Monday, August 31, 2009

ERTI MERDEKA

Hari ni genap 52 tahun kita merdeka. Dalam usia ini telah banyak perubahan berlaku ke atas sistem di negara kita; dari yang kuno kepada yang moden, dari yang lambat kepada yang cepat, dari yang sukar kepada yang ringkas. Perubahan pasti akan terus berlaku. Saya berharap Malaysia akan terus maju mengikut acuan sendiri berdasarkan keperluan  rakyatnya. Yang penting negara  tidak terikat dengan sesuatu kuasa luar yang merugikan. Itulah erti kemerdekaan sebuah negara.

Erti merdeka buat diri saya pula ialah membebaskan diri dari gejala negatif yang boleh merosakkan  akidah dan sahsiah. Ini bermakna saya perlu berusaha menjadikan hal positif sebagai pegangan diri, baik dari segi agama, bangsa dan negara. Untuk mencapainya  hati mesti ikhlas dalam menerima segala kemungkinan.

Dalam banyak hal hubungan sesama manusia banyak mempengaruhi jiwa kita.  Ini memerlukan kita menghindari buruk sangka , hasad dengki; sebaliknya fikirkan yang positif. Tidak  menyalahkan sesiapa atas masalah yang timbul  adalah langkah terbaik mencapai matlamat.

Memang mudah untuk menyalahkan orang lain tetapi  ini bukan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah. Ia hanya ibarat anjing menyalak bukit. Dengan tenaga yang ada kita mesti berbuat sesuatu. Sesungguhnya  cakap memang tak serupa bikin. Fikir-fikirkanlah.

Monday, August 24, 2009

ANTARA DUA SITUASI

Dialog 1
" Minggu depan kami sekeluarga  nak bercuti seminggu ke Eropah . Sambil tu menjenguk anak yang sedang belajar di sana . Dia dapat biasiswa penuh . Kami  seronok bila dia ke sana sebab kami boleh makan angin sambil shopping sakan "

Dialog 2
"Nak bercuti dalam negeripun aku tak mampu . Apa tah lagi nak shopping-shopping ni  . Anak-anak aku kat IPT tu hanya dapat pinjaman separuh  PTPTN "

Itulah situasi kita kalau pemegang amanah terlepas pandang tentang keutamaan dalam kehidupan ini . Yang senang  terus jadi senang  dan menikmati keseronokan . Yang kurang  senang hanya mampu pandang sahaja sambil berjuang dengan tulang empat kerat .

Di mana silapnya ? Kekurangan integriti ...... Integriti adalah sesuatu untuk dihayati dan dipraktikkan tapi malangnya orang selalu tak kisah .... Agaknya "KEMUDIAN" nanti baru  rasa . Di Bulan Ramadhan ni sama-samalah kita fikirkan.

Sunday, August 23, 2009

TINGGINYA BUDI , INDAHNYA BAHASA .....

Secara semula jadi kita sukakan ketinggian budi dan keindahan bahasa . Ciri-cirinya ialah pengungkapannya tidak membingitkan telinga serta tidak mengguris hati . Kita boleh akur walaupun tugasnya berat . Kalau sebaliknya , kita boleh jadi menolak mentah-mentah walaupun tugasannya amat ringan akibat sakit telinga dan terguris hati .

Pendidikan budi dan bahasa perlu dilakukan semasa usia rebung . Kalau diperhatikan telatah anak-anak kecil di rumah atau di sekolah , akan didapati ia berpadanan dengan suasana pembesaran . Kalau dia selalu dibentak , ungkapannya akan selalu membentak . Kalau ia selalu dipujuk , bahasanya merupakan pujukan . Adalah penting bagi ibubapa memahami hal ini supaya anak-anak dididik mengikut acuan yang betul .

Bahasa berlapik adalah salah satu elemennya . Penggunaannya tidak menonjolkan kita dalam label materialistik , memandang pangkat dan darjat dan sebagainya . Contohnya "Siapa Kassim Selamat tu , lawyer , doktor ? " Ungkapan ini jelas menunjukkan penuturnya memandang darjat . Maknanya sama dengan ungkapan "Kassim Selamat bekerja di mana ? Siapa keluarganya ? " Ungkapan kedua lebih manis bahasanya walaupun makna kedua-duanya sama .

