Friday, January 7, 2011

SELINGKAR KISAH ANAK MUDA

"Sekiranya kita benar-benar ikhlas mencintai seseorang, lepaskanlah dia pergi. Sekiranya benarlah dialah jodoh buat kita, maka Allah sendiri akan pulangkan dia kepada kita"..... 

Itulah nasihat  seorang anak muda kepada seorang anak muda  lain yang sedang melalui saat sukarnya :  kecewa bercinta dan kecundang dalam pelajaran . Sebagai seorang muslim , sewajarnya dia dinasihati supaya redha terhadap taqdir yang telah menimpa dirinya . Dia  juga harus diperingatkan tentang kebesaran Allah yang memungkinkan untuk segalanya terjadi .

Kekecewaan tidak harus menjadi sebab untuk seseorang itu patah semangat dan terus jatuh ke jurang yang dalam ; sebaliknya ia adalah titik awal ke destinasi kecemerlangan . Individu lain mempunyai tanggungjawab untuk membantu  memotivasikannya supaya dia terus bangun dan berlari lebih pantas . Tidak mustahil baginya  lebih berjaya daripada insan yang pernah mengecewakannya .

Taqdir yang diterima dengan penuh keinsafan dan keimanan akan dapat mendekatkan diri kepada Allah . Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang serta tidak akan menzalimi hambaNya . Apa yang dilalui hanyalah satu ujian atau dugaan awal sebelum dianugerahkan kecemerlangan di dalam bentuk yang lain pula . Kejayaan melepasi ujian itu akan membolehkannya menikmati kecemerlangan berikutnya .

Apa yang sangat diharapkan ialah anak-anak muda muslim akan menjadi seorang sahabat yang baik , mendekati sahabatnya yang bermasalah dengan cahaya keimanan serta motivasi yang mengkobarkan semangat supaya mereka dapat tegak kembali membina masa depan yang gemilang . Ini sangat penting dalam menjana tamaddun yang kukuh kerana anak muda masa ini adalah pemimpin masa hadapan . 

Carilah kejayaan dan kegemilangan dalam erti yang sebenar ........

No comments: