Wednesday, November 16, 2011

CERMIN KEHIDUPAN

Tadi saya ke kolam renang menemankan anak bongsu bermain air bersama kawan sekelasnya. Mereka semua akan belajar di tingkatan satu pada tahun depan. Ada di antara mereka tidak akan bersama lagi kerana berlainan sekolah menengah.Petang tadi mereka meraikan perpisahan di kolam tersebut.

Saya duduk di satu sudut sambil bersembang dengan  penyelamat di kolam itu . Tiba-tiba mata saya tertumpu kepada seorang budak lelaki yang sangat kurus  bergerak dari  kawasan berhampiran  ke sudut yang lebih jauh. Dia melintasi sekumpulan pelajar perempuan yang sedang bermain air di kolam yang cetek. Mereka ketawa sekuat-kuatnya apabila melihat budak tersebut.

Hati saya tertanya-tanya mengapa dia diketawakan. Pada pandangan saya kekurangan pada budak lelaki itu adalah perkara biasa dan tidak perlu difikir atau diketawakan. Dia makhluk Tuhan. Allah telah menjadikan makhluknya dengan berbagai rupa, bentuk dan sifat .Mentertawakan kejadianNya bermakna memperlekehkanNya.

Itu adalah cermin kehidupan ini. Kalau insiden ini boleh berlaku ke atas budak lelaki itu, tidak mustahil ia akan berlaku kepada kita atas alasan yang lain pula. Contohnya kita boleh diketawakan hanya kerana sebutan yang kurang tepat, atau suara yang kurang mantap atau warna baju yang kurang menawan atau badan yang terlebih berat dan sebagainya.

Apa salahnya kalau kita belajar menerima segalanya tanpa menunjukkan riaksi yang tidak menyenangkan samada mentertawakan, mempersenda, mengata, mencemik orang lain. Ini disebabkan kejadian Allah tidak terduga. Tidak mustahil kita ditakdirkan mengalami nasib yang sama, tentulah  perasaan kita terguris, sedih dan tertekan. Belajar untuk tidak menjadi punca tekanan kepada orang lain adalah sifat terpuji.

Kehidupan kita sebenarnya sangat singkat berbanding alam abadi nanti. Kita tidak akan membuat perkara negatif itu jika sentiasa mengingati kekuasaan dan kebesaranNya , Allah yang Maha Esa...............

No comments: