Memandang setiap wajah itu ..... inilah masanya bagiku membentuk mereka menjadi "manusia" - modal insan yang "survive" dan hamba Allah yang soleh . Mereka baik-baik walaupun satu dua racun terselit antara mereka . Tanggungjawab : racun ini akan kuusahakan menjadi penawar . Gagal atau jaya bukan persoalannya . Apa yang penting aku ada jawapannya bila ditanya di kemudian hari .
Inilah masanya ..... peluang mengasah minda , memupuk semangat , membina impian murni bagi kehidupan masa hadapan mereka , mengasak tabiat buruk ditinggal demi pengabdian diri kepada Dia yang Maha Esa . Mereka diperingatkan pelapis khalifah di Bumi Allah ini bagi mengurus alam dan manusia . Mereka dipupuk membina tanggungjawab diri yang mantap demi cabaran yang sedia menanti .
Inilah masanya ..... aku menyedari bila bintang-bintang telah berada di genggaman mereka kelak , sinarnya bukan buat diriku . Aku bukanlah sesiapa lagi ketika itu , sekadar tukang gilap bintang itu di masa lalu yang akan ketepi dan diketepikan begitu sahaja . Kadang-kadang sayu tetapi tiada guna dikisahkan perasaan itu lagi kerana ia sudah tidak dikisahkan atau bernilai bagi orang lain .
Inilah masanya ....... aku mohon dariMu Tuhanku agar beriku hidayah untuk menjadi penggilap yang Kau redhai . Sesungguhnya aku sentiasa mencari erti menjadi hambaMu yang mengenal diri dan penciptaNya .......
No comments:
Post a Comment