Monday, December 29, 2008

BERCUTI

Setelah menjenguk bonda selama lima hari di Johor, saya pulang ke Kuala Kangsar, Perak sebelum azan subuh 23 Disember 2008. Seperti biasa bonda menitiskan air mata melepaskan anak cucu pulang. "Anakanda akan menjengukmu lagi duhai bonda "bisik hati ini. Kami solat subuh di R&R Macap. 

Pada 24 Disember, saya membawa pulang anak kedua di Matrik Perak, Gopeng untuk bercuti sempena Perayaan Hari Krismas. Kami berangkat ke Negeri Perlis Indera Kayangan pada pukul 10.00 pagi 26 Disember untuk menghantar anak sulung pulang ke kampusnya di UniMAP sambil bercuti. 

Tiba di Kuala Perlis pukul 1.30 tengahari, kami terus daftar masuk ke Hotel Putra Brasmana lalu berihat di dua bilik yang telah ditempah. Dari tingkap bilik saya perhatikan ke kawasan jeti ke Pulau Langkawi dipenuhi bas dan kereta sebab musim cuti hujung tahun. 

Jam 3.oo petang, kami membantu anak sulung mengambil motosikalnya di Setesen Keretapi Arau yang telah dipos dari Kuala Kangsar pada 23 Disember lalu. Kemudian ke Restoran Hajah Hasmah untuk makan tengahari. Selepas itu ke Kediaman Pelajar UniMAP di Wang Ulu untuk menghantar barang ke bilik asrama sebelum kembali semula ke hotel untuk berihat. 

Pada 27 Disember, setelah bersarapan di hotel kami bertolak ke Padang Besar melalui Cuping pada jam 9.00 pagi untuk membeli barang keperluan anak-anak sambil menjamu mata. Mula-mula kami ke Kedai Bebas Cukai di sempadan Thailand. Seperti biasa, coklatlah yang dibeli di situ. Selepas itu ke bazaar pula. 

Laluan kami amat mudah dan selesa sebab awal pagi, pengunjung belum ramai. Kemudian ke Wang Kelian sebab ingin melihat apa yang ada di situ. Rupanya...perjalanannya macam nak ke Genting Highland sebab mendaki bukit yang cerun...Mujur tak jauh. Dari ketinggian bukit dapatlah kami saksikan tasik di situ, tapi tak tahu apa namanya... 

Selepas melihat kawasan sempadan Thailand di Wang Kelian dengan bazaarnya kami pulang ke hotel melalui jalan lama, tak tau namanya, redah sajalah untuk tiba di Kuala Perlis melalui Kangar. Lepas itu kami rihat di bilik hotel. 

Pada malamnya, saya terkejut sebab hotel menjadi penuh sesak dengan pengunjung. Ada pentas nyanyian, pentas untuk senam robik tarian poco-poco di samping ada bazaar mini di lamannya. Saya ajak anak-anak saksikan tapi sekejap saja sebab mereka nak rihat. 

Esoknya saya terkejut lagi semasa bersarapan sebab dewan makan penuh sesak dengan pengunjung. Inilah kali pertama saya mengalami kesesakan itu selama dua tahun apabila bercuti di hotel itu. Kamipun berkemas untuk pulang ke Perak. Setelah daftar keluar, kami ke The Store untuk belikan barang keperluan anak-anak. Kemudian makan tengahari di Kuala Perlis. Lepas itu ke Wang Ulu untuk hantar anak sulung ke asrama UniMAP. 

Sebelum pulang, kami singgah ke sempadan Thailand di Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam tapi tempat meletak keretanya penuh. Kami pusing balik ke arah Malaysia dan mendapati kenderaanaan penuh sesak di kedua-dua arah Malaysia-Thailand. Saya rasa kesesakan disebabkan pengunjung hendak membeli-belah serta bercuti di selatan Thailand. 

Kami terus pulang ke Perak setelah melalui pusat pemeriksaan imigresen Malaysia. Cuti kami berakhir dengan kesesakan sebab sepanjang perjalanan, lebuhraya penuh sesak dengan kenderaan rakyat Malaysia yang bercuti.

Tuesday, December 16, 2008

Keceriaan Dan Kebahagiaan Hidup

Yang seronoknya ialah bila orang bertanya kita: awak apa khabar, berapa orang anak sekarang, anak awak sedang buat apa, ada apa-apa masalah ke? Kedengarannya dia mahu mengambil tahu diri kita. Yang tak seronoknya ialah bila orang bertanya kita: pakai kereta apa sekarang, berapa lot saham awak ada, insuran apa awak guna, rumah awak berapa juta. 

Kedengarannya dia mahu mengambil tahu apa yang kita ada. Walau apa-apapun, keceriaan dan kebahagiaan hidup terletak pada hati, bukan pada material yang kita miliki.

Tentang Setandan kelapa

(Nasihat untuk diri sendiri)
Setandan kelapa ada yang semua elok buahnya untuk diguna. Namun begitu ada juga tandan kelapa yang mempunyai buah yang komeng dan tak dapat digunakan. Buah kelapa yang komeng akan dibuang begitu saja dalam hakikat ia kembali kepada alam, mengalami pereputan oleh bakteria, hancur dan bersebati dengan tanah untuk menambah kesuburan tanah yang amat berguna untuk tanaman. 

Sedozen anak ada yang menjadi semuanya, alhamdulillah. Semoga yang hartawan akan menjadi dermawan; semoga yang jadi ahli korporat tidak bertindak keparat; semoga yang elit tidak suka membelit. Namun ada juga yang bukan semuanya menjadi. 

Sebagai hamba Allah yang beriman, kita perlu terima hakikat ini supaya yang kurang menjadi tetap berguna kepada kita dan penciptanya. Sayangi dan beri sokongan moral supaya dia ada harga diri sebagai seorang manusia yang berjaya pada tahapnya. Paling tidak dia boleh bantu mengusung jenazah kita ke kubur kelak dan mensedekahkan fatihah tanpa hentinya......

Monday, December 15, 2008

Cuti Yang Lalu

Di Legend Cherating Kuantan Jun 2008 Ancasa Suite Resort Port Dickson Ogos 2008
Di pantai ini menyedut udara segar  
  Di pantai ini merenung alam 
  Di apartment ini menyelesai markah peperiksaan pelajar
Itulah rutin musim seorang bergelar guru.

Tentang Kata-kata

Kadang-kadang kita terlupa bahawa kata-kata kita yang tidak dijaga boleh melukai hati orang lain. Ia boleh mengguris perasaan orang lain sampai bila-bila, sampai ke tua. Orang boleh bermasam muka dek kata-kata yang melukakan. Suami-isteri boleh bercerai-berai akibat kata-kata. Kawan boleh menjadi musuh kalau tersilap kata. Adik-beradik boleh bercakaran hanya kerana sepatah kata. 
Tapi macam mana nak pasti bahawa kata-kata kita tak melukakan? Mungkin kejujuran dan keikhlasan adalah penawar mujarab apabila berkata. Pendengar tahu kata-kata ikhlas atau tidak. Orang akan tahu kata-kata kita jujur atau tidak. Kejujuran dan keikhlasan adalah kunci jalinan silaturrahim. Kalau kita ikhlas, ayatnya ikhlas. Kalau kita jujur, ayatnya jujur. Kalau hati ikhlas, teguran yang dibuat boleh diterima oleh orang lain dengan hati terbuka sebab ada ciri-ciri keikhlasan. Tapi kalau hati tidak ikhlas, ayatnya boleh berupa sindiran. 
Apa-apapun, kejujuran dan keihlasan adalah ibarat sekuntum mawar wangi yang berseri.

Mutiara Kata Cliffordian MCE 1959

(Reunion 13 December 2008)
"Saya tak berhajat bercakap panjang sebab suarapun dah semakin lemah, dah banyak kehidupan yang telah dilalui. Apa yang perlu ialah mencari keredhaan Allah dan secara peribadi saya memohon maaf di atas segala kesalahan saya semasa menjadi school captain..." Tn Hj Abdullah b Che Din Clifford School Captain 1959/Pemain bolasepak Malaysia era 60an.

"Sifat guru yang disukai oleh pelajar yang tidak berubah dari dulu hingga sekarang ialah guru yang dapat menawan hati pelajarnya...."Datuk Khairuddin b Abd Rahim Mantan Pengarah Pelajaran Perak. 

Sebenarnya banyak pelajaran yang boleh diperolehi daripada warga emas yang telah banyak menyumbangkan bakti kepada negara. Saya harap suatu hari nanti akan muncul penulis-penulis muda yang akan membuat tugasan yang berkaitan dengannya.