Hari ini saya ke pekan bersama anak ketiga untuk membeli barang keperluan persekolahannya . Setelah selesai kami ke kedai berdekatan Sungai Perak di hujung pekan yang dipanggil "Lembah" untuk membeli barangan lain . Selepas itu kami meronda tepian Sungai Perak sambil mengingati kembali waktu-waktu lalu di mana anak-anak saya bersantai semasa mereka masih kecil dahulu .
Pemandangan Sungai Perak dari Jeti Besar . Kelihatan di kejauhan sana ialah Jambatan Sultan Abdul Jalil yang menghubungkan Bandar Diraja ini dengan perkampungan Sayong . Di tepian inilah anak-anak saya bermain semasa mereka kecil dahulu . Saya dan suami letih mengawasi mereka ketika itu .
Ini adalah titi gantung yang berdekatan Sungai Perak dan menghubungkan Laman Budaya dengan Lembah . Anak-anak saya sangat suka berdiri atas titi ini .
Air pancut ini baru siap tahun lepas . Pada hujung minggu ia menjadi tumpuan pengunjung untuk berihat sambil membawa anak-anak bersantai
Ini adalah pondok rihat di tepi air pancut .
Sejak anak-anak sudah besar , saya tidak lagi bersiar-siar ke sini , hanya membuat urusan sahaja . Hari ini hati saya teringin pula menjejaki peristiwa masa lalu sewaktu mereka kecil . Semua peristiwa itu amat manis dalam hidup saya dan sentisa berada dalam kenangan sebagai seorang ibu .
No comments:
Post a Comment