Sunday, May 3, 2009

SUASANA MALAM DI KUALA PERLIS

Keadaan malam di hadapan Hotel Putra Brasmana di Kuala Perlis seperti hidup pada waktu malam . Berduyun-duyun pengunjung ke gerai di pesisir pantai di hadapan hotel itu untuk menjamu selera sambil menikmati kesegaran bayu laut . Deretan kenderaan yang memenuhi setiap ruang membuktikan bahawa kawasan itu sedang padat dengan pengunjung .
Pengunjung juga ke gerai jualan barangan tempatan Perlis di depan hotel .
Persekitaran hotel bermandi cahaya pada waktu malam
Kelihatan deretan bas dan kereta memenuhi ruang di tempat meletak kenderaan yang penumpangnya ke Langkawi di Kuala Perlis ini .
Pemandangan tepi laut pada waktu malam di Kuala Perlis serta deretan gerai makan yang menggamit pengunjung tetapi saya sekeluarga tidak ke gerai itu . Kami hanya memesan makanan dari gerai yang disediakan oleh hotel pada awal malam .
Kesemua gambar ini diambil dari beranda hotel . Pada waktu siang , kawasan ini seperti sebuah pekan yang mati sebab tiada lagi pengunjung , penjual dan tiada lagi deretan kenderaan pelanggan . Ia kelihatan ....sangat sepi......

BERCUTI KE PERLIS

Sempena cuti hujung minggu tiga hari , saya sekeluarga bersama keluarga kakak ipar telah bercuti ke Perlis pada 1 Mei - 3 Mei yang lalu . Anak sulung saya telah selesai menghadapi peperiksaan akhir tahun dua universitinya di Perlis . Kami ke sana untuk membawanya pulang sebelum dia ke UUM bermain ragbi dalam sukan antara universiti .
Kami menempah tiga bilik di Hotel Putra Brasmana Kuala Perlis untuk menginap selama dua malam .
Kami sempat ke Kompleks Bebas Cukai di sempadan Thailand dan kemudiannya singgah di Bazaar Padang Besar untuk menjamu mata serta membeli buah tangan Ada juga kami menyusuri pantai di perkampungan Sanglang untuk menyedut udara segar
Malamnya kami berihat di bilik hotel . Suami saya membawa laptop sambil menyiapkan soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun bagi Matematik Tambahannya .
Ini adalah pemandangan malam depan hotel . Ada gerai jualan barangan tempatan pada waktu malam . Ramai pengunjung ke hotel ini kerana disediakan hiburan dari penyanyi tempatan Perlis
Akhirnya saya ke Kolej Kediaman Universiti di Wang Ulu untuk mengambil barangan anak saya serta membawanya pulang
Saya singgah di gerai di tepi jalan untuk membeli mempelam Perlis semasa perjalanan pulang
Saya rasa berpuas hati kerana dapat berkumpul sekeluarga dalam percutian ini . Walau tidak hebat dan menarik tempat yang dituju , sekurang-kurangnya kami dapat bersantai bersama pada hujung minggu itu walaupun ...letih .....

Saturday, April 25, 2009

LANTIKAN PENGAWAS 2009

Semalam , pengesahan lantikan pengawas 2009 telah diadakan dalam perhimpunan mingguan . Seramai 40 orang menerima watikah perlantikan daripada Tuan Pengetua . Mereka terdiri daripada pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan enam . Hanya empat orang sahaja pengawas perempuan (tingkatan 6) yang telah dilantik .
Pengawas baru bersedia menerima watikah perlantikan
Lafaz ikrar diketuai oleh Pelajar Tingkatan 6
Pengawas baru berikrar melaksanakan amanah yang diberi
Dalam perhimpunan mingguan , mereka berkawal di belakang pelajar manakala barisan guru di hadapan pelajar .
Uniform pengawas sekolah ini ialah baju / tudung berwarna kuning , seluar / kain berwarna hitam , kasut dan blazer hitam . Teringat saya semasa saya di sekolah menengah sekitar tahun tujuh puluhan dahulu di mana uniform pengawas kami berwarna biru + biru tua seperti uniform pekerja kilang . Ada seorang dua perli-perli tetapi mereka tetap sabar .... Memang patutpun mereka sabar sebab tidak akan luak apa-apa dek perli orang .....

Saturday, April 18, 2009

BANDAR DIRAJA MALAM INI


Tadi saya sekeluarga keluar untuk makan malam . Kami memilih kedai makan di kawasan Bukit Chandan . Selalunya saya keluar makan malam bila anak-anak berkumpul . Pada malam ini anak sulung saya tidak bersama . Dia sedang membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun duanya di universiti yang akan bermula pada hari Isnin ini . Sedang makan , kami terdengar bunyi dentuman pelancaran bunga api dari tepian Sungai Perak . Barulah saya sedar selalunya pada malam sebelum Hari Keputeraan Sultan Perak diadakan pertunjukan bunga api serta panjut . Esok adalah hari Keputeraan Sultan Perak . Pengurniaan darjah kebesaran akan berlangsung di Istana Iskandariah , Bukit Chandan . Kami akan bercuti pada hari Isnin .
Selesai makan , kamipun pulang . Kami tersangkut di sekitar Rumah Rihat sebab orang ramai masih berkumpul menyaksikan pertunjukan panjut . Kami terpaksa menghentikan kenderaan di situ dan menunggu sehingga lalu lintas reda . Saya sempat merakam pemandangan di situ .
Panjut ini terdapat dalam perjalanan menghala ke istana
Lampu neon menghiasi jalan ke istana
Pesta panjut di tepi Sungai Perak bertentangan kawasan Rumah Rihat
Lampu neon di jalan menghala ke pekan KK
Bandar Diraja bermandi cahaya pada malam ini
Bila lalu lintas reda , kamipun pulang ke rumah . Saya abadikan pemandangan sekitar Sungai Perak ini untuk tatapan pembaca . Walau bagaimanapun , saya minta maaf sebab kualiti gambar ini rendah , maklumlah , saya bukan pro , bukan amatur , tapi ... tak taulah apa nak kata , syok sendiri agaknya . Saya tidak kisah apa orang lain hendak kata . Saya cuma hendak menyatakan bahawa saya suka melakukannya .

Wednesday, April 8, 2009

PAMERAN CEGAH DENGGI


Pihak Kementerian Kesihatan hari ini telah datang ke sekolah dan mengadakan penerangan dan pameran mengenai demam denggi dan pembawanya , nyamuk aedes . Pelajar kelas-kelas tertentu telah mengunjungi pameran yang diadakan di dewan sekolah bersama dengan guru mata pelajaran .
Ini adalah sebahagian maklumat dalam pameran itu
Nyamuk aedes dan jejentiknya boleh dilihat dengan jelas dengan mikroskop elektrik.
Ini adalah air yang mengandungi jejentik yang dipamerkan . Kewujudannya di rumah boleh menyebabkan tuan rumah dikompaun .
Maklumat lanjut juga diedarkan oleh petugas Kementerian Kesihatan ini .
Selain itu nasihat dan penerangan anti denggi diadakan kepada pelajar menggunakan LCD
Ini bukanlah nyamuk aedes tetapi gambar fauna negara kita . Ia dilekatkan di dinding dewan sekolah . Saya suka melihatnya - itulah lambang kebesaran Tuhan , indah dan menawan .
Burung-burung ini eloklah kita kenal supaya kita boleh beritahu jika ditanya oleh anak-anak .
Rumah saya pernah dipantau oleh pemantau aedes , tapi alhamdulillah , tiada apa-apa tanda jejentik nyamuk aedes walaupun saya mempunyai banyak pasu bunga . Yang paling penting untuk mengelak aedes membiak ialah hapuskan segala punca penakung air termasuklah daun-daun pokok yang boleh menakung air hujan atas lantai . Tiada aedes , tiada denggi .

Tuesday, April 7, 2009

MURAL SAINS

Sejak PPSMI diperkenalkan, berbagai aktiviti dilaksanakan untuk membantu perkembangannya termasuklah mengadakan persekitaran PPSMI supaya pelajar dapat menghayati pembelajaran mereka. 

Di antara aktiviti di sekolah saya ke arah itu ialah mural sains di dinding Makmal Biologi, Makmal Fizik dan makmal Kimia. Ia dilakukan oleh pelajar-pelajar sendiri dalam aktiviti Persatuan Sains dan Minggu Orinetasi Pelajar Tingkatan 6 Rendah. 

Berikut ialah hasil kerjatangan mereka. 
Mural di Makmal Biologi - Greenhouse Effects 
Makmal Biologi - Seed Germination 
Makmal Biologi - Pond Ecosystem
Makmal Fizik - Forces In Equilibrium 
Makmal Fizik - Specific Heat Capacity 
Makmal Fizik - Precision, Accuracy, 
Makmal Kimia - Matter 
Makmal Kimia 
Makmal Kimia - Electrolysis 

Terima kasih diucapkan kepada semua pelajar dan guru-guru yang telah bergotong-royong menghasilkan mural sains ini. Tanpa semangat bekerjasama, segalanya menjadi sukar. Terima kasih sekali lagi.

Sunday, April 5, 2009

JATI DIRI

Mengikut Dewan Bahasa Edisi Keempat, maksud jati diri adalah seperti berikut:
sifat atau ciri yg unik dan istimewa (dr segi adat, bahasa, budaya, agama dsb) yg menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dsb, identiti: pembinaan negara Malaysia lebih berteraskan kekuatan ~ bangsa dan se­mangat patriotik yg utuh; pengisian program kebudayaan ini penting bagi mem­bentuk sahsiah dan ~ belia masa ini. 

 Anak-anak di bangku sekolah perlu dididik supaya mempunyai jati diri sebagai rakyat Malaysia agar sentiasa menggunakan akal dan budi dalam tindakan. Akal dan budi yang berlandaskan pegangan agama dan budaya negara yang utuh diharap dapat menolak pengaruh yang mengeliru dan merugikan. Kalau jati diri anak-anak kita kuat, dia tidak akan mudah mengikut kehendak pihak lain yang mempunyai kepentingan tertentu seperti keganasan, ajaran sesat, ajaran songsang atau ajaran-ajaran lainnya. Segala tindakan atau keputusannya adalah dari penilaian sendiri. Alangkah ruginya dia jika binasa kerana mengikut orang lain. Menyesal dahulu pendapatan , menyesal kemudian tidak berguna. Di bahu kita , ibubapalah menentukan dia tidak menyesal pada kemudian hari.

Saturday, April 4, 2009

Transformasi

KUALA LUMPUR 3 April - Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat bersama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan........Utusan Malaysia , Sabtu , 4 April 2009.....

Rakyat dari semua lapisan menagih janji-janji ini . Perubahan diperlukan kalau kita ingin maju dan cemerlang serta mendapat sokongan padu rakyat . Kata-kata mesti dikota supaya pisang tidak berbuah kali kedua . Gunakan kesemua kepakaran yang ada di dalam negara untuk menjana kemajuan mengikut acuan sendiri . Kikis budaya cantas-mencantas kerana budaya ini merugikan negara kita .

Friday, April 3, 2009

AKSI MASKOT - MASKOT HARI SUKAN 2009

Setelah seminggu mencipta dan menyiapkan maskot yang bertemakan alam semula jadi , hari ini maskot-maskot ini beraksi di atas padang dalam perbarisan pembukaan rasmi sukan 2009 .
Maskot Rumah Sabki - Buah Ribena
Maskot Rumah Iskandar - Bunga Matahari (gambar terlindung)
Maskot Rumah Idris - Bunga Raya
Maskot Rumah Hogan - Robot Hijau Ninja Turttle
Maskot Rumah Culan - Rama-rama
Ini pasukan rumah saya , Rumah Jamil - Maskot nyamuk dan periuk kera
Aksi nyamuk dan periuk kera di atas padang
Kunci penghasilan maskot-maskot ini ialah kerjasama atau permuafakatan di kalangan ahli-ahli rumah dan bimbingan seniour kepada juniour . Tanpa permuafakatan ini , segalanya menjadi sukar . Tahniah diucapkan kepada anak-anak semua . Walaupun kamu berada dalam level sendiri , tetapi semangat sepasukan amatlah dihargai . Teruskanlah semangat ini untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna serta tidak mementingkan diri sendiri .

LINTAS HORMAT PASUKAN KAWAD

Setelah berhari-hari berlatih dan diikuti dua hari raptai , kini tibalah harinya pasukan kawad beraksi pada hari sukan . Berikut adalah foto mereka dalam lintas hormat pada hari sukan 2009 2 April semalam .
Pasukan Pengawas sekolah

Pasukan Pengakap
Pasukan PBSM
Pasukan Kadet Remaja
Pasukan Kadet Polis
Pasukan Kadet Tentera
Pasukan Band Sekolah
Pasukan Band ketika berkawad keluar
Pasukan Asrama Putera
Lintas Hormat Pasukan Pembawa Bendera Kejohanan . Mereka terdiri daripada ahli-ahli Kadet Tentera yang mewakili enam buah rumah sukan .
Lafaz Ikrar Sukan diketuai oleh Kapten Pasukan Bolasepak
Mereka telah bekerja keras menjayakan Hari Sukan ini . Terima kasih diucapkan kepada anak-anak semua . Semangat juang kamu untuk melihat sukan kita berjaya amatlah dihargai . Kita bercuti hari ini . Semoga anak-anak akan berihat secukupnya dan kita bersekolah semula pada hari Isnin , 6 April 2009 . Have a nice day ......