Thursday, September 24, 2009

AIDILFITRI 2009

Kepada pembaca yang masih meraikan Aidilfitri, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hariraya, maaf zahir batin. Saya doakan semoga semuanya diberkati Allah, berada dalam keadaan sejahtera.

Dalam merayakan hari yang berbahagia ini, sebaiknya hubungan yang renggang dapat dirapatkan, kekeruhan yang wujud dapat dijernihkan dan perasaan yang saling curiga-mencurigai dapat diikhlaskan demi sebuah kelangsungan kehidupan yang harmoni. Keharmonian dalam kehidupan seharusnya diwariskan kepada anak-anak supaya mereka akan menjadi insan yang sejahtera untuk berbakti, mengenang budi dan menghargai diri dan orang lain.

Melalui entri ini saya ingin menzahirkan trend semasa yang tidak sedap dipandang mata. Kalau diperhatikan tentang pakaian menyambut lebaran kali ini nampaknya fabrik yang digunakan semakin nipis dan jarang. Pengguna tidak bersalah dalam pasaran pakaian yang meluas ini tetapi sebenarnya mereka masih ada pilihan untuk memilih fabrik yang lebih tebal dan selesa. Sebagai penganut Islam hal ini perlulah diteliti supaya kita tidak meneruskan kecuaian ini dalam etika berpakaian.

Pemilihan pakaian amat bergantung kepada  individu untuk kelihatan lebih anggun. Satu perkara yang membuat seseorang lupa ialah keinginan untuk kelihatan anggun  boleh melekakan mereka dari landasan yang sebenar. Dan sebenarnya seseorang itu tetap anggun  kalau sentiasa mengenakan pakaian sopan yang sedap di pandang mata.

Monday, September 7, 2009

SALAH MENYALAH

Dalam pengamatan saya, individu yang berjaya tidak mudah menyalahkan orang lain atas sesuatu kekurangan atau kesilapan yang berlaku ke atas diri sendiri. Dia akan mengkaji punca masalah dan mengatasinya hingga berjaya. Individu yang  kurang berjaya pula sering mencari alasan ke atas kekurangan diri dengan menyalahkan orang lain di atas apa yang telah berlaku.


Menyalahkan orang lain sebenarnya hanya membazir waktu dan menutup ruang penyelesaian ke arah  kejayaan. Satu perkara yang sering terjadi ialah dalam mengungkap kesalahan orang lain itu, ia dizahirkan dengan penuh emosi dan kata-kata yang tajam serta kurang menyenangkan. Agaknya ini sahaja cara untuk memuaskan hati individu terbabit.

Kita perlu berhati-hati apabila menyalahkan orang lain. Apa yang kita tidak mahu ialah jika terbukti memang diri sendiri yang bersalah atau bermasalah, ini akan memalukan diri sendiri untuk jangka masa yang panjang. Mana hendak diletak muka dan maruah? Ada baiknya jika bersabar, berbincang, bermuhasabah diri mencari penyelesaian. Allah akan membantu hambaNya yang dalam kesusahan.


Dalam hal ini, ada baiknya jika ikut nasihat orang tua yang mengatakan ikut rasa binasa , ikut hati mati. Sabar  adalah sebahagian daripada iman. Olehitu elakkan diri daripada  betindak melulu. Nanti malu.