Saturday, May 7, 2011

BILA MARAH

Bila  marah , orang Islam digalakkan mengambil wudhu' dan menunaikan sembahyang sunat. Banyak manafaat yang diperolehi daripada amalan ini. Air wudhu' dapat menyejukkan tubuh dan sembahyang sunat berupaya mententeramkan hati. Di sebalik kemarahan adalah kewujudan syaitan yang sentiasa menanti dan mengisi peluang memporakperandakan jiwa kita.

Tanpa amalan ini kita terdedah kepada siraman minyak ke atas kepanasan jiwa. Itulah kerja syaitan. Kerana itu juga kita boleh mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati orang lain. Selalunya kata-kata itu tiada kaitan dengan isu yang menjadikan kita marah,  sekadar melepaskan perasaan marah yang meluap-luap. Ia tidak langsung membantu menyelesaikan isu yang timbul.

Melayan perasaan marah sangat merugikan diri terutama terlepasnya kata-kata yang tidak sepatutnya dihamburkan. Di antara risikonya ialah terjadinya ungkit-mengungkit kisah-kisah lama yang sepatutnya ditutup rapat. Akibatnya hubungan boleh terputus, perpisahan dan perceraian boleh terjadi dan hati semua pihak menjadi tidak tenteram.

Lebih tinggi darjah kemarahan, lebih besar risiko perpecahan. Kerana ini juga terdapat individu yang tidak mahu jodohnya dengan orang yang panas baran kerana tidak mahu memendam rasa yang  menyebabkan tekanan dalam hidup. Perkara terbaik yang perlu dilakukan oleh si panas baran ialah meminta maaf atas kemarahan yang telah terjadi.

Kita boleh membantu si panas baran supaya sedar diri bila marah. Langkah pertama berdiam diri, tidak perlu melayan kata-kata dari kemarahan itu. Kalau ini tidak dapat mereda keadaan, tinggalkan dia bersendirian supaya dia segera sedar bahawa bukan semua orang boleh bertolak-ansur terhadap kemarahan. Kedudukan tinggi dalam organisasi bukanlah hak seseorang menghamburkan kemarahan sesuka hati.

Seperkara yang perlu disedari oleh semua orang ialah menghamburkan kemarahan sesuka hati itu adalah serupa menunjukkan aib diri sendiri. Ini disebabkan rupa orang yang marah adalah buruk dan kata-kata yang dihamburkan tanpa sedar adalah keji. Kalaulah dirakam aksi itu, tentu tiada siapa suka menontannya. Perkara terbaik mengatasi masalah ini ialah sentiasa mengawal diri daripada marah.

No comments: