Monday, December 29, 2008

BERCUTI

Setelah menjenguk bonda selama lima hari di Johor, saya pulang ke Kuala Kangsar, Perak sebelum azan subuh 23 Disember 2008. Seperti biasa bonda menitiskan air mata melepaskan anak cucu pulang. "Anakanda akan menjengukmu lagi duhai bonda "bisik hati ini. Kami solat subuh di R&R Macap. 

Pada 24 Disember, saya membawa pulang anak kedua di Matrik Perak, Gopeng untuk bercuti sempena Perayaan Hari Krismas. Kami berangkat ke Negeri Perlis Indera Kayangan pada pukul 10.00 pagi 26 Disember untuk menghantar anak sulung pulang ke kampusnya di UniMAP sambil bercuti. 

Tiba di Kuala Perlis pukul 1.30 tengahari, kami terus daftar masuk ke Hotel Putra Brasmana lalu berihat di dua bilik yang telah ditempah. Dari tingkap bilik saya perhatikan ke kawasan jeti ke Pulau Langkawi dipenuhi bas dan kereta sebab musim cuti hujung tahun. 

Jam 3.oo petang, kami membantu anak sulung mengambil motosikalnya di Setesen Keretapi Arau yang telah dipos dari Kuala Kangsar pada 23 Disember lalu. Kemudian ke Restoran Hajah Hasmah untuk makan tengahari. Selepas itu ke Kediaman Pelajar UniMAP di Wang Ulu untuk menghantar barang ke bilik asrama sebelum kembali semula ke hotel untuk berihat. 

Pada 27 Disember, setelah bersarapan di hotel kami bertolak ke Padang Besar melalui Cuping pada jam 9.00 pagi untuk membeli barang keperluan anak-anak sambil menjamu mata. Mula-mula kami ke Kedai Bebas Cukai di sempadan Thailand. Seperti biasa, coklatlah yang dibeli di situ. Selepas itu ke bazaar pula. 

Laluan kami amat mudah dan selesa sebab awal pagi, pengunjung belum ramai. Kemudian ke Wang Kelian sebab ingin melihat apa yang ada di situ. Rupanya...perjalanannya macam nak ke Genting Highland sebab mendaki bukit yang cerun...Mujur tak jauh. Dari ketinggian bukit dapatlah kami saksikan tasik di situ, tapi tak tahu apa namanya... 

Selepas melihat kawasan sempadan Thailand di Wang Kelian dengan bazaarnya kami pulang ke hotel melalui jalan lama, tak tau namanya, redah sajalah untuk tiba di Kuala Perlis melalui Kangar. Lepas itu kami rihat di bilik hotel. 

Pada malamnya, saya terkejut sebab hotel menjadi penuh sesak dengan pengunjung. Ada pentas nyanyian, pentas untuk senam robik tarian poco-poco di samping ada bazaar mini di lamannya. Saya ajak anak-anak saksikan tapi sekejap saja sebab mereka nak rihat. 

Esoknya saya terkejut lagi semasa bersarapan sebab dewan makan penuh sesak dengan pengunjung. Inilah kali pertama saya mengalami kesesakan itu selama dua tahun apabila bercuti di hotel itu. Kamipun berkemas untuk pulang ke Perak. Setelah daftar keluar, kami ke The Store untuk belikan barang keperluan anak-anak. Kemudian makan tengahari di Kuala Perlis. Lepas itu ke Wang Ulu untuk hantar anak sulung ke asrama UniMAP. 

Sebelum pulang, kami singgah ke sempadan Thailand di Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam tapi tempat meletak keretanya penuh. Kami pusing balik ke arah Malaysia dan mendapati kenderaanaan penuh sesak di kedua-dua arah Malaysia-Thailand. Saya rasa kesesakan disebabkan pengunjung hendak membeli-belah serta bercuti di selatan Thailand. 

Kami terus pulang ke Perak setelah melalui pusat pemeriksaan imigresen Malaysia. Cuti kami berakhir dengan kesesakan sebab sepanjang perjalanan, lebuhraya penuh sesak dengan kenderaan rakyat Malaysia yang bercuti.