidak dapat menerangkannya kerana jawapannya ada di satu sudut hati yang sangat dalam. Itulah kesukaran dalam berurusan bila terlibat soal hati dan perasaan....

Tuesday, August 9, 2011

RAMADHAN ........

Syukur ke hadrat Allah kerana masih diberi nafas untuk melalui bulan mulia ini bagi menjalani ibadah puasa. Semoga kita semua dikurniakan kekuatan untuk terus berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara yang tercinta. Dalam usia yang merangkak senja ini, kehadirannya cukup menginsafkan saya bahawa hidup seorang muslim tidak akan bermakna selagi tidak patuh terhadap segala suruhanNya. 

Bagi  mengharungi kehidupan ke arah yang lebih baik , faktor utama berada di dalam diri sendiri untuk melakukan perubahan. Keikhlasan adalah mangkin yang mempercepat perubahan tersebut. Kalau kita ikhlas merefleks kekurangan diri dan ikhlas menerima teguran serta  kritikan , maka proses merubah diri bagi memperbetulkan kekurangan akan berlaku dengan lebih mudah.

Seorang muslim yang baik akan sentiasa membuka hati dan minda untuk menerima dan mengaplikasi kebaikan yang dianjurkan oleh Islam di samping berusaha untuk menjadi diri sendiri dalam memperkukuh jati diri supaya tidak mudah dipergunakan bagi tujuan tertentu selain ke jalan Allah. Frasa yang tepat dijadikan pegangan "yang benar tetap benar" tanpa bersikap "double standard" . 

Semoga Ramadhan yang mulia ini dapat merubah kita semua menjadi seorang muslim yang lebih baik . Amin....