Dalam hubungan informal , telinga individu boleh panas kalau ditanya "Berapa gaji sebulan ? Apa pangkat awak ? Anak awak dapat berapa A ? " Ungkapan ini boleh dilapik dengan ungkapan lain yang tidak memanaskan telinga .

Kita kena belajar menggunakan bahasa berlapik kalau ketinggian budi dan keindahan bahasa hendak diterap dalam pendidikan . Malang sekali pada zaman ini ungkapan yang selalu diberi ialah "Apa ada pada budi ? Apa pentingnya bahasa ? Yang penting poket dan perut berisi ". Memang ia tidak penting kalau kita tidak kisah jika anak kita tiada budi bahasanya kepada kita ketika kita sedang uzur bongkok tiga nanti . Ketika itu sudah terlambat untuk menyesali apa yang telah kita lakukan ........

Monday, August 17, 2009

"SAYA TAK ADA PERASAAN , CIKGU ! ....."

Waktu itu saya ditugaskan menyerahkan slip keputusan peperiksaan SPM kepadanya. Seperti yang saya buat kepada pelajar lain, diapun saya tanya juga"Apa perasaan awak mendapat keputusan yang begini? "Dia pun memberikan jawapan tersebut. Saya renung ke matanya, dia seperti tidak respon apa-apa, memang seperti tidak ada perasaan. Saya biarkan dia berlalu pergi . 

Selepas itu saya berfikir sendirian "Ke mana pergi perasaannya? Adakah disebabkan penampilannya yang kurang, atau pencapaiannya yang rendah, atau sosio ekonomi keluarga di bawah paras kemiskinan atau lain-lainnya? "Saya tidak begitu mengenalinya sebab tidak mengajar kelas tersebut. Fikiran nakal saya mula merayau "Adakah ini bermakna dia juga nanti tidak akan ada perasaan terhadap wanita? "Kalau begitu tak apalah TAPI kalau saraf itu sahaja yang dominan manakala saraf-saraf lainnya pasif, habislah.... Akan malanglah wanita itu nanti. 

Sebagai guru saya mendoakan yang terbaik buatnya. Mudah-mudahan sarafnya pulih, ada perasaan dan menjadi manusia yang normal. Tanpa perasaan kita ini sebenarnya bukan sesiapa, ibarat kayu mati......

Sunday, August 16, 2009

ADILKAH KITA........

Bukan semua orang sentiasa bernasib baik. Itu urusan Tuhan yang Maha Berkuasa. Nasib seseorang ibarat air di pantai , ada pasang dan ada surutnya. Kalau nasib baik, bersyukurlah tapi kalau kurang baik, terima dan redhalah. Ada banyak hikmah di sebaliknya. 

Kalau sesuatu keputusan menyebelahi kita, tentulah kita seronok. Adilkah kita jika kita marah-marah, kutuk-mengutuk, kata-mengata, hamun-menghamun, salah-menyalah jika keputusan itu tidak menyebelahi kita? Mana keseimbangan diri? Terimalah..... Jangan beri pelbagai alasan kalau diri di pihak yang kurang bernasib baik. 

Ketidakterimaan ini sebenarnya boleh menjadi barah dalam agama dan masyarakat. Apa yang bahaya ialah kita boleh jadi lupa tentang qada' dan qadar, boleh sesat dalam kehendak diri dan boleh seleweng daripada ajaran agama. Apalah sangat kehidupan di dunia yang sementara ini, yang kekal itulah perlu diutamakan.

Sunday, August 9, 2009

BILA KASIH BERALIH ARAH.....

Terkedu saya bila terbaca sebuah kisah rumah tangga sepasang suami-isteri memasuki usia emas dalam suratkhabar hari ini. Suami mula berubah ; balik lewat malam, kurang bercakap dengan isteri , tidak hiraukan isteri. Isteri setia menanti setiap hari serta dilayannya suami dengan baik seperti biasa . Anak-anak yang telah dewasa menyedari hal ini lalu menyiasat. 

Hasil siasatan mendapati ayah mereka sudah ada wanita lain yang mereka lihat sendiri sedang membeli-belah dengan ayah mereka. Ketika itu isteri diberitahu bahawa dia "outstation". Mereka bersemuka. Si ayah mengamuk, tetapi mengakui hal tersebut lalu jarang balik ke rumah. Mereka akhirnya berkahwin. 

Isteri pertama kecewa tetapi demi sayangkan suami dia sabar malangnya dia diceraikan tanpa alasan yang diberi. Namun anak-anak hilang sabar bila mendapat tahu ibunya difitnah dengan pelbagai cerita negatif yang palsu. Anak-anak bersemuka lagi dengan ayah mereka untuk menyelamatkan rumahtangga tetapi si ayah berkeras dengan keputusan tersebut. Maka berakhirlah sebuah kesetiaan yang dibalas dengan racun yang perit. 

Soal suami kawin lagi bukan masalah bagi wanita itu tetapi memfitnah dirinya semata-mata untuk memikat wanita lain adalah perkara "terlampau" yang menghiris hatinya. Sayapun pelik bagaimana boleh timbul hal-hal negatif semata-mata untuk berkahwin lagi dalam usia hampir senja seorang suami? 

Bagi wanita teraniaya, bersabarlah dan redhalah apa yang terjadi. Carilah kebahagiaan hati sendiri bila kasih telah beralih arah. Usah dirayu pada yang tak sudi lagi. Ada banyak hikmah di sebalik apa yang terjadi. Anda beruntung sebab anak-anak telah dewasa untukberkongsi kasih dan menyayangi. Si suami, biarkanlah.  Mungkin dia terlupa bahawa dia boleh jadi terpaksa membancuh susu serta menghantar anak ke tadika dalam usia pencennya nanti.

Friday, August 7, 2009

ANUGERAH DARI KEGAGALAN

Semua orang akan sedih bila mengalami kegagalan. Bersedihlah, luahkanlah perasaan itu sehabis-habisnya supaya tidak berbuku di hati. Selepas itu perlulah ada muhasabah diri. Level inilah yang paling mustahak bagi meneruskan kesinambungan perjuangan diri . Anugerah dari kegagalan..... Itulah yang menjadikan seseorang lebih berjaya dari masa-masa lampau. 

Kegagalan mengajar kita untuk lebih tabah, memahami hati dan perasaan sendiri dan lebih fokus apa yang dibuat. Yang paling penting menjadikan kita tidak ego serta kita menjadi lebih menginsafi kejadian Tuhan. Tuhan mahukan kita redha serta bersyukur di atas segala yang terjadi. Moga dengan ini keimanan akan lebih kukuh .

Tuesday, August 4, 2009

POLIGAMI....TAK POLIGAMI....

Saya tergelak mendengar cerita teman di Bilik Guru siang tadi. Ceritanya begini. Ada seorang suami berkahwin seorang lagi tanpa pengetahuan isteri pertamanya. Bila mendapat tahu tentang hari perkahwinan tersebut, isteri pertamapun hadir memberi sokongan.

Selepas itu isteri pertama berjumpa tok imam minta bercerai daripada suaminya. Alasannya bukan kerana suaminya berkahwin seorang lagi tetapi di dalam borang bernikah, suaminya tulis statusnya sebagai duda kerana isteri pertama meninggal dunia. Dia tidak dapat menerima hakikat pembohongan suaminya yang mengatakan dirinya telah mati. 

Itulah kisah wanita yang boleh terima poligami tetapi tidak jadi berpoligami kerana pembohongan suaminya yang "terlampau. Isteri pertama yang masih hidup dikatakan sudah mati. Inilah akibat membuat sesuatu tindakan tidak berfikir panjang. Islam tidak suruh berbohong. Sesuatu yang dimulakan dengan pembohongan memang akan menghadapi masalah. 

Pengajaran cerita ini ialah buatlah sesuatu berlandaskan kebenaran dari sudut agama dan moral. Isteri menentang poligami kerana ia tidak dilaksanakan dengan jujur dan betul. Semoga seorang lelaki yang bernama suami kenalah hargai isteri pertama, jangan anggap ia telah mati. Itulah adanya.